Saturday, September 24, 2011

My Chef sajian gabungan


Sobri Mat Desa (kanan) bersama pasukan chef yang menjadi tulang belakang restoran My Chef.


KEENAKAN sajian yang diinspirasikan daripada masakan Thai pastinya tidak asing lagi kerana ia mampu menambat selera masyarakat di Malaysia.

Rasa masakan cukup untuk menghidupkan empat deria rasa utama iaitu masam, manis, masin dan pahit dalam satu hidangan yang menyeluruh.

Bagi mereka yang menyukai dan teringin merasakan keenakan masakan Thai, apa kata luangkan masa mengunjungi restoran My Chef yang terletak di Desa Sri Hartamas, Kuala Lumpur.

Terletak berhadapan dengan Bank Hong Leong, My Chef menyediakan pelbagai menu yang menyelerakan.

Dari set makan ala-carte sehingga masakan katering, restoran tersebut pastinya menjadi pilihan ramai kerana sesuai dengan namanya.

Tukang masak yang menyediakan masakan kepada pengunjung juga terdiri dari para chef yang berpengalaman dalam bidang masakan.

Pengurus Operasinya, Sobri Mat Desa berkata, restoran My Chef pastinya membuka selera pengunjung dengan tawaran sajian yang menyelerakan.

"Selain sajian enak, restoran kami turut menawarkan kawasan tempat duduk terbuka yang terlindung dan tempat duduk berhawa dingin di mana para pengunjung boleh bersantai sambil menikmati hidangan yang enak dalam keadaan yang selesa.

"Di sini, kami tawarkan satu menu berinovatif terbaik keluaran syarikat tempatan dan ia disediakan oleh ketua tukang masak profesional yang berbakat serta layanan kakitangan berpengetahuan yang mesra pelanggan," jelasnya.

Menurutnya, selain masakan kegemaran ramai, hidangan istimewa My Chef seperti laksa kari makanan laut, mi tom yam makanan laut, ketam cili pedas, lala halia pedas dan nasi ayam istimewa My Chef pastinya kena dengan selera anda.

"Restoran My Chef mampu memuatkan sehingga 180 orang dan pihak kami turut menawarkan perkhidmatan penghantaran ke rumah dan pejabat dalam 10 kilometer dari lokasi restoran kami," katanya.

Tambahnya, para chef terlatih di My Chef turut menyediakan bahan-bahan masakan yang segar serta rempah ratus yang berkualiti.

Makanan berkonsepkan gabungan itu mempunyai keunikan masing-masing dengan bercirikan campuran masakan tradisional dan moden.

Tambahnya, selain menggunakan bahan-bahan tempahan pihaknya turut membawa masuk rempah ratus dari negara luar.

Sajian sarapan pagi My Chef boleh didapati bermula pukul 8.00 pagi dan makan tengah ari pada pukul 10.30 pagi manakala hidangan makan malam pula bermula pada pukul 7.00 malam sehingga 11.00 malam.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: