Friday, September 2, 2011

Khidmat jururawat sepanjang masa



KETIKA semua orang sibuk bermaaf-maafan dan melayan tetamu sambil menjamu juadah Hari Raya Aidilfitri pada pagi Syawal, mereka sibuk melayan pesakit yang memerlukan khidmat rawatan.

Tanpa penat mereka memberikan khidmat, walaupun pada ketika itu keluarga masing-masing mendambakan kehadiran mereka bagi meraikan Aidilfitri bersama-sama terutamanya anak-anak.

Di sebalik tanggungjawab yang perlu digalas, tersemat rasa sayu dan sebak di sanubari saat mendengar laungan takbir raya berkumandang namun, demi tugas digagahkan juga diri menabur bakti.

Demikian pengorbanan insan bergelar jururawat yang perlu bertugas bagi melaksanakan tanggungjawab mereka demi kesejahteraan kesihatan masyarakat.

Uniform penguat semangat

Suasana di Jabatan Kecemasan Hospital Kuala Lumpur sibuk sama seperti kebiasaan pada hari raya. Menjejakkan kaki ke sana situasinya tidak ubah seperti berada dalam drama bersiri ER.

Rata-rata petugasnya sibuk sekali memegang fail ke hulu hilir, malah ada yang menyorong katil membawa masuk pesakit ke wad. Ia merupakan suasana rutin tatapan pancaindera mata.

“Beginilah suasana kerja setiap hari tidak kiralah pada hari raya atau tidak. Cuma pada hari lebaran ada sedikit dekorasi bagi membangkitkan mood raya walaupun kami bertugas pada pagi raya.

“Tahun ini merupakan kali keempat saya bertugas pada hari raya, jadi bekerja pada hari raya sudah biasa tetapi kenangan kali pertama bertugas ketika Aidilfitri pada tahun 2002 masih segar di memori,” kata Tuan Fatimah Tuan Mat, 42, yang berasal dari Besut, Terengganu.

Mengimbas kenangan lalu, ibu kepada empat orang cahaya mata itu sebak apabila anak-anaknya menghantar khidmat pesanan multimedia (MMS) menunjukkan mereka memakai baju raya.

“Saat itu memang sedih tidak terkata kerana mengenangkan mereka beraya tanpa ibu di sisi. Namun, apabila difikirkan mengenai tanggungjawab yang perlu digalas saat menyarung uniform jururawat rasa pilu dan sayu berlalu pergi.

“Apabila memakai uniform, pesakit perlu menjadi keutamaan kami. Kebiasaannya ketika lebaran, kami di sini tidak sibuk seperti selalu kerana warga kota sudah pulang ke kampung halaman masing-masing,” ujarnya.

Namun, itu tidak bermakna para jururawat goyang kaki kerana banyak kes lain termasuklah melibatkan warga asing bergaduh ketika hari raya.

Jika pada 1 Syawal ramai yang menggayakan busana baru masing-masing yang penuh warna, namun warna tema busana raya bagi jururawat ialah putih dan biru sahaja.


SUASANA di Jabatan Kecemasan dan Trauma HKL tetap sibuk walaupun pada pagi raya.


“Walaupun bertugas pada pagi raya, ada segelintir daripada kami yang memakai baju raya ke hospital kemudian tukar memakai uniform apabila memulakan tugas dan kembali memakai baju raya apabila selesai syif.

“Sama seperti Tuan Fatimah, bertugas pada Aidilfitri kali ini bukan kali pertama buat saya. Walaupun bertugas, rakan-rakan lain yang tinggal berhampiran bermurah hati membawa nasi impit, kuah kacang, nasi minyak, ketupat, rendang, lemang dan sebagainya untuk kami di sini. Malah kami turut menerima jemputan rumah terbuka daripada ketua jabatan dan rakan-rakan lain,” kata Ketua Jururawat, Radin Noradriana Hariati Radin Tahir, 36.

Ceritanya, kali pertama dia bertugas pada pagi raya adalah ketika berkhidmat di Hospital Kota Bharu, Kelantan pada tahun 1997 sewaktu usianya 22 tahun.

Di perantauan seorang diri membuatkannya hiba ketika menghubungi ayahanda tercinta pada pagi Aidilfitri.

“Sebak dan menangis jugalah, tapi apabila sudah sibuk di hospital menguruskan pesakit, perasaan sedih hilang lebih-lebih lagi apabila melihat pesakit melemparkan senyuman dan mengucapkan terima kasih kepada kita. Ketika itu rasa penat semua hilang.

“Menggalas tanggungjawab sebagai jururawat ini banyak cabarannya. Beban tugas yang banyak dan perlu kami berhadapan dengan pelbagai ragam pesakit selain menerima pesakit yang sentiasa ada di Jabatan Kecemasan,” ujarnya yang mempunyai tiga orang anak.

Bagi Radin Noradrianna, bebanan tugas bukan alasan untuk tidak memberikan perkhidmatan yang terbaik.

“Paling menyentuh hati apabila ada yang kehilangan orang tersayang pada pagi raya disebabkan kemalangan ataupun penyakit lain.

“Mendengar ayat-ayat terakhir si anak kepada ibu yang terlantar membuatkan saya sebak dan pilu. Luluh hati mendengar bait-bait kata si anak yang memohon maaf kepada ibunya,” katanya yang mengaku kadangkala tewas dengan emosinya yang rapuh.

Sungguhpun perlu berkorban masa yang sepatutnya diluangkan bersama keluarga, demi tugas, Farizawati Abdul Aziz, 29, reda kerana ikrar awal pembabitannya sebagai jururawat adalah untuk memberi khidmat kepada masyarakat.


TANGGGUNGJAWAB menjaga pesakit menjadi keutamaan bagi jururawat yang penuh dedikasi berkhidmat untuk masyarakat.


“Bertugas di Jabatan Kecemasan berlainan dengan di wad kerana di sini kami menerima pesakit-pesakit baru.

“Sebelum bertugas di sini saya berada di wad kelas tiga yang menempatkan warga tua. Di sana sangat sibuk kerana ramai pesakit, namun pada musim raya jumlah pesakit berkurangan kerana ramai yang minta pulang untuk menyambut hari raya,” katanya yang mempunyai dua orang anak berusia lima dan tiga tahun.

Farizawati yang sudah lapan tahun berkhidmat sebagai jururawat memberitahu anak-anaknya kadang-kadang merengek apabila mengetahui dirinya bekerja pada hari raya.

“Bertugas sebagai jururawat tidak sama seperti kerja di pejabat yang boleh bercuti pada hari raya. Kami perlu bergilir-gilir untuk cuti raya dan kali ini giliran rakan-rakan lain yang tidak berkesempatan menyambut Aidilfitri pada tahun lalu.

“Walaupun rutin kerja seharian yang padat sehingga mengundang tekanan, tidak pernah sekalipun terlintas di benak saya untuk berhenti kerana profesion jururawat ini begitu istimewa,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: