|
|
BERCERITA mengenai dua figura ibu moden, siapa tidak kenal Rozita Che Wan dan Jasmid Hamid yang sering muncul dalam kaca televisyen. Pelbagai watak dibawa yang mencirikan antagonis, namun pada hakikatnya dua wanita ini merupakan ibu yang lemah lembut dan sangat mementingkan anak-anak.
Bagi aktres jelita, Rozita Che Wan, Ramadan dan Aidilfitri tahun ini sememangnya tahun sibuk buat empunya diri. Sepanjang bulan puasa, jadual hariannya dipenuhi dengan penggambaran drama dan telemovie. Empat daripada drama itu ditayangkan sempena Hari Raya Aidilfitri.
Namun, di sebalik kesibukan yang melanda diri, sempat juga dia menyusun jadual untuk dibahagikan antara keluarga dan ibadah apabila wanita yang mesra disapa Rozita ini berkunjung ke tanah suci Mekah untuk menunaikan umrah bersama ibu dan kakaknya.
“Ini kali kedua saya menyambut Ramadan di tanah suci kota Mekah. Saya memang telah rancang untuk pergi umrah kali ini semasa bulan Ramadan kerana tahun lepas saya pergi pada hari biasa bukan bulan puasa,” cerita Rozita yang biasanya mengambil cuti raya salama seminggu.
Oleh kerana jadual kerja yang padat, cuti raya tahun ini hanya diambil selama empat hari dan cuti tersebut dimanfaatkan Rozita untuk membawa anak-anak pulang ke kampung halamannya di Alor Setar, Kedah memandangkan tahun ini giliran Rozita bersama dua orang puteranya.
“Hari raya pertama yang lalu, saya telah bertandang ke rumah saudara sebelah bapa diikuti hari kedua di sebelah ibu saya. Pada raya ketiga kami mengadakan rumah terbuka di kediaman ibu bapa saya.
|
|
“Jika bercuti panjang, bermula raya keempat, kebiasaannya saya dan anak-anak akan pergi bercuti di Pulau Langkawi, Kedah kerana perjalanan ke sana dari Alor Setar agak dekat. Tapi oleh kerana jadual penggambaran yang padat, hasrat itu terpaksa dilupakan,” bicara ibu tunggal yang punya dua orang anak lelaki bernama Ammar Effendy, 15 dan Aniq Ezzra, 12.
Ceritanya lagi, cuti raya tahun ini diambil sedikit kerana selepas pertengahan raya, wanita yang gemar berceloteh akan mengambil cuti panjang untuk membantu anaknya, Ammar Effendy membuat persediaan menduduki peperiksaan Menengah Rendah (PMR) tahun ini.
“Selepas 15 September, saya akan berhenti sementara daripada mengambil tawaran atau terlibat dengan apa-apa penggambaran selama sebulan. Ini kerana saya ingin membantu anak saya belajar bagi menghadapi peperiksaan penting PMR.”
Sementara bagi seorang lagi dramatis yang sering membawa watak antagonis, Jasmin Hamid, dia lebih gemar bekerja sepanjang bulan Ramadan kerana bagi aktres ini jika dia bekerja, sekurang-kurangnya masa terluang akan dapat dipenuhi.
Menggembirakan anak-anak
Bertutur mengenai perjalanan jadual hari raya Jasmin, ujarnya, dia dan anaknya pulang ke kediaman ibu bapanya yang terletak di Rawang, Selangor. Namun, jika diizinkan, dia mahu membawa anak-anak bercuti sempena cuti raya yang agak panjang.
Sebagai seorang ibu, apa yang penting ialah menjaga kebajikan dan menggembirakan anak-anak terutamanya jika menjelang Aidilfitri. K etika itu, membeli-belah persiapan raya lebih menyeronokkan.
“Sambutan raya saya setiap tahun sekarang memang lebih kepada anak-anak. Bagi saya, anak-anak lebih penting dan saya mahu mereka gembira sambut raya. Orang dewasa seperti kita ini, tidak terlalu memikirkan perihal baju raya dan sebagainya.
“Pada tahun ini juga keluarga saya memilih warna merah cili sebagai tema raya. Saya pulang ke kampung hanya dua atau tiga hari kerana saya perlu beri komitmen terhadap penggambaran telefilem” ujar ibu beranak tiga ini.
Walaupun agak sibuk dengan kerja, namun Jasmin sempat meluangkan masa untuk membuat kuih-muih sempena menyambut perayaan yang hanya disambut setahun sekali ini. Antara dua jenis kuih yang dibuat Jasmin ialah kuih cornflakes dan semprit.
Selain itu, sewaktu ditanya tentang tradisi bermain bunga api, dia mempunyai pendapat sendiri. Katanya, walaupun bunga api dianggap sinonim dengan sambutan hari raya, namun bagi Jasmin, dia tidak menggalakkan anak-anaknya bermain kerana risaukan bahaya kecederaan.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: