RASA bahagia, cemas, gelisah, bangga dan letih. Begitulah antara beberapa rentetan rasa yang dialami kebanyakan ibu sewaktu melalui alam keibuan.
Pengalaman itu lebih-lebih lagi dirasai oleh ibu muda yang bukan sahaja terpaksa mengimbangkan antara perubahan emosi dengan perubahan hormon. Bahkan, mereka juga perlu mengetahui gerak hati dan mempunyai pengetahuan tentang hal penjagaan yang terbaik bagi bayi yang baru dilahirkan.
Sejajar dengan usaha Pet Pet untuk memudahkan ibu muda menempuh alam keibuan, jenama lampin bayi baru lahir yang popular di Malaysia itu kini mengadakan bengkel bertajuk Menjawab Kebimbangan Ibu Terhadap Persoalan Bayi Baru Lahir.
Ia dikendalikan oleh Dr. Khoo Phaik Choo, pakar perunding pediatrik yang mempunyai pengalaman lebih daripada 25 tahun dalam bidang pediatrik.
Antara matlamat bengkel itu diadakan adalah untuk mendekati ibu-ibu di Malaysia dan pada masa sama berkongsi petua serta pengetahuan agar golongan itu berupaya menempuh alam keibuan dengan lebih mudah.
“Sebagai produk yang menyentuh kehidupan si ibu dari detik pertama kelahiran, kami rasa ia sangat penting untuk membimbing ibu yang menempuh alam baaru dengan melengkapkan diri mereka dengan ilmu dan kemahiran.
“Menjadi ibu adalah suatu tanggungjawab yang besar. Pet Pet berhasrat untuk menjadikan ibu-ibu sebagai kawan sejati agar kehidupan akan menjadi lebih lega, mudah dan selesa,” ujar Pengarah Perdagangan Disposable Soft Goods (DSG), Pet-Pet Foo Yoke Mun.
Bayi normal
Phaik Choo berkata, lazimnya, sejak bayi dalam kandungan lagi, terdapat banyak persoalan yang berlegar-legar di benak para ibu.
Antara yang kerap kedengaran ialah persoalan sama ada anak yang dikandung itu normal atau sebaliknya.
Menjawab tanda itu, pakar pediatrik itu memberi idea dan panduan yang boleh membantu.
“Untuk menentukan sama ada bayi baru lahir itu normal atau tidak, bayi perlu menjalani beberapa ujian untuk mengukur kadar denyut jantung, daya pernafasan, tonus otot, iritasi refleks dan warna berdasarkan markah yang dipanggil APGAR pada saat kelahiran bayi.
“Markah 8 hingga 10 adalah normal dan ini menandakan bayi baru lahir itu dalam keadaan sihat,” jelasnya.
Ujar beliau lagi, ibu muda seringkali bimbang sama ada bayi mereka mendapat secukupnya susu ibu atau tidak.
“Untuk memastikan keadaan itu, pemberian susu hendaklah dimulakan secepat mungkin selepas kelahiran. Seelok-eloknya ibu hendaklah menyusukan bayi dengan susu ibu sekurang-kurangya lapan hingga 12 kali setiap 24 jam,” katanya.
Menambah satu lagi senario kerisauan para ibu, Phaik Choo berkata, bayi yang baru lahir juga kerap membuang air kecil dan air besar.
Bagaimanapun, katanya kekerapan dan konsistensi air kencing dan najis berbeza-beza antara setiap bayi kerana ia bergantung kepada makanan yang diberikan.
Kekerapan bayi menangis
Menyambung topik bengkel, Phaik Choo berkata, bayi baru lahir yang kerap menangis adalah satu perkara lumrah. Dan itu sebenarnya antara elemen yang paling merisaukan oleh ibu-ibu di luar sana.
Dalam hal ini, sememangnya tiada cara untuk merungkai masalah itu kerana bayi menangis sebenarnya adalah satu cara mereka menyampaikan mesej tentang rasa lapar atau ketidakselesaan yang disebabkan oleh kekotoran lampin, kesakitan, ketakutan dan macam-macam lagi.
Ya, cabaran yang paling rumit yang dihadapi ibu adalah untuk mentafsirkan tangisan bayi.
“Jika bayi baru lahir menangis dan fikiran anda buntu serta tidak mengetahui apa yang perlu dibuat, anda dinasihatkan supaya bertenang dan cuba amalkan petua seperti mendakap, gosok lembut atau urut bayi, pegang bayi rapat-rapat pada dada, alihkan perhatiannya atau menyanyi menghiburkan mereka,” nasihat beliau lagi.
Sesi demonstrasi mengenai penjagaan kawasan lampin dan penukaran lampin turut diadakan oleh Phaik Choo.
Untuk sesi itu, beliau banyak memberi panduan yang berguna kepada para ibu.
“Pada hari-hari pertama selepas bayi dilahirkan, tali pusat perlulah dijaga dengan baik. Pastikan keadaannya tetap bersih dan kering, ia penting untuk mengelakkan terkena jangkitan.
“Pilihlah lampin bayi baru lahir yang mempunyai rekaan keselesaan khas untuk melindungi pusat bayi yang belum sembuh,” katanya.
Pemilihan lampin yang tepat juga harus dilakukan kepada bayi yang disusukan sepenuhnya. Bayi seperti itu lebih kerap mengeluarkan najis yang cair.
“Ibu perlu memastikan bahawa mereka menggunakan jenama lampin yang mempunyai ciri daya serap dan kekeringan yang baik, keselesaan, mudah guna dan tidak akan menyebabkan ruam pada punggung lembut bayi,” katanya.
Selain sesi kesedaran yang disampaikan oleh Phaik Choo, Pet Pet turut mengundang Dynas Mokhtar dan bayinya, Khyra Khalyssa dalam bengkel itu.
Kehadiran usahawan dan aktres itu membolehkan pelbagai persoalan termasuk pengalamannya menjaga bayi dilontarkan.
Dynas mengakui bahawa dia berdepan dengan pelbagai kepayahan dan cabaran ketika mula-mula menjaga Khyra.
“Kebimbangan saya yang paling utama adalah mengenai ruam pada lampin. Khyra mempunyai masalah ekzema.
“Kulitnya yang sensitif menyebabkan dia mudah terdedah kepada masalah ruam lampin. Oleh yang demikian, saya memilih lampin yang baik dan sesuai untuknya,” kata Dynas.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: