Friday, September 2, 2011

pengalaman hamil pada bulan Ramadan



SUDAH menjadi kebiasaan masyarakat, sepanjang menyambut bulan Ramadan pasti persiapan raya tidak dilupakan. Walau sesibuk mana pun jadual harian, sebagai sebuah keluarga terutamanya sebagai seorang ibu pastinya ingin memberi yang terbaik buat anak dan suami tersayang.

Bagi dua aktres muda iaitu Sari Yanti dan Serina Ridzuawan, keterujaan mereka semakin bertambah kerana bukan sahaja Hari Raya Aidilfitri kali ini disambut sebagai ibu kepada seorang anak, malah kehamilan anak kedua memberi cahaya yang bermakna bagi kedua-duanya.

Menurut kedua-dua Sari Yanti dan Serina, sejak berumah tangga, setiap raya yang disambut membawa makna berbeza kepada mereka. Jika dahulu Aidilfitri hanya disambut bersama suami, kini mereka telah mempunyai permata hati yang menceriakan pasangan suami isteri.

Namun kali ini, keseronokan bertambah dua kali ganda apabila masing-masing sedang mengandungkan anak kedua dan sebagai seorang ibu mengandung pada bulan Ramadan yang baru berpenghujung adalah berbeza daripada pengalaman sebelumnya.

Sari mahu rasa nikmat raya

Sejak mengandungkan anak keduanya, Sari atau nama sebenarnya Sari Yanti Mohamad Nazari, 27, tidak mengambil tawaran berlakon dan banyak menghabiskan masa berehat di rumah atau kadangkala ke rumah mertua.

Jika tahun lepas wanita kecil molek ini tidak berpuasa kerana masih dalam pantang setelah melahirkan putera pertamanya, Barr Al-Aliy, kini berusia 13 bulan, namun tahun ini dia berusaha berpuasa walaupun sedang sarat mengandung enam bulan.

“Ramadan yang lalu Sari berpuasa seperti biasa. Walaupun tidak mengapa jika tidak berpuasa, Sari tetap lakukannya juga tahun ini. Ini kerana berpuasa pada bulan Ramadan, nikmat dan keseronokan ingin menyambut raya itu lebih terasa.

“Tapi jika Sari puasa, Sari harus bersahur dahulu. Kebiasaannya, Sari akan bangun awal dan memasak kerana apabila bersahur, Sari perlu makan nasi dengan hidangan yang berat. Kerana jika tidak, Sari akan lapar semula pada tengah harinya,” tutur Sari mengenai rutin Ramadan yang baru ditempuhinya.

Bercerita tentang lokasi beraya, ujar Sari, kebiasaannya dia akan pulang beraya di kampung halaman ibu bapanya yang terletak di Kuala Pilah, Negeri Sembilan, memandangkan rumah mertua hanya terletak di Subang Jaya, Selangor.

Ujar anak kedua daripada tiga beradik perempuan ini, kebiasaannya tiga atau empat hari raya sudah memadai untuk beraya di kampung, namun jika dia mempunyai rancangan mungkin cuti tersebut dipanjangkan.

“Sari tidak pasti lagi berapa lama beraya di kampung sebab suami Sari bekerja sendiri, jadi sebenarnya tidak kisah tapi Sari ikut juga perancangan atau jadual kerja suami Sari.

“Lagipun Kuala Pilah bukannya jauh sangat. Kadangkala pernah juga kami pulang semasa hari pertama raya kerana tiada masalah untuk pulang ke sana memandangkan perjalanan mengambil masa sejam sahaja,” kata Sari lagi.

Tambahnya, setiap tahun dari Kuala Lumpur perayaan Aidilfitri memberikan pengalaman berbeza buat diri. Jika tiga tahun lepas, dia hanya menyambut raya sebagai seorang isteri dan tahun lepas raya pertama sebagai seorang ibu manakala pengalaman tahun ini pula sebagai seorang ibu mengandung.

Sementara itu, seiring dengan raya Aidilfitri, Malaysia juga bakal menyambut kemerdekaan yang ke-54 tahun ini. Bagi Sari, jika sayangkan negara tidak perlu hanya menunggu bila tiba hari kemerdekaan. Kita perlu tunjukkan semangat patriotik dengan mengibarkan Jalur Gemilang pada setiap masa.

Selera bermusim Serina


SERINA dan Sari Yanti bersyukur dengan kurniaan yang diberikan Tuhan buat mereka.


Bagi aktres tinggi lampai, Serina Ridzuawan yang sedang hamil lima bulan, dia tidak mahu memaksa diri untuk berpuasa pada bulan Ramadan tahun ini. Tuturnya, dia hanya berpuasa mengikut kemampuan diri bagi menahan lapar dan dahaga.

“Pada Ramadan lalu, saya ada juga berpuasa beberapa hari, namun saya tidak paksa diri. Saya hanya berpuasa jika saya larat dan mampu bertahan. Tahun lepas saya tidak dapat berpuasa kerana ketika itu saya sedang sarat.

“Dalam masa yang sama, kebiasaannya wanita hamil kerap kehausan. Suami juga risau kerana jika berpuasa dikhuatiri bayi di dalam kandungan mungkin akan kurang mendapat zat,” ujar Serina yang dikurniakan seorang anak lelaki berumur 10 bulan bernama Tristan Tareef O'luanaigh.

Seperti diketahui umum, Serina telah berkahwin dengan seorang lelaki Inggeris, Gavin Edward O'luanaigh atau nama Islamnya, Salahudin Ghaffar. Menurut Serina, suaminya kini masih dalam proses belajar berpuasa.

Dia juga bersyukur kerana walaupun tidak penuh 30 hari berpuasa, sifat suaminya yang berusaha sebaik mungkin untuk menunaikan Rukun Islam yang ketiga itu amat membanggakan. Katanya, dia tidak memaksa suaminya berpuasa namun mengajarnya dengan menggunakan cara tersendiri.

“Saya juga gunakan psikologi untuk mengajar suami saya dan sebenarnya dia seorang yang tidak cerewet. Jadi senang untuk berurusan dengannya. Kadangkala saya masak juga untuk juadah berbuka tapi selalunya jika suami saya mahukan apa-apa hidangan dia akan minta.

“Kadangkala dia terpaksa layan saya yang sering teringin untuk makan itu dan ini. Tapi yang peliknya, teringin saya ini bermusim. Sebagai contoh, jika saya teringin makan pizza, maka seminggu itu saya hanya mahukan pizza,” ujar Serina menceritakan tentang seleranya ketika hamil.

Saat berbicara mengenai raya, tutur ibu berumur 28 tahun ini, untungnya setiap tahun destinasi balik kampung hanya akan ke kampung halamannya di Pahang memandangkan suaminya seorang lelaki Inggeris yang tinggal di luar negara.

Seperti tahun-tahun sebelumnya, Serina akan membuat kuih raya sendiri dan ada juga yang dijual. Begitu juga tahun ini, yang mana dia ada membuat kuih-muih raya seperti tart nenas, cip coklat dan juga biskut lemon rasberi.

Walaupun masih berniaga, mungkin kuantiti kuih pada tahun ini dikurangkan dan hanya dijual kepada teman dan keluarga yang rapat sahaja kerana kehamilannya membataskan tenaga yang ada.

Selain itu, bercerita mengenai hari merdeka dan hari raya yang disambut tahun ini, kata Serina, Jalur Gemilang semestinya akan digantung setiap tahun sama ada di rumah mahupun di kenderaan namun untuk keluar menyaksikan perarakan mungkin tidak dilakukannya kerana kesesakan yang berlaku setiap kali sambutan Hari Kemerdekaan berlangsung.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: