|
|
Bagi saya membuat kuih-muih tradisional bukanlah mudah kerana banyak teknik dan petua orang-orang lama yang digunakan bagi mengekalkan keaslian kuih.
Namun ia bukanlah alasan untuk kita tidak mempelajari dan membuat kuih tradisional yang dianggap renyah ini.
Kuih-kuih tradisi perlu dipelajari oleh golongan-golongan muda agar ia tidak dilupakan. Sambutan hari raya baru-baru ini saya berkesempatan untuk belajar membuat kuih tradisional kita iaitu kuih seri muka.
Kuih ini agak popular tetapi ramai yang tidak tahu membuatnya. Saya sendiri mengambil inisiatif belajar dari saudara yang saya panggil Acik Ana yang lebih pakar membuat kuih seri muka.
Pada minggu ini saya akan berkongsi pengalaman dan tip-tip Acik Ana dalam membuat kuih ini.
Tip paling penting adalah gunakan bahan-bahan yang asli untuk mendapat rasa kuih seri muka yang lebih sedap dan aroma yang lebih harum, contohnya menggunakan santan asli dan air kisaran daun pandan.
Kuih ini mempunyai dua lapisan penting iaitu lapisan bawahnya yang berwarna putih yang dibuat daripada beras pulut manakala lapisan atas atau kita panggil kepalanya pula berwarna hijau diperbuat daripada perahan air daun pandan, santan dan tepung serta sedikit pewarna hijau.
Untuk lapisan pertama, beras pulut perlulah di kukus sehingga betul-betul kembang supaya mudah untuk memadatkannya.
Setelah beras pulut kembang alihkan ke loyang lain dan segera padatkan sementara ia masih panas. Anda perlu melakukannya di loyang yang lain bagi mengelakkan pulut melekat ketika memotongnya nanti.
Anda perlu betul-betul memadatkan pulut itu supaya adunan lapisan atasnya nanti tidak meresap ke dalam beras pulut. Jadi ini dapat menjadikan kuih seri muka menjadi dua lapisan yang cantik.
Baiklah untuk lapisan atas kuih seri muka, gunakanlah air kisaran daun pandan untuk mendapat bau yang harum serta rasa yang enak. Bagaimanapun anda perlu menambah sedikit warna hijau agar warnanya lebih berseri.
Untuk lapisan atas kuih seri muka ini bahan-bahannya perlu dibancuh dengan sebati dan kemudian ditapis dengan menggunakan penapis yang halus.
Menapis adunan lapisan atas dapat mengelakkan atasnya menjadi putih yang disebabkan oleh bahan-bahan yang dibancuh tadi tidak sebati.
Menurut Acik Ana putih telur itu boleh menyebabkan permukaan tidak rata jika ia tidak ditapis.
Adalah lebih baik menggunakan sukatan yang betul untuk bahagian atasnya kerana jika konsistensinya (kepekatannya) tidak tepat makan lapisan atas mungkin akan menjadi terlalu lembik atau terlalu keras.
Antara teknik yang saya belajar jika kita mahu mengetahui sama ada konsistensi itu sudah cukup atau tidak adalah dengan menggunakan jari.
Celup jari anda dan lihat jika ia sedikit melekat di jari maka kecairan adunan itu sudah mencukupi. Ini teknik dan petua orang dahulu. Teknik mengukus juga amat penting terutamanya bahagian lapisan atas.
Dengan menggunakan resipi saya ini anda perlu mengukus lapisan atasnya selama satu jam. Ketepatan masa ketika mengukus juga penting agar permukaannya tidak terlalu dipenuhi dengan wap air kukusan yang boleh melembikkan lapisan kepala seri muka.
Setelah dikeluarkan daripada pengukus anda perlu mengeluarkan air yang bertakung di atas kuih ini supaya ia mudah kering dan permukaannya tidak rosak dengan air yang bertakung.
Caranya dengan condongkan loyang dan keluarkan air yang bertakung itu. Tip yang terakhir adalah anda perlu menyejukkan kuih ini selepas masak supaya ia mudah dipotong.
Ini penting kerana jika anda memotongnya sebelum sejuk kuih seri muka tidak cantik dan berseri. Bagi menyerikan hidangan keluarga anda apa kata cubalah resipi yang saya kongsikan minggu ini.
Saya mengucapkan terima kasih kepada Acik Ana kerana sudi berkongsi resipi ini. Sebelum saya mengakhiri jangan lupa untuk mendaftar bengkel masakan saya pada 25 September iaitu Ahad ini kerana ada tiga lagi resipi baru yang boleh anda pelajari.
Anda boleh mendapat maklumat lanjut bengkel dengan menghubungi Tracy di talian 0361426712 atau 0192357388 dan anda juga boleh menonton video saya membuat kuih ini di blog seperti di atas.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: