Tuesday, September 6, 2011

Muncul dengan Projek X

Kemunculan mereka mencetuskan fenomena dalam dunia nyanyian berkumpulan suatu ketika dahulu. Tidak hanya bersandar pada rupa, kumpulan X-Factor punya kelebihan daripada segi vokal dan imej.

Berbekalkan semangat dan jiwa remaja, lima bersahabat ini membina nama mereka. Lebih teruja apabila X-Factor ketika itu, bernaung di bawah label KRU Records. Mohd Khardanie Anwa (Danny), Iwan Shah Azhar (Shah), Zachery Francis Ubu (Zach), James Vernon Burge (Ivarn) dan Syed Affendi Syed Ibrahim (Fendi) berjaya melonjakkan nama mereka sebaris kumpulan sedia ada ketika itu.

Pernah mencuri perhatian dengan lagu popular seperti Sehangat Api dan 7231564, Ivarn kemudiannya mengundur diri setelah memeluk Islam dan tempatnya digantikan dengan Jim.

Sayangnya populariti di kecapi mereka tidak bertahan lama, apabila masing-masing membawa haluan sendiri pada tahun 2003.

Danny dan Zach pula beralih arah ke bidang lakonan. Shah berhijrah ke Australia, sementara Fendi dan Jim fokus pada kerjaya lain.

Ramai yang sudah menjangkakan hayat kumpulan ini sudah berakhir. Namun tahun ini, kumpulan X-Factor muncul kembali. tetapi kali ini hanya bertiga iaitu Danny, Shah dan Zach.

Bercerita mengenai idea kemunculan semula mereka yang dinamakan sebagai Projek X ini, Danny mewakili kumpulannya berkata, semuanya tercetus daripada Shah dan isterinya, Sharifah Fairuz yang ingin melihat X-Factor mencipta kegemilangan seperti dahulu.

“Sejak Shah pulang dari luar negara, dia begitu bersemangat untuk kembali menyanyi, lantas mencadangkan kepada anggota lain untuk membuat kemunculan semula.

“Saya dan Zach tertarik dengan idea itu kerana kami juga rindu hendak menyanyi, walaupun kini aktif dalam bidang lakonan.

“Sayangnya hanya saya dan Zach yang dapat menyertai kumpulan ini. Fendi dan Jim tidak dapat memberi komitmen, tetapi mereka sentiasa menyokong usaha kami,” katanya ketika dihubungi Zass.

Tidak mahu digelar ‘syok sendiri’, X-Factor terlebih dahulu menguji ingatan khalayak terhadap kumpulan itu melalui laman Facebook.

“Dari situ, tanpa disangka-sangka kami mendapat maklum balas yang cukup baik daripada peminat yang begitu merindukan kelibat dan aksi kami.

“Perkara itulah yang membuatkan kami semakin bersemangat dan yakin untuk muncul dengan single baru berjudul Aura Membara sebagai permulaan,” katanya.

Menurut Danny, seiring dengan peredaran muzik semasa, lagu yang menampilkan Kozac sebagai komposer itu lebih cenderung kepada konsep K-Pop yang menjadi pilihan pendengar masa kini.

Lagu itu merupakan kesinambungan kepada lagu Sehangat Api yang sudah mula diedarkan ke stesen radio untuk diperdengarkan kepada pendengar.

“Bersesuaian dengan judul lagu tersebut, kami yakin aura X-Factor masih membara walaupun banyak kumpulan lain muncul ketika ini.

“Bukan hendak membangga diri, tetapi X-Factor sudah ada nama di dalam industri dan rasa sayang jika ia terkubur begitu saja,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: