
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed dalam kenyataannya berkata, berdasarkan statistik terkini, Jabatan Perangkaan Malaysia, pihaknya yakin jumlah FDI bagi tahun 2011 akan melebihi jumlah direkodkan pada tahun 2010 iaitu RM29.3 bilion.
Menurutnya, peningkatan dalam aliran masuk FDI bagi tempoh setengah tahun pertama 2011, menunjukkan keyakinan pelabur terus meningkat, lanjutan inisiatif-inisiatif yang diperkenalkan oleh kerajaan untuk merangsang pertumbuhan ekonomi.
Menurutnya, pengenalan beberapa inisiatif utama seperti Program Transformasi Kerajaan dan Program Transformasi Ekonomi, telah membantu menambah baik persekitaran perniagaan secara keseluruhan.
“Pemulihan kukuh dalam aliran masuk FDI negara akan memastikan unjuran pelaburan swasta bagi tahun ini sebanyak RM83 bilion tercapai,” katanya.
Beliau berkata, bagi projek diluluskan dalam sektor perkilangan pula, sejumlah 514 projek perkilangan dengan pelaburan bernilai RM31.7 bilion, telah diluluskan bagi tempoh dari Januari hingga Julai 2011, di mana RM15.9 bilion adalah pelaburan domestik dan RM15.8 bilion adalah pelaburan asing.
“Secara perbandingan, 910 projek diluluskan bagi seluruh tahun 2010 dengan pelaburan RM47.2 bilion.
“Bagi bulan Julai 2011, sejumlah 61 projek perkilangan dengan pelaburan RM4.3 bilion telah diluluskan.
”Daripada jumlah pelaburan ini, RM2.4 bilion (55.8 peratus) merupakan pelaburan domestik, manakala RM1.9 bilion (44.2 peratus) adalah pelaburan asing,” katanya.
Sementara itu, katanya, bagi tempoh dari Januari hingga Julai 2011, sebanyak 313 projek dengan pelaburan bernilai RM15.9 bilion merupakan projek baru
Manakala, 201 projek dengan pelaburan bernilai RM15.8 bilion adalah projek pembesaran/pelbagaian.
Katanya, projek-projek tersebut dijangka dapat mewujudkan 63,387 peluang pekerjaan.
Beliau berkata, punca utama pelaburan asing adalah Jepun (RM2.4 bilion), Amerika Syarikat (RM2.3 bilion), Singapura (RM1.9 bilion), Belanda (RM1.2 bilion) dan Taiwan (RM1.2 bilion).
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: