
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Kong Cho Ha berkata, 11.6 juta TEU (unit bersamaan 20 kaki) dikendalikan oleh pelabuhan di seluruh negara antara Januari dan Julai lalu, berbanding 10.6 juta TEU dalam tempoh sama tahun lalu.
“Ini merupakan prestasi membanggakan, seiring dengan kenaikan dari segi pengendalian kontena dan kargo,” katanya dalam satu kenyataan.
Pelabuhan Klang mencatatkan pertumbuhan 8.0 peratus kendalian kontena iaitu daripada 5.1 juta TEU bagi Januari hingga Julai tahun lalu kepada 5.5 juta TEU bagi tempoh sama tahun ini.
Sementara itu, Pelabuhan Tanjung Pelepas pula mencatatkan pertumbuhan 16.2 peratus kendalian kontena iaitu daripada 3.8 juta TEU bagi tempoh Januari hingga Julai tahun lalu kepada 4.3 juta TEU dalam tempoh sama tahun ini.
Cho Ha juga mengumumkan 1.8 juta TEU dikendalikan oleh pelabuhan di negara ini pada Julai lalu, atau peningkatan 7.3 peratus berbanding 1.7 juta TEU yang dikendalikan pada bulan sama tahun lalu.
Selain itu, pengendalian kargo juga menunjukkan prestasi yang menggalakkan dengan peningkatan sebanyak 31.5 juta tan atau 9.3 peratus kepada 371.1 juta tan berbanding 339.6 juta tan bagi tempoh yang sama tahun lalu.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: