Sunday, September 4, 2011

Lebaran di rumah anak yatim


TEAM Pancaindera bersama artis-artis meraikan kanak-kanak yang kehilangan kasih sayang ibu dan bapa ini menjelang Aidilfitri.


KETIKA berduyun-duyun kenderaan membawa pulang perantau ke kampung halaman, pada hari-hari terakhir di Kuala Lumpur, team Pancaindera berkesempatan melalui pengalaman indah di ibu kota.

Kami memilih untuk mengunjungi dua buah rumah anak yatim, bagi bersama meraikan hangatnya Aidilfitri.

Kami singgah dengan rasa hati yang berbalam-balam, bahagia kerana berkesempatan hadir membawa keceriaan dan sedih pada penghujung pertemuan.

15 artis popular sudi bersama dalam kunjungan Aidilfitri kami ke rumah Pertubuhan Anak Yatim dan Miskin, Baitu Saidati Khadijah dan di Pertubuhan Anak-Anak Yatim & Asnaf Al-Faez ini. Kedua-duanya terletak di lokasi Gombak, Selangor.

Artis yang sudi meluangkan waktu mereka ialah Rozita Che Wan, Zain Saidin, Razali Hussain, Roslan Shah, Azzarima, Nas Adila, Azam Pit, Syed Ali, Mohamad Mentor dan Suhaimi Lua.

Turut hadir kumpulan X-Factor (Zack, Danny dan Shah), Alex, Shajiry, Eman Azman dan Ery Putra.

Kami hadir membawa sedikit senyuman buat penyeri lebaran kepada adik-adik yang kehilangan.

Bukan saja menjamah hidangan bersama, sebaliknya turut membuat beberapa persiapan bagi menyambut kehadiran Syawal mulia.

Bersama memasang pelita, lampu hiasan dan membuat sedikit dekorasi, ia adalah peluang yang tidak selalunya datang.

“Adik-adik jangan bersedih. Kalau kita susah, ada lagi orang lain yang lebih susah. Abang sendiri sudah berpuluh tahun menyambut hari raya berseorangan, adik-adik lebih bertuah sebab di rumah anak yatim ini ramai kawan-kawan,” begitu pesan penyanyi Fazli Zainal.

Sebelum itu, pelakon Rozita Che Wan yang turut hadir tidak mampu menahan sebak apabila dipeluk erat oleh pengasas Rumah Anak Yatim dan Miskin Baitu Saidati Khadijah, Esah Abdullah.

“Saya pernah melalui apa yang adik-adik ini lalui. Semoga mereka semua akan membesar sebagai insan yang berjaya,” demikian doa Rozita sebelum mengucap selamat tinggal.

Di rumah ke-dua, sempat pula bermain mercun dan bunga api, sesuatu yang paling sinonim kalau bercakap tentang hari raya.

Khabarnya ada diantara adik-adik ini tidak mampu tidur malam, apabila mendapat tahu bakal dijengah artis-artis sempena lebaran.

Ternyata, sumbangan yang begitu kecil memberi makna yang cukup besar kepada sebahagian insan lain yang lebih memerlukan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: