|
|
PEMAKAIAN kaca mata hari ini dilihat bukan sahaja membantu mereka yang menghadapi masalah penglihatan tetapi ia juga merupakan aksesori yang menjadi satu trend di kalangan remaja.
Malah di pasaran hari ini terdapat pelbagai jenama dan reka bentuk cermin mata yang boleh diperoleh untuk digayakan selain melindungi mata.
Stepper, salah satu rangkaian jenama cermin mata yang telah bertapak di negara ini sejak lima tahun lalu baru-baru ini bergabung tenaga dengan Pantone Universe untuk melancarkan koleksi terbaru mereka.
Menampilkan pelbagai jenis reka bentuk dan warna, Stepper Exclusive dilihat satu koleksi terkini yang menawarkan pelbagai jenis cermin mata dengan bingkai yang unik dan menarik untuk dimiliki semua lapisan masyarakat.
Bagaimanapun, pengguna hari ini dilihat tidak lagi memilih kaca mata yang sesuai dengan raut wajah tetapi pemilihan mereka lebih kepada cita rasa, status dan gaya.
Begitupun, menurut pengasas Stepper, Hans Stepper, perkara penting harus diingat ketika memilih kaca mata ialah mendapatkan nasihat daripada mereka yang bertauliah dan berkelayakan.
Ini kerana jelasnya, jenis dan fungsi setiap satu adalah berbeza dan tidak semua sesuai dengan muka setiap individu.
"Tidak semua individu mempunyai bentuk muka yang sama. Kita mempunyai empat jenis bentuk muka iaitu bujur sirih, panjang, bulat dan empat segi.
"Dalam masa yang sama, kombinasi warna yang tepat, bingkai atau bentuk cermin mata dengan bentuk muka antara aspek yang perlu ditekankan.
"Ini penting kerana ia tidak sekadar mengubah penampilan gaya seseorang tetapi juga bentuk muka dan penampilan secara keseluruhan," ujarnya ketika ditemui selepas majlis pelancaran koleksi Stepper Exclusive dan Pantone Universe Eyewear di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Tambah beliau, pemilihan kaca mata yang bersesuaian dengan bentuk muka juga amat penting kerana ia turut boleh mengubah perwatakan seseorang menjadi ceria, garang, lembut dan sebagainya.
Pada masa sama, Stepper turut menasihatkan individu yang memakai cermin mata bukan untuk kelihatan bergaya dan anggun semata-mata malah lebih penting untuk tujuan kesihatan.
Stepper bagaimanapun tidak menafikan, hari ini kebanyakkan pengguna cermin mata tidak menitik beratkan soal kesesuaian malah mereka dilihat gemar memilih yang cantik untuk kelihatan bergaya dan anggun.
Sementara itu, koleksi Pantone Universe Eyewear tampil dengan warna-warna yang dilihat sesuai untuk golongan remaja.
Selain menampilkan koleksi warna-warna yang menarik, koleksi Pantone Universe Eyewear juga dilihat mampu menyerlahkan lagi si pemakai.
Ini kerana, selain disesuaikan dengan bingkai, warna-warna terang dan lembut mampu memikat sesiapa sahaja yang melihatnya.
Sungguh pun begitu, koleksi-koleksi yang ditampilkan Stepper mahupun Pantone Universe Eyewear mempunyai kumpulan sasaran masing-masing di mana Stepper lebih kepada golongan mereka yang berumur manakala Pantone Universe Eyewear pula untuk golongan remaja dan muda.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: