|
| Akem Othman, Ardavan Farzi, Shaff Shamim |
SUDAH empat hari umat Islam menyambut hari kemenangan, Hari Raya Aidilfitri. Sudah pasti, banyak rumah sanak saudara dan sahabat handai sudah dikunjungi.
Bagaimana agaknya gaya anak muda menyambut hari raya? Apatah lagi bagi yang menyambutnya di ibu negara dan jauh daripada sanak-saudara di kampung?
Tiga anak muda yang ditampilkan dalam Kacak Bergaya minggu ini ada cerita tersendiri yang berlainan. Syaff Shamim, Akem Othman dan Ardavan Farzi sedia berkongsi cerita raya mereka.
Syaff Shamim teruja drama raya
Pelakon muda Syaff Shamim mengakui keseronokan utama bila tiba musim cuti perayaan ialah jalan raya yang lengang seolah-olah Kuala Lumpur tak berpenghuni.
“Selepas beraya bersama keluarga di Segambut, saya telah berjalan bersama-kawan kawan pusing-pusing Kuala Lumpur. Ada juga singgah ke rumah kawan.
“Perjalanan dari satu tempat ke satu tempat amat lancar sebab semua orang balik ke kampung masing-masing. Saya dan keluarga hanya beraya di Segambut dan Cheras. Dulu pernah juga balik beraya di kampung asal ayah di Pahang, tapi bila datuk dah tak ada, kami hanya beraya di Kuala Lumpur,” kata Syaff.
Syaff atau nama penuhnya Mohd. Syafiq Shamim Abdul Razak, 19, juga teruja kerana drama lakonannya, akan ditayangkan pada musim perayaan ini di RTM.
“Drama ini sebenarnya lebih fokus kepada pengorbanan seorang ibu dan ia sesuai ditayangkan pada musim perayaan,” kata Syaff yang akan meneruskan aktiviti sebagai pengacara sebuah program berorientasi remaja tidak lama lagi.
Ardavan selesa di Malaysia
Ardavan Farzi, 19, seorang remaja dari Iran yang memilih Malaysia sebagai destinasi pengajian. Dia baru tamat mengikuti kelas bahasa Inggeris dan sedang mencari kolej untuk meneruskan pengajian.
“Tahun ini saya akan beraya di Sini bersama ibu saya dan juga kenalan yang sebangsa dengan saya. Ramai juga pelajar dari Iran yang saya kenali.
“Saya selesa berada di Malaysia kerana orangnya mudah mesra dan menerima kami sebaiknya. Apatah lagi saya tidak akan kerinduan masakan tradisi kami sebab banyak restoran masakan Iran di sini,” kata Ardavan yang kini berjinak-jinak dengan peragaan.
Menyentuh pasal raya di Tehran, Iran, Ardavan tidak nampak perbezaan ketara sebab di negaranya juga ada tradisi kunjung mengunjung sanak keluarga.
“Ahli keluarga akan berhimpun di rumah aggota keluarga yang lebih tua. Sambil menikmati juadah istimewa hari raya, kami juga buat acara tari menari. Orang Iran memang suka menari, tapi acaranya untuk keluarga sahaja,” kata Ardavan kepada Pancaindera.
Akem ikut ibu beraya
Seorang lagi pelakon baru, Akem Othman, 19, beraya bersama ibunya di sekitar Lembah Klang sahaja. Ke mana sahaja ibunya beraya dia akan bersama-sama ibu. Apatah lagi bapanya kini memiliki keluarga lain.
“Kami sekeluarga beraya di rumah nenek di Subang. Saya tak pandai menolong ibu di dapur, tapi saya menolong mengemas rumah sahaja.
“Saya juga ada keluar beraya bersama kawan rapat saya untuk menziarahi kawan-kawan yang beraya di ibu negara,” katanya yang dibesarkan di Puchong, Selangor itu.
Akem atau nama penuhnya Mohamad Hakin Othman juga masih menunggu tawaran berlakon watak yang lebih besar kerana sejak memulakan langkah dalam bidang lakonan awal tahun ini dia belum terima watak mencabar.
Ditanya pasal kiriman kad raya, Akem akui budaya itu tidak menarik minatnya. Dia sebaliknya lebih banyak mengirim ucapan raya kepada kenalan melalui khidmat pesanan ringkas (SMS).
“Selain SMS, saya juga hantar ucapan melalui laman sosial Facebook. Sekarang zaman dah berubah, semua orang mahu memilih jalan singkat dan menjimatkan,” kata Akem lagi.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: