Thursday, September 15, 2011

Khazanah mahu butir AirAsia X lebih jelas

Khazanah Nasional Bhd hanya akan memperoleh 10 peratus saham AirAsia X Sdn Bhd apabila mendapat butir yang lebih jelas dalam model perniagaan dan kewangan syarikat penerbangan tambang murah jarak jauh itu.

“Apabila terdapat butir yang lebih jelas, kami berminat (untuk meneruskan),” kata Pengarah Urusannya, Tan Sri Azman Mokhtar di Kuala Lumpur, semalam.

Selain kejelasan dalam model perniagaan dan kewangan, cabang pelaburan kerajaan itu juga melihat kepada masa.

“Mereka ada tempoh masa, dari segi bila mereka mahu meneruskan ke peringkat evolusi berikutnya, seperti tawaran awam permulaan dan sebagainya,” katanya.

Ogos lalu, Khazanah mengemukakan cadangan untuk memperoleh 10 peratus saham dalam AirAsia X pada terma dan harga untuk dipersetujui kemudiannya.

Cadangan itu susulan daripada pemeteraian perjanjian kerjasama antara Malaysia Airlines (MAS), AirAsia dan AirAsia X.

Hasil perjanjian itu menyaksikan Khazanah kekal sebagai pemegang saham utama dan tunggal terbesar MAS dengan 10 peratus pegangan dalam AirAsia.

Ia juga akan menyaksikan MAS menumpukan aktiviti sebagai syarikat penerbangan premium perkhidmatan penuh, AirAsia sebagai syarikat penerbangan tambang rendah (LCC) dan AirAsia X, LCC perjalanan jarak sederhana-jauh.

Semasa mengulas lanjut mengenai model perniagaan AirAsia X, Azman berkata, pihaknya tahu model boleh dilaksana dari segi perjalanan jarak dekat tetapi bagi jarak sederhana dan jauh dan beliau berpendapat ia masih agak awal.

“Kami perlu kejelasan berhubung perkara itu,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: