SOLAT merupakan ibadat yang terpenting dalam kehidupan seorang muslim. Maka tidak hairanlah apabila solat disebut sebagai tiang agama bagi menghindarkan seseorang muslim itu daripada segala dosa dan noda.
Lebih istimewa, solat lima waktu yang wajib ke atas semua umat Islam merupakan kurniaan Allah kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW dalam peristiwa Israk dan Mikraj yang berlaku lebih 1,400 tahun dahulu.
Fitrah setiap manusia adalah berkehendakkan kebaikan dalam hidup. Jadi solat merupakan ‘hadiah’ daripada Allah kepada hamba-hambanya untuk terus berada dalam landasan kebaikan.
Justeru, Islam tetap menganjurkan penganutnya menunaikan solat dalam apa jua keadaan sama ada ketika sakit atau keuzuran dengan cara-cara yang ditetapkan selain solat juga wajib biarpun ketika di medan peperangan.
Solat di medan perang atau lebih dikenali sebagai solat khauf (semasa dalam ketakutan) pernah ditunaikan oleh Rasulullah beberapa kali dengan pelbagai cara seperti yang diterangkan secara terperinci dalam kitab-kitab hadis.
Menyedari kepentingan bersolat dalam apa jua keadaan, seramai 50 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Wataniah, Machang, Kelantan mengadakan demonstrasi solat khauf bersempena dengan sambutan Hari Terbuka Badan Dakwah dan Rohani (Badar) baru-baru ini.
Guru penasihatnya, Razali Harun, 45, berkata, demonstrasi tersebut berlangsung selama 30 minit dengan dipecahkan kepada dua kumpulan iaitu tentera Islam dan tentera musuh.
Menurutnya, modul solat khauf yang dipraktikan oleh para pelajarnya itu diperoleh daripada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan ciri-ciri asas solat itu secara berjemaah sama dengan solat jamak takdim dan jamak takhir.
Jelasnya, melalui cara itu para pelajar akan lebih faham, selain dapat merasai sendiri situasi sebenar menunaikan solat ketika perang yang tidak mempunyai begitu banyak perbezaan kecuali makmum dapat bergerak, menangguhkan solat dan menyambung semulanya selepas berperang.
“Untuk simulasi ini, kita melakukan solat mengikut tiga keadaan iaitu ketika musuh datang dari arah bertentangan kiblat, arah kiblat dan semua arah. Situasi pertama, imam akan membahagikan pasukan tentera muslimin kepada dua kumpulan.
“Kumpulan pertama akan menunaikan solat bersamanya sehingga selesai, manakala kumpulan yang kedua akan kekal mengawasi keadaan.
“Kemudian berlaku pertukaran kumpulan yang mana kumpulan pertama akan mengambil alih tugas mengawal keadaan, manakala kumpulan kedua akan menunaikan solat berjemaah bersama imam,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Solat ikut arah musuh
Razali memberitahu, bagi situasi kedua iaitu musuh datang dari arah kiblat, pasukan tentera muslimin akan berpecah kepada empat saf. Mereka semua akan menunaikan solat dan ketika saf pertama dan ketiga rukuk bersama imam, dua saf lain iaitu kedua dan keempat akan berada di dalam keadaan qiam dan bersedia menghadapi sebarang ancaman.
“Saf yang pertama dan ketiga kemudiannya akan menyudahkan solat mereka sehingga selesai. Sesudah itu saf kedua dan keempat pula akan menyudahkan solat mereka, manakala saf pertama dan ketiga akan mengawal keadaan.
“Bagi situasi terakhir berlaku serangan musuh dari semua arah, tentera muslimin mengambil tempat untuk menyelamatkan diri dan membalas serangan. Setelah selesai tentera muslimin tadi akan menyudahkan solat mereka sama ada dalam keadaan duduk, berbaring ataupun berdiri mengikut kemampuan masing-masing,” ujarnya.
Seorang pelajar yang juga imam solat khauf, Tuan Abdul Rahman Tuan Sheik, 16, berkata, dia teruja kerana diberikan peluang untuk turut serta dalam menjayakan solat berkenaan biarpun secara simulasi.
Katanya sebelum ini, dia dan rakan-rakan hanya belajar secara teori cara untuk melakukan solat itu, namun kali ini dia dan rakan-rakan berpeluang melakukannya secara praktikal.
“Walaupun negara kita tidak pernah berperang, pengalaman yang saya kutip ketika menjayakan simulasi ini amat berharga buat diri saya. Insya-Allah ilmu yang saya pelajari ini akan digunakan sebagai mungkin selepas saya menamatkan pelajaran di sekolah ini.
“Kesimpulan yang dapat saya buat sepanjang mengikuti latihan simulasi ini menunjukkan Islam cukup menitikberatkan solat. Walau apa jua keadaan berlaku, solat harus ditunaikan kerana ia merupakan kewajipan ke atas setiap muslim,” jelasnya.
Sementara itu Penolong Kanan Pentadbiran SMKA Wataniah, Zakaria Yusof berkata, demonstrasi solat itu dapat memberikan banyak faedah bukan sahaja kepada para pelajar tetapi masyarakat.
“Melalui cara ini kita dapat melahirkan para pelajar yang bukan sahaja cemerlang dengan ilmu dunia, tetapi dalam masa yang sama dibimbing dengan ilmu akhirat,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: