Thursday, September 15, 2011

Masakan Farhan tambat hati kekasih

Sepanjang lima tahun berada dalam industri hiburan, jarang sekali kita mendengar kisah bekas pelajar Akademi Fantasia 4 (AF4), Farhan dikaitkan dengan mana-mana lelaki.

Dalam diam, rupa-rupanya gadis manis ini sudah pun memiliki kekasih hati yang dikenalinya lapan tahun lalu.

Si jejaka bertuah itu, Ahmad Rashdan Suhaimi, 27, yang bekerja sebagai Pengurus Penjenamaan dan Acara Antarabangsa di sebuah syarikat hartanah diperkenalkan sendiri oleh Farhan kepada media dalam satu majlis baru-baru ini.

Walaupun kelihatan malu-malu pada mulanya, namun Rashdan tidak lokek berkongsi cerita perkenalan yang tercetus antara mereka.

“Kami kenal melalui kawan-kawan dan ketika itu saya langsung tidak menyimpan perasaan terhadap Farhan, malah kami kerap bergaduh.

“Selepas Farhan keluar dari AF4, saya ada menghadiri majlis hari jadinya dan sejak itu saya mula menyukai dia sedikit demi sedikit,” katanya yang menyenangi sikap Farhan yang pandai berdikari.

Menurut Rashdan, mereka kemudiannya berkawan dengan lebih rapat dan mula serius beberapa bulan sebelum Aidilfitri pada 2009.

Bagaimanapun, menurut Farhan pula, hubungan mereka yang baru berputik terus berhadapan dengan cabaran apabila Rashdan mendapat tawaran melanjutkan pelajaran peringkat Master di United Kingdom.

“Hubungan jarak jauh sangat mencabar kerana kami sukar untuk berkomunikasi.

“Tetapi, kami sama-sama meletakkan kepercayaan dan halangan ini sebenarnya mengeratkan lagi hubungan kami,” katanya yang gembira kerana Rashdan sudah pulang ke Malaysia, dua bulan lalu.

Apabila diusik tentang rancangan mereka untuk mendirikan masjid, Farhan menyerahkan kepada Rashdan untuk menjawab soal itu.

“Sudah tentu saya bercadang merisik dan bertunang dengan Farhan, cuma masanya belum ditentukan lagi.

“Paling cepat mungkin awal tahun depan, namun ini hanya rancangan. Lebih cepat lagi bagus,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: