
Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Mukhriz Mahathir berkata, perdagangan dan pelaburan antara kedua-dua negara masih agak rendah dengan dagangan berterusan hanya dalam jajaran produk yang kecil.
“Peranan sektor swasta juga sangat penting dalam melaksanakan rangka kerja perdagangan dan pelaburan yang diatur oleh kedua-dua kerajaan,” katanya pada pelancaran Forum Perniagaan Pakistan-Malaysia, di Kuala Lumpur, semalam.
Mukhriz berkata, penggalakan perdagangan juga memainkan peranan dalam menarik pelaburan dan meningkatkan eksport serta import.
“Malaysia dan Pakistan sentiasa mengekalkan hubungan dua hala dengan perdagangan memainkan peranan utama dalam hubungan ini.
“Titik perubahan dalam pembabitan dua hala kita ialah pemeteraian Perjanjian Perkongsian Ekonomi Rapat Malaysia-Pakistan (MPCEPA) pada 2007, yang berkuat kuasa secara rasmi pada 1 Januari, 2008,” katanya.
Menurutnya, sejak pelaksanaan MPCEPA pada 2008, perdagangan dua hala meningkat dengan kukuh apabila jumlah perdagangan berkembang sebanyak 133 peratus daripada RM3.42 bilion pada 2006 kepada RM7.99 bilion, tahun lalu.
“Eksport Malaysia ke Pakistan berjumlah RM7.52 bilion pada 2010, mewakili kenaikan 31.3 peratus.
“Malaysia, yang merupakan destinasi eksport ke-25 terbesar dan sumber import ke-5 terbesar Pakistan, pada 2010 mengimport barangan bernilai RM475.9 juta berbanding RM525.8 juta sebelumnya,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: