Thursday, September 15, 2011

Program menarik sempena Sambutan Hari Malaysia 2011

Sempena perayaan Hari Malaysia bertemakan Transformasi Berjaya Rakyat Sejahtera pada 16 September (Jumaat) ini, penonton akan dihidangkan beberapa program menarik sepanjang hari. Bermula dengan Siaran Langsung Perbarisan dan Perarakan Hari Kemerdekaan yang ke-54 mulai, jam 8 pagi di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur, beberapa program menarik menyusul untuk tatapan anda semua.


Di Mana Bendera Saya
(TV1, 3.05 petang)

Sikap seorang remaja yang terlalu mengagungkan budaya barat sehingga tidak pernah menghargai pengorbanan datuknya yang terkorban kerana menentang penjajah. Sikap egonya menyebabkan dia meninggalkan rumah neneknya. Namun secara tidak sengaja dia bertemu dengan seorang lelaki tua yang menceritakan kisah pahit manis menentang penjajah demi kemerdekaan negara. Pelakon: Abu Bakar Elah, Rablin Nordin dan Nazri Hussin.


Keajaiban Moden: Menara Berkembar di Timur
(NTV7, 10.30 pagi)

Dokumentari ini yang akan disiarkan selama sejam menceritakan kisah di sebalik menara kembar yang mengagumkan ini. Menara Berkembar Petronas merupakan bangunan tertinggi di dunia hingga hari ini. Menara berkembar ini juga melambangkan sejauh mana pencapaian Malaysia. Menara berkembar ini bukan sahaja merupakan kemuncak hasil titik peluh pakar-pakar kejuruteraan dari seluruh dunia, tetapi juga visi bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad untuk mentransformasikan Malaysia.


Namaku Bukan Setsuko
(TV1, 4.05 petang)

Kisah percintaan berlainan bangsa dan agama antara Tijah dan suaminya yang berbangsa Jepun. Setelah berkahwin mereka dikurniakan seorang anak perempuan tetapi malangnya mereka terpisah kerana dikhianati oleh seorang pemuda kampung yang menaruh hati terhadap Tijah. Suami Tijah terpaksa membawa lari anak mereka ke Jepun dan membesar di sana sebagai Setsuko. Satu hari ayah Setsuko berpesan supaya mencari ibunya di Malaysia. Pelakon: Elaine Daly, Dian P Ramlee dan Mariani Ismail


Pertandingan Tarian 1Malaysia (TV1, 9 malam)

Menyaksikan sebanyak enam kumpulan terdiri daripada pelbagai kaum di Malaysia berentap. Juara bakal membawa pulang wang tunai RM3,000 dan terpilih mewakili Malaysia ke Pertandingan Tarian Rakyat Antarabangsa (International Folk Dance) di Korea.


Suu Lee, Maryam, Haryati’
(17 dan 18 September, TV1, jam 8 malam)

Berkisar tentang kezaliman tentera Jepun setelah berjaya mengalahkan tentera British di Malaya. Tentera Jepun cuba memburu Ah Chai iaitu ayah Suu Lee kerana menyangka dia tali barut British menyebabkan Ah Chai menyembunyikan Suu Lee di rumah ayah Haryati. Mulalah kisah hidup Suu Lee, Maryam dan Haryati. Pelakon: Irma Hasmie, Nadia Mustafar, Zamarul Hisham, Nasir Bilal Khan dan Aleza Shadan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: