Friday, September 2, 2011

Keletah Galaksi Raya 2011


ANTARA babak sketsa muzikal lakonan barisan artis yang terbabit dalam Galaksi Raya 2011.


RANCANGAN mingguan sensasi popular TV9, Galaksi akan tampil dengan sebuah episod khas, Galaksi Raya 2011. Masih kekal dengan elemen-elemen sensasi, namun ia tetap disesuaikan dengan suasana sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Menjalani rakaman di Menara Kuala Lumpur dengan berlatar belakang rumah-rumah tradisional pelbagai negeri, rancangan tersebut turut mengundang beberapa artis popular tanah air.

Antara artis-artis yang muncul ialah Enot, Ifa Raziah, Sepah, Awan Band, Didie Alias, Ida Moin dan Kilafairy. Program itu turut dikendalikan oleh Ikhwan yang juga penyampai radio Hot FM.

Seperti kelazimannya, rancangan berkenaan akan dipadatkan dengan paparan berita dan cerita sensasi. Antara paparan yang eksklusif adalah rakaman detik-detik akhir keadaan penyanyi era 1960-an, Hasnah Harun sebelum arwah menghembuskan nafas terakhir.

Selain itu, turut dipaparkan temu bual eksklusif pelakon dan penerbit, Ziela Jalil yang mengimbau semula penampilannya suatu ketika dahulu yang pernah dikenali sebagai seorang artis seksi.

Tidak ketinggalan paparan tentang Scha Alyahya bersama kekasihnya, Awal Ashaari menyambut hari lebaran serta mengenai bekas pengacara Galaksi sendiri, Irma Hasmie yang tabah meraikan Aidilfitri pada tahun ini.

Galaksi Raya 2011 diterbitkan oleh Nas Ahmad dan Zaimie Anizah Zainuddin dan akan disiarkan pada 2 September ini pukul 9 malam di saluran TV9.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: