Tuesday, September 6, 2011

Hantu Bonceng kutip RM 5 juta untuk lima hari tayangan

Lima hari menemui penonton, filem Hantu Bonceng mencatat kutipan sebanyak RM 5 juta.

Mula ditayangkan pada 31 Ogos lalu, filem ini turut melakar sejarah tersendiri apabila pada hari kedua tayangan sudah berjaya meraih kutipan tiket terbesar musim perayaan apabila mendapat RM 1.78 juta.

Filem terbitan Excellent Pictures ini, ditayangkan di 80 panggung, serentak di seluruh Malaysia, Singapura dan Brunei.

Membariskan pelakon seperti Zizan Razak, Juliana Evans, Jue Aziz, Dottie dan Tai, penerbit dan juga pengarahnya Ahmad Idham menyeru agar lebih ramai memenuhi pawagam menyaksikan filem bercorak komedi seram ini.

“Saya harap orang ramai akan meneruskan sokongan terhadap filem ini. Ia boleh melakar satu sejarah baru industri perfileman tanah air.

”Semua ini juga kerana kerjasama yang diberikan semua pelakon yang terbabit dalam membantu mempromosikan filem ini.

“Sokongan pihak media cetak dan elektronik serta media baru dalam menyebarluaskan mengenai filem ini begitu besar dan saya amat menghargainya,” katanya.

Di atas sambutan cukup menggalakkan, penonton dinasihati membuat tempahan awal melalui talian telefon. Filem yang ditayangkan pada sambutan Aidilfitri 2011 akan ditayangkan selama dua minggu, berdasarkan tempoh wajib tayang.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: