|
|
BENARLAH kata orang, tulang belakang kepada kejayaan seorang suami adalah berkat sokongan dan kasih sayang daripada seorang isteri.
Bukan juga satu tanggungjawab mudah untuk menjaga kerukunan rumah tangga sehingga perkahwinan yang dibina atas dasar cinta itu kekal untuk satu tempoh yang lama.
Sesungguhnya hidup ini seperti kaca. Jika masing-masing tidak bersabar, ia akan hancur berkecai ibarat gelas-gelas kaca yang jatuh terhempas ke bumi.
"Saya cukup bertuah kerana dapat memiliki seorang suami yang cukup penyabar. Saya juga tidak menafikan suami saya seorang yang panas baran dan garang orangnya.
"Cukup kenal dengan dirinya, dia seorang yang suka cakap lepas dan tidak hipokrit. Memang ada kala hati akan terguris dan terluka dengan kata-katanya itu.
"Tetapi, dia seorang yang pandai memujuk dan tidak terus meletakkan egonya di tangga teratas apabila dia sedar tindakannya itu telah membuatkan saya atau anak-anaknya terasa hati.
"Dia juga seorang yang cepat memaafkan orang walaupun ada segelintir mereka telah melakukan perkara-perkara yang tidak sepatutnya kepada dia," ungkap Datin Fatimah Ismail sewaktu membicarakan tentang belahan jiwanya, Datuk Yusof Haslam.
Cerita tentang kejayaan Yusof sebagai salah seorang tokoh perfileman paling berjaya memang sudah banyak diceritakan.
Sekadar memberikan kelainan, Hits membawa pembaca menyelami kolam hati seorang wanita yang telah menjadi pendokong utama kepada kerjaya seni Yusof hampir tiga dekad.
Tidak lokek untuk berkongsi cerita, daripada butir bicaranya sahaja, sudah dapat dirumuskan bahawa Fatimah, beliau cukup bertuah bersuamikan seorang figura unggul dunia perfileman tanah air.
Dalam sesi fotografi yang berlangsung di rumah agam mereka, Darul Haslam yang terletak di Taman Melawati, Hulu Kelang, Selangor, baru-baru ini, banyak sungguh cerita yang dikongsi wanita ramah ini.
Malah, apabila direnung kembali masa silamnya sewaktu dia mengambil keputusan untuk mendirikan rumah tangga, dia tidak pernah menyangka kehidupan mereka sekeluarga akan mencapai taraf seperti hari ini.
Mungkin ramai yang tidak tahu, Yusof dan Fatimah masing-masing adalah duda dan janda sewaktu mereka bertemu.
Cuma, Fatimah sahaja yang memiliki seorang cahaya mata, Mohd. Faizal, 30, manakala Yusof tidak mempunyai anak daripada perkahwinan terdahulu.
"Keluarga saya sendiri bertanya kepada saya apakah saya membuat keputusan yang tepat apabila mahu berkahwin dengan Yusof.
"Apatah lagi dengan sumber kewangan suami saya ketika itu yang tidak menentu sebagai seorang pelakon, sudah pasti kebimbangan itu ada dalam diri ibu bapa saya.
"Tetapi, saya lebih percaya kepada rezeki Allah SWT dan segala ketentuan-Nya. Kehidupan awal kami juga bukanlah senang seperti yang mungkin ramai orang sangka.
"Baik saya mahupun Yusof, kami bersama-sama mencari rezeki dan perlahan-lahan membina hidup kami sendiri sehinggalah sampai ke satu tahap suami saya meminta agar saya berhenti kerja kerana dia sudah mampu untuk menyara kami anak-beranak," jelas Fatimah yang merupakan bekas kakitangan Sistem Penerbangan Malaysia (MAS) selama 14 tahun itu panjang lebar.
Hasil perkahwinan mereka pada 3 Mei 1982 telah dikurniakan dengan tiga orang cahaya mata iaitu Mohd. Shamsul, 27, atau lebih dikenali sebagai Syamsul Yusof; Nurshamin, 23, dan Muhamad Syafiq, 19.
Menyambung bicara, Fatimah mengakui di awal perkahwinan dengan Yusof, dugaan dan cabaran yang perlu dilaluinya begitu banyak.
Apatah lagi, dia memiliki sifat cemburu dan cepat panas hati apabila melihat keakraban Yusof dengan artis-artis wanita sewaktu di lokasi penggambaran.
"Isteri mana yang tidak cemburu apabila melihat suami mereka bertepuk-tampar dengan wanita lain di depan mata. Sehinggakan kami pernah bertegang urat kerana perkara itu walaupun Yusof menjelaskan tiada apa yang berlaku.
"Namun, lama-kelamaan, saya boleh menerima tugasnya sebagai seorang pelakon. Sebagai isteri, saya harus menerima kelemahan serta kelebihannya. Begitu juga dengan dirinya.
"Kami cukup menitikberatkan soal itu dan saya percaya itulah punca kasih kami berpanjangan sehingga ke hari ini dan Insya-Allah, sehingga ke nafas terakhir kami," kata Fatimah dalam nada bersungguh-sungguh.
Sudah menjadi asam garam dalam kehidupan suami isteri, pasti akan ada tercuit sana sini dan begitu juga dalam perhubungan Fatimah dan suaminya.
Mengakui hubungannya dengan Yusof pernah dilanda badai sehingga membangkitkan gelora amarah yang membawanya merantau jauh meninggalkan suami serta anak-anak.
Tidak mahu lagi mengungkit kisah silam itu, kata Fatimah, banyak pengalaman dan pengajaran yang diperolehinya daripada insiden tersebut.
"Saya melengkapkan diri saya dengan ilmu agama dan mempelajari banyak perkara untuk mengukuhkan lagi ikatan kebahagiaan kami," ucapnya penuh makna.
Sebagai penyokong dan pengkritik utama dalam hidup Yusof, wanita kelahiran Gelugor, Pulau Pinang itu memberitahu tuah dan rezeki Yusof dalam bidang perfileman tidak datang bergolek.
Semuanya bermula dengan perniagaan restoran yang telah diusahakan oleh arwah bapanya, Ismail Mustafa di mana kemudiannya menjadi Restoran Haslam yang terletak di Jalan Pahang, Kuala Lumpur.
Menyedari minat Yusof bukan dalam bidang perniagaan seperti itu, Fatimah memberitahu Yusof sendiri mencari peluang dan mahu meneroka bidang penerbitan drama.
"Apabila dia mendapat slot di RTM, bermulalah era baru Yusof Haslam apabila dia menerbitkan dan mengarahkan drama bersiri Remang-Remang Kota Raya di bawah Skop Productions.
"Sesungguhnya perkahwinan ini saya ibaratkan untung sabut timbul, untung batu tenggelam," ujarnya sambil memandang suaminya yang sibuk melayan kerenah tiga cucu mereka.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: