JIKA dilihat kebelakangan ini, memang artis-artis baru tidak kiralah pelakon atau penyanyi hanya tahu lebih bergaya dan tampil anggun sehingga membelakangkan etika kita sebagai orang timur.
Rata-rata mereka hanya tahu meniru gaya artis-artis dari barat, tanpa segan silu mendedahkan susuk tubuh ke khalayak ramai, jauh sekali menyimpang dengan adat kita sebagai seorang Melayu.
Ternyata apabila ditemui ketika rakaman Melodi Raya baru-baru ini, dua penyanyi lama yang begitu dikenali, Datuk Jeffrydin dan Datuk A. Rahman Hassan juga turut bersependapat dengan fenomena yang di lalui oleh kebanyakan artis tempatan ketika ini.
“Nak bergaya tu tidak salah, tapi biarlah kena dengan keadaan. Sebagai artis kita kena lah ubah dari segi pemakaian kita, biarlah berdisiplin dan jangan malu untuk bertanya serta dapatkan nasihat daripada orang lama macam kami ni.
“Jangan anggap kita dah bagus, nasihat orang lain kita tak payah dengar. Jika kita bagus macam mana sekali pun, ada lagi orang yang lebih bagus daripada kita,” tegur Jeffrydin.
Tambahnya lagi, adat kita sebagai orang Melayu perlulah dijaga sebaik-baiknya, tambah-tambah ketika sambutan hari raya.
“Sebagai seniman, kita perlulah menunjukkan contoh terbaik kepada peminat. Seniman adalah orang yang dikenali, tingkah laku kita memang diperhatikan dan kemungkinan juga akan ditiru, jadi kita kena jaga penampilan dari setiap sudut,” ujarnya.
Perkara sama juga turut dipersetujui oleh rakan seperjuangannya, Datuk A. Rahman Hassan, katanya ketika ini cabaran semakin banyak dan semestinya memerlukan ketahanan diri yang kuat.
“Artis muda sekarang memang banyak peluang dan kemudahan, semakin banyak kemudahan semakin banyak cabaran.
“Golongan muda perlu belajar bidang seni ini dengan sebaik-baik mungkin, kalau betul serius dalam bidang ini, kita perlulah berusaha lebih,” tambahnya.
Katanya lagi, walau sejauh mana kita pergi, jati diri bangsa Melayu perlulah dijaga, tanpa budaya tiadalah kita.
“Walau kemana sekalipun kita pergi adat serta jati diri kita sebagai orang melayu perlulah dijaga.
“Jika hilangnya budaya kita, kemana arah kita selepas ini belum lagi diketahui,” jelasnya.
Rahsia sihat
Memang tidak dinafikan jika dilihat kepada dua penyanyi veteran ini, memang keadaan mereka ibarat seperti dizaman mereka belia remaja dahulu.
Tanpa banyak perubahan, masih sihat dan masih gagah untuk berada di pentas dan stamina penyanyi ini ibarat penyanyi muda ketika ini.
Bagi Jeffrydin, ketika menyambut terutamanya bulan Ramadan, paling penting adalah amalan yang dilakukan.
“Selain berpuasa di siang hari, kita juga perlu memperbanyakkan amalan di waktu malam, dengan cara itu kita sendiri akan rasa diri kita sihat.
“Selain sihat, kita sendiri juga akan memperolehi keberkatan dariNya.
“Kalau boleh dalam bulan Ramadan, segala persembahan dan pertunjukkan sepatutnya diperlahankan sedikit, kita jangan jadikan diri kita sebagai hamba kepada duit, keadaan itu tidak bagus.
“Saya sendiri akan memperlahankan persembahan saya, kalau saya buat persembahan pun pilih-pilih sahaja,” terangnya.
Bagi A. Rahman pula, rehat yang cukup dan selalu amalkan meminum air suam adalah salah satu petua bagi menyihatkan lagi tubuh kita.
“Kalau boleh air batu atau ais tu kurangkan sedikit pengambilannya, bukan apa benda tu sejuk di luar sahaja, di dalamnya panas,” ujarnya.
Berjuang pertahankan industri
Ditanya berkenaan industri muzik ketika ini, Jeffrydin berkata cabaran serta dugaan semakin bertambah, ketika ini juga aliran muzik turut bertambah.
“Ketika ini seperti yang saya maklum memang lagu dari luar negara telah menguasai industri kita. Kita dah merdeka, jadi industri kita juga perlulah merdeka sama, kita harus berjuang, cari lagu yang terbaik.
“Jangan hanya tertumpu pada lagu moden sahaja, pelbagaikan variasi, orang lain boleh buat, kenapa pula kita tidak boleh,” kata Jeffrydin.
Tambahnya, setiap orang anak seni perlu mengatasi keadaan ini, keadaan dimana lagu luar yang menguasai carta aliran lagu negara kita.
“Dalam TV dalam radio, semuanya lagu luar, terutamanya dari Indonesia, kenapa keadaan ini boleh terjadi?
“Kita semuanya perlu bersatu menangani situasi ini, dengan bersatu sahajalah kita akan berjaya mengatasi lagu mereka,” kritik beliau dengan penuh keterbukaan. Hal ini menurut Jeffrydin menjadikan industri hiburan kita tidak dilihat merdeka dalam erti kata yang sebenarnya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: