TAYANGAN filem Hantu Bonceng yang di pawagam sejak 1 Syawal lalu mendapat sambutan yang menggalakkan. Sana sini penyokong industri hiburan negara memperkatakan kehebatan filem tersebut.
Maklum balas baik yang diterima itu cukup menggembirakan hati pengarah Ahmad Idham Ahmad Nadzri. Kesyukuran dipanjatkan kerana ramuan lucu yang diadun itu mampu menggembirakan hati penonton.
Bahkan para pelakonnya yang terdiri daripada Zizan Raja Lawak yang membawakan watak Amran, Juliana Evans (Maya/Ayu), Jue Aziz (Halimaton), Taiyuddin Bakar (Kunyit), Norsyuhaida (Mariam/Gurgurl), Azlan Kami (Dani), Cat Farish (Cat) dan Zizie The Fabulous Cat (Mimi).
Sempena kedatangan hari mulia ini, beberapa pelakon terlibat berkesempatan untuk berkunjung ke rumah pengarah Hantu Bonceng di Bukit Jalil, Kuala Lumpur. Walaupun tidak semua pelakon dapat hadir, namun keriangan cukup terasa apabila dapat berkumpul semula.
Masing-masing kembali mengimbas kembali sepanjang penggambaran pembuatan filem aksi komedi tersebut. Tambahan pula, itu adalah buah tangan pertama hasil anak kelahiran Alor Star, Kedah ini yang mendapat tayangan hari pertama Aidilfitri.
“Saya tak sangka elemen ‘gila-gila’ yang diketengahkan setiap pelakon benar-benar menjayakan Hantu Bonceng ini,” kata Ahmad Idham tatkala ditanya tentang sambutan filem terbitan Excellent Pictures Sdn. Bhd. dengan kerjasama Global Station Sdn. Bhd. itu.
Jadi tidak sia-sialah pengorbanan pengarah Adnan Sempit dan Impak Maksima ini membatalkan percutian bersama keluarga di Pulau Perhentian, Terengganu semata-mata untuk memastikan perjalanan tayangan filem ini ke 80 pawagam termasuk Brunei dan Singapura berjalan lancar.
“Saya memang memberi 100 peratus perhatian bagi keseluruhan produksi filem ini. Tak mengapalah, nanti selepas selesai tayangan filem ini, saya bawa keluarga bercuti,” sambungnya penuh debaran.
Zizan tak lupa diri
Mohd. Razizan Abdul Razak atau lebih mudah disapa Zizan menyifatkan bahawa 2011 adalah tahun bekerja kuat buatnya. Kesan dari itu, lelaki berusia 27 tahun ini sentiasa ‘diburu’ peminat dek kelainan yang dicipta dalam program realiti Maharaja Lawak.
“Aidilfitri tahun ini membawa banyak kelainan buat diri saya yang baru lima tahun dalam industri. Masyarakat dah mula melihat kemampuan saya mempelbagaikan diri.
“Contohnya watak Mail Lambung masih melekat pada saya setiap kali muncul di mana-mana saja. Itu yang buat saya terharu,” dedah Zizan membuka cerita lebaran tahun ini.
Zizan yang meraikan Aidilfitri di Dungun, Terengganu ini juga menegaskan bahawa dirinya tidak mengalami kejutan selepas popular seperti mana yang didakwa sesetengah pihak.
“Saya kecewa bila ada suara mengatakan saya hanyut selepas terkenal sebab perkara itu tak betul. Tidak pernah riak sebab Zizan yang berdiri pada hari ini adalah Zizan yang lama,” hujahnya.
Anak bongsu daripada dua beradik ini juga menyatakan bahawa dia berpegang pada prinsip ikhlas dan jujur agar kehidupan lebih diberkati. Dua perkara utama itu juga akan terus dipegang andai dia dilupakan satu ketika nanti.
Jue gemar
masakan pedas
Melihat secara luaran fizikal wanita bertubuh gebu ini, mungkin ramai yang membuat persepsi negatif bahawa dia tak pandai memasak. Walhal, pelbagai jenis masakan diketahui dan enak dihidangkan buat tetamu sepanjang Aidilfitri ini.
“Kalau nak tahu kebanyakan juadah kegemaran saya adalah berasaskan cili padi. Lebih pedas lagi sedap. Sebab itu, pilihan saya adalah rendang ayam cili padi.
“Walaupun bukan dalam musim perayaan, saya tetap masak menu ini. Kelazatan setiap masakan terletak pada cara memasak. Saya pula jenis suka menumbuk bahan mentah masakan sebab rasanya lebih asli,” ceritanya bersungguh-sungguh.
Jue cukup menitik beratkan tentang jenis juadah yang bakal dihidangkan kepada tetamu. Antaranya adalah lontong, kek coklat jenis ‘moist’ dan biskut Arab.
Ditanya adakah pemilik nama Zuliana Abd. Aziz ini akan mengadakan rumah terbuka buat peminatnya, dia hanya tersenyum manja. Kata Jue, perkara itu bergantung kepada keadaan sebab pintu rumah sentiasa terbuka buat semua orang.s
Anak kelahiran Ampang, Kuala Lumpur ini memberitahu bahawa Aidilfitri tahun ini disambut secara sederhana. Tidak mengeluarkan belanja yang tinggi sebab acara ganti dan ubah suai rumah sebagai mana dilakukan pada tahun lalu.
Norsyuhaida terkenang arwah bapa
Berlainan dengan pelakon comel Norsyuhaida, 23, dia merasakan cukup terkesan dengan kedatangan Aidilfitri ini. Sebab buat kali kedua dia beraya tanpa mencium tangan seorang insan bergelar bapa.
Allahyarham Ab. Razak Shaari pulang ke rahmatullah disebabkan kerosakan organ dalaman.
“Sebagai anak sulung, saya kena tunjuk ‘kuat’ di depan empat adik beradik lain. Rindu memang rindu sebab saya memang rapat dengan arwah,” imbasnya tentang kenangan syahdu pahit itu.
Wanita yang dikenali dengan watak Dottie ini juga bersyukur kerana penyakit ulser di bahagian matanya sempat sembuh sebelum menyambut Ramadan.
Kejadian yang berpunca dari pemakaian lensa mata kotor dalam tempoh yang lama menyebabkan dia terkena jangkitan kuman.
“Saya ditahan wad di Hospital Taiping. Sakitnya hanya Tuhan saja yang tahu. Tapi dalam keadaan sakit itu, ada yang sudi bergambar dengan saya,” ceritanya sambil tersenyum.
Raya di Singapura berbeza - Tai
Pendatang baru, Taiyuddin Bakar memberitahu bahawa dia teruja beraya di Singapura. Berkampung di rumah nenek di sebelah ibunya di Central Hou Gang, Singapura banyak menginsafkan dirinya tentang betapa bertuah dia dapat tinggal di tanah air sendiri.
“Orang Kota Singa sudah terlalu moden dan tinggalkan banyak keindahan budaya Melayu. Jadi apabila tiba lebaran, mereka akan manfaatkan sepenuhnya momen itu.
“Contohnya memakai baju Melayu sepanjang bulan Syawal. Siap dengan kerongsang di songkok. Sedangkan kebiasaan cara pemakaian sebegitu hanya di kalangan pengantin baru,” ceritanya.
Lantaran itu, lelaki yang menggunakan nama pentas Tai ini tidak sabar untuk mengadakan rumah terbuka pada minggu depan. Kesempatan itu bakal mengumpulkan lebih ramai sanak saudara dan rakan yang sudah lama tidak bersua di rumahnya di Kelana Jaya, Selangor.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: