Sunday, September 4, 2011

Aizat & Bunkface menakluk


Aizat (dua dari kanan) mengambil kesempatan bermaafan dengan ahli kumpulan Bunkface.


BAIK Aizat mahupun Bunkface, kedua-dua sedang menerobos ruang angkasa. Ini masa mereka dan sudah pasti mereka tahu apa yang dicari. Bukan sekadar mahu popular tapi ada agenda lain yang harus dilunaskan oleh mereka.

Tidak mahu terus diselaputi populariti yang entah apa-apa, tekad mereka mahu menjadi orang yang disegani. Bukan sekadar pemain muzik yang biasa-biasa kemampuan Aizat dan Bunkface sudah terbukti mampu memberi impak pada industri muzik yang tidak sebesar mana ini.

Bagi Aizat apa juga halangan harus ditempuhi walaupun seribu halangan datang melanda. Dia tidak mahu menjadikan masalah-masalah biasa sebagai penghalang sebaliknya mahu apa yang sudah direncanakan menjadi kenyataan.

Atas dasar itu Aizat dilihat mampu ke mana sahaja. Walaupun ketiadaan penaja ketika membuat konsert tempoh hari, dia sanggup mengeluarkan duit sendiri untuk merealisasikan impiannya.

Nah akhirnya dia berjaya merealisasi impian yang lama terpahat dalam sanubari. Bukan sahaja di Damansara, Selangor malah Aizat sudah menakluk Sabah dan juga Sarawak.

“Bila tiba lebaran, ini masa untuk Aizat meluangkan masa dengan keluarga setelah penat merencana perjalanan seni. Bukan mengeluh tetapi tiap kali hari raya Aizat akan gunakan masa yang ada sebaiknya.

“Ini masa untuk Aizat pulang ke kampung, berjumpa dengan saudara-mara dan sahabat handai. Kadang kala kesibukan kita membataskan waktu bersama mereka.

“Jadi bila dah ada peluang Aizat guna sebaik mungkin. Macam pagi raya tempoh hari Aizat sempat beraya di Kampung Melayu Ampang sebelum bergerak ke Raub, Pahang.

“Bila sampai sahaja Raub memang banyak aktiviti yang Aizat kena buat dengan keluarga besar di sana. Bukan sahaja bermaaf-maafan di hari lebaran tapi kami akan pastikan album keluarga akan diambil pada hari itu.

“Ini dah macam tradisi bila berkumpul ramai-ramai. Macam-macam perangai dan macam-macam gambar yang akan kami ambil. Semua itu akan jadi memori yang cukup indah tiap kali menjelang hari raya,” kata Aizat tersenyum.

Lain pula cerita Sam, Paan dan Youk. Ini bukan tahun pertama mereka beraya sebagai orang popular sebaliknya mereka cukup seronok meraikan kedatangan hari raya seperti orang lain.

Selain dapat mengeratkan silaturahim sesama sendiri, inilah peluang untuk mereka menziarahi kaum keluarga dan sahabat handai yang tak pernah luput dalam ingatan.

Magis Bunkface

Jika Aizat ada misi besar yang perlu dicapai, hal yang sama berlaku pada tiga lelaki asal Kelang, Selangor ini. Sudah jauh perjalanan yang dilalui oleh Bunkface yang cukup mereka banggakan. Bukan sahaja berpeluang membuat persembahan di sekitar Asia Tenggara tetapi mereka sudah pusing keling dunia dengan muzik mereka.

Biarpun sudah jauh perjalanan, itu tidak membuatkan Bunface bangga diri. Bagi mereka masih banyak cabaran yang harus dihadapi apatah lagi untuk ‘menjual’ muzik mereka ke peringkat tertinggi.

Bagi Paan atau nama sebenarnya Ahmad Farhan Hashim, dia hanya akan beraya di Kelang seperti mana kebiasaan.

“Lepas sembahyang raya tempoh hari saya terus menziarahi rumah saudara-mara yang hanya mengambil masa 10 minit dari rumah saya. Nak buat macam mana sebab saya memang orang Kelang.

“Kalau orang lain sibuk mengemas barang nak balik kampung, saya nak pulang ke mana? Semua keluarga besar saya banyak yang duduk di sini. Jadi kemeriahannya tetap ada bila bersama adik beradik yang lain.

“Paling seronok sebab dapat makan biskut Arab. Itu memang menu wajib yang akan dibuat oleh ibu saya tiap kali hari raya,” kata gitaris kecil molek ini lagi.

Lain pula cerita dengan Sam, 1 Syawal yang lalu merupakan hari yang cukup sibuk buat dia dan keluarga memandangkan mereka telah menziarahi keluarga besar sebelah ayahnya.

Pemilik nama Shamsul Annuar ini, dia cukup berbangga kerana ayahnya dilahirkan 14 beradik dan yang sudah pasti mempunyai saudara mara yang cukup ramai.

“Kami sempat berkonvoi ke rumah semua pakcik dan makcik terdekat sepanjang hari raya pertama tempoh hari. Bila dah singgah daripada satu rumah ke rumah yang lain macam-macam cerita yang ada.

“Itu memang perkara yang seronok sebab sekali sekala berjumpa dengan mereka. Hari raya kedua dan ketiga barulah saya tunggu kawan-kawan datang rumah.

“Persiapan raya kami sekeluarga biasa-biasa sahaja. Jangan tak tahu saya pandai anyam ketupat okey. Itulah yang akan saya dan adik beradik yang lain buat tiap kali sambut raya.

“Rendang ayam dan ayam masak kicap memang wajib ada. Itu memang tak boleh tak ada,” kata abang kepada pelakon Siti Saleha ini lagi.

Berbeza suasana raya bagi Youk. Dia menyifatkan hari raya tahun ini sebagai hari raya yang suram berikutan kehilangan ayah buat selama-lamanya beberapa bulan yang lepas.

Tidak mahu terlalu berseronok ketika lebaran, Youk sempat menziarahi kubur arwah bapanya pada pagi raya yang lalu.

“Memang suasana raya sedikit suram tahun ni. Saya kehilangan bapa dan ini merupakan raya pertama saya tanpa ayah. Suasananya memang lain dan tak meriah dulu.

“Cuma saya masih lagi merai biasa-biasa sahaja. Tapi orang makin kenal saya. Itu memang betul sebab ramai yang datang beraya di rumah saya kali ini.

“Lepas raya Bunkface akan sibuk dengan album terbaru, kali ini lebih hebat daripada album sebelumnya. Itu formula yang baik untuk Bunkface terus memberikan muzik yang segar pada peminat,” kata Youk lagi.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: