Friday, September 2, 2011

Buku nota basmi kebuluran


SETIAP tahun ramai kanak-kanak meninggal dunia akibat kekurangan zat makanan.


KEBULURAN boleh meragut nyawa. Setiap 10 saat, seorang kanak-kanak mati kelaparan. Setiap tahun, sembilan juta kanak-kanak di bawah umur lima tahun meninggal dunia akibat kekurangan zat makanan dan daripada penyakit-penyakit yang boleh dicegah.

Menurut laporan Pertubuhan Makanan dan Pertanian Bangsa-Bangsa Bersatu yang dikeluarkan pada Oktober 2010, 925 juta orang iaitu 14 peratus daripada penduduk dunia didapati kekurangan zat makanan.

Majalah dalam talian World Hunger Notes baru-baru ini melaporkan bahawa kekurangan zat makanan menjejaskan 32.5 peratus kanak-kanak di negara yang masih membangun (satu daripada setiap tiga kanak-kanak). Apa yang lebih menyedihkan, 80 peratus daripada kanak-kanak kebuluran itu berada di Asia.

Buku nota 101 Hair Care

World Vision adalah sebuah organisasi kemanusiaan antarabangsa yang membantu membasmi kemiskinan dan memperjuangkan keadilan untuk komuniti yang kurang upaya, tanpa mengira bangsa dan agama terutamanya bagi kanak-kanak.

Organisasi itu telah menganjurkan pelbagai inisiatif untuk menarik perhatian umum terhadap kanak-kanak, khususnya kesihatan mereka. World Vision bekerjasama dengan pelbagai rakan kongsi korporat untuk menyokong perjuangannya.

101 Hair Care, sebuah syarikat korporat yang bekerjasama dengan World Vision selama lima tahun, telah menjana lebih daripada RM150,000 menerusi perniagaan mereka untuk menyokong misi World Vision.

Sempena 30-Hour Famine (Kempen Prihatin 30 Jam) World Vision pada tahun ini, 101 Hair Care telah mengeluarkan buku nota bergambar yang bertemakan A World of Difference bagi mengumpul dana untuk menyokong kempen amal tersebut.

Edisi terhad 5,000 buah buku nota itu sesuai untuk dijadikan jurnal, hadiah untuk kawan atau buku bacaan ringan yang menarik.

Buku nota yang memaparkan pelbagai gambar menarik itu boleh didapati pada harga RM15 sebuah di salon 101 Hair Care dan pameran bergerak sekitar Lembah Klang, sempena Kempen Prihatin 30 jam World Vision.

Sebahagian besar daripada hasil kutipan akan disumbangkan kepada World Vision.

Gambar Ratu Cantik Universe/Malaysia 2011 dan Jurucakap World Vision Malaysia untuk Hak Kanak-Kanak, Deborah Henry turut dipaparkan dalam buku nota edisi terhad itu.

Ia bertujuan untuk berkongsi dan meningkatkan kesedaran orang ramai dalam kerja amalnya bersama World Vision, yang sudah menjangkau usia empat tahun.

Deborah melibatkan diri dalam program itu atas kesedaran peribadinya lebih daripada tanggungjawabnya sebagai ratu cantik kerana kesungguhan beliau untuk membantu golongan yang memerlukan sudah terpupuk sejak kecil lagi.

“Saya suka menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan terutamanya kanak-kanak, termasuk dari segi kewangan.

“Ini kerana saya percaya mereka boleh berdikari kalau diberi peluang yang sewajarnya dalam hidup seperti akses kepada pendidikan, kemudahan kesihatan dan air yang bersih,” katanya.

Tambahnya, seseorang itu pasti akan berasa gembira dan berpuas hati apabila dapat membantu insan lain di dunia ini.

Set hamper

Sementara itu, mereka yang ingin merawat kulit kepala atau rambut mempunyai pilihan untuk mendapatkan buku nota itu dengan set hamper 101 Hair Care pada harga RM300 (harga biasa RM959).

Set hamper itu mengandungi dua sesi BioTrichOxy (BTO), satu botol Syampu Herba 101 dan buku nota. Rawatan BTO dapat membekalkan oksigen tulen kepada lapisan dalaman epidermis menerusi tekanan tinggi, mengaktifkan sel, meningkatkan kadar metabolisme dan menentang kesan penuaan.

Sebagai satu komitmen peribadi, kakitangan 101 Hair Care turut melancarkan kempen berpuasa selama 30 jam di ibu pejabat 101 Hair Care di Dataran Mentari bermula dari 6 hingga 7 Ogos. Mereka disertai oleh peserta dari Pergerakan Belia Malaysia.

Eksekutif Pemasaran Kanan 101 Hair Care, Tyna Tan berkata, berpuasa membantu manusia benar-benar mengenali erti kebuluran.

“Pengalaman ini membuatkan kita insaf dan menimbulkan keinginan untuk menyokong perjuangan membasmi kebuluran.

“Ia juga memotivasikan kita untuk memberi sokongan kepada kanak-kanak yang memerlukan menerusi daya usaha World Vision,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: