|
SELEPAS sebulan berpuasa, majoriti yang bercadang menurunkan berat badan dan mengikut diet yang betul pasti tersenyum puas kerana misi peribadi itu berjaya dicapai.
Berkat amalam berpuasa dalam tempoh sebulan, organ tubuh badan direhatkan. Serentak dengan itu, toksin serta segala kekotoran dalam tubuh badan dapat disingkirkan.
Namun, disiplin dan faedah itu lazimnya tidak pernah kekal lama apabila Syawal menjelma. Ini semua gara-gara nafsu kita yang tidak mampu mengekang keinginan menjamah variasi makanan yang rata-ratanya disajikan pada rumah-rumah terbuka. Rendang, lemang, ketupat, kuih-muih serta air pelbagai perisa yang dihidangkan sememangnya sukar untuk ditolak.
“Itu fenomena biasa kerana sukar untuk menghalang diri menjamu pelbagai makanan ketika hari raya lebih-lebih lagi apabila kita perlu berkunjung ke rumah sanak saudara dan teman-teman.
“Tidak salah untuk mencuba semua makanan yang ada tetapi dengan syarat ia perlu diambil dalam kuantiti sederhana.
“Anda bebas makan apa sahaja tetapi pastikan amaun setiap jenis itu terkawal dan kalau boleh kurangkan minuman berkarbonat atau kordial,” jelas Lim Ai Leng, Ketua Pakar Pemakanan, Hospital Gleneagles Kuala Lumpur.
Apa yang dimaksudkan dengan kesederhanaan? Jelas Ai Leng, setiap jenis makanan terutama makanan berkuah perlu diselaraskan dengan betul kerana ia mengandungi minyak yang banyak berbanding makanan kering lain.
Begitu juga dengan minuman. Jarang sekali kita melihat air putih atau mineral dihidangkan bersama variasi minuman yang berperisa lain.
Tambah Ai Leng, tidak salah meletakkan air putih bersama minuman manis lain kerana setidak-tidaknya ia menunjukkan keprihatinan kita terhadap tetamu untuk memilih mana satu air yang mereka inginkan.
Modifikasi makanan
Sememangnya musim perayaan tidak akan lengkap tanpa rendang ayam dan daging. Namun, harus disedari bahawa dalam kelazatan itu, terselit pelbagai bahan yang wajar dielakkan oleh tubuh badan.
Akan tetapi, siapa yang mampu mengelak daripada mencedok rendang ayam ke dalam pinggan untuk dijamah bersama-sama ketupat ataupun lemang? Justeru, saran Ai Leng, proses pengubahsuaian makanan itu perlu dilakukan.
Modifikasi makanan tidak hanya rasional buat individu yang berpenyakit sahaja, malah ia juga sesuai diaplikasikan oleh semua orang yang bercadang mengekalkan pemakanan sihat pada hari raya.
Apa pendekatan yang boleh dijalankan? Antara inisiatif yang dicadangkan ialah dengan membuang kulit ayam yang hendak digunakan dalam masakan.
“Seperti yang diketahui umum, kulit ayam mengandungi kolesterol tinggi dan berpotensi mengundang masalah kesihatan lebih-lebih lagi bagi penghidap darah tinggi,” beritahu Ai Leng.
Mengulas isu sama, Chef Eksekutif, Pusat Perubatan Gleneagles Intan Kuala Lumpur, Rezuan Sulaiman memberitahu, pengubahsuaian makanan mampu membuatkan semua orang menikmati juadah Aidilfitri tanpa apa-apa pantang kerana bahan-bahan yang digunakan adalah terpilih.
“Nasi tomato, contohnya, selalunya kita masak menggunakan beras biasa, tetapi bagi mengurangkan kadar karbohidrat, kita boleh gantikannya dengan beras perang.
“Walaupun rasanya sedikit berbeza tetapi kandungan serat yang tinggi dalam beras perang tidak akan membuatkan kita berasa terlampau kenyang seperti yang dialami dengan beras biasa,” ujar Rezuan yang telah berkecimpung selama 25 tahun dalam penyediaan makanan hospital.
Rezuan turut mengajak tukang masak atau suri rumah supaya mengubal stail memasak rendang dan mee kari tanpa menggunakan santan. Santan secara prinsipnya mengandungi kolestrol yang tinggi.
Katanya, penggunaan susu rendah lemak untuk penyediaan juadah Aidilfitri lebih praktikal di samping rasanya yang lebih sedap.
“Tetapi mungkin ada segelintir yang tidak yakin dengan rasa masakan yang dihasilkan dengan penggunaan susu rendah lemak dan masih mahu menggunakan santan.
“Sebenarnya, mereka tetap boleh menggunakan santan tetapi perlu dicampurkan dengan susu rendah lemak. Ini bermaksud hidangan itu akan mengandungi separuh santan dan separuh susu rendah lemak,” jelas Rezuan lagi.
Menerusi usaha-usaha tersebut, ramai orang dapat menikmati hari raya dengan tubuh badan yang sihat tanpa apa-apa gangguan kesihatan, tambah chef yang berpengalaman itu.
Disiplin diri
Namun, harus diingat bahawa kunci kesihatan itu terletak kepada disiplin diri dalam mengawal kuantiti makanan yang diambil serta cara seseorang itu membakar semula kalori yang diambil.
Jika tidak dikawal, maka terjadilah pelbagai masalah kesihatan seperti cirit-birit, masalah pencernaan akibat makanan tidak hadam, angin dan juga masalah-masalah lebih besar bagi mereka yang mempunyai penyakit sedia ada.
Dalam hal ini, Ai Leng berkongsi cerita: “Pernah terjadi, seorang pesakit yang saya rawat menunjukkan prestasi kesihatan memberangsangkan sepanjang bulan Ramadan hingga dia dibenarkan pulang ke rumah untuk berhari raya bersama keluarga.
“Tetapi sayangnya, dia tidak mampu mengekang nafsu makan sehingga dia terpaksa dimasukkan ke hospital semula dan tahap kesihatannya kembali merosot.”
Ai Leng turut memberi amaran kepada pesakit darah tinggi dan gastrik supaya mengelakkan diri daripada menjamah makanan seperti rendang daging, lemang serta makanan terlalu pedas, masam dan berlemak.
Pesakit diabetes pula katanya, perlu berjaga-jaga dengan makanan manis seperti kuih-muih, makanan bergoreng dan minuman berkarbonat yang sememangnya harus dielakkan.
Puasa enam
Fenomena pertambahan berat badan sewaktu sambutan Aidilfitri memang kerap terjadi.
Hal ini sememangnya menjadi igauan lebih-lebih kepada mereka yang mempunyai masalah kesihatan. Namun, ujar Ai Leng, ia dapat diselesaikan sekiranya seseorang itu bersenam dan kembali berpuasa.
Puasa enam yang disunatkan kepada setiap umat Islam sesungguhnya memberi banyak manfaat.
Sementara itu, pelakon dan penyanyi, Elly Mazlein, 30, memilih untuk mengekalkan kesihatan tubuh badannya dengan berpuasa enam pada tahun ini.
Walaupun tidak meletakkan apa-apa pantang makan, Elly memberitahu, hari raya pertama merupakan waktu untuk menikmati segala juadah yang ada namun, dalam keadaan terkawal.
“Masuk hari raya kedua, saya akan mula berpuasa enam. Selain untuk mendapat keberkatan pahala pada puasa enam, ia juga dapat mengelakkan berat badan saya naik mendadak.
“Niat berpuasa enam tu biarlah betul, bukan sahaja disebabkan mahukan tubuh badan cantik, tetapi juga untuk beribadah dan mengekalkan kesihatan,” ujarnya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: