Thursday, September 15, 2011

Menunaikan impian terakhir


Permintaan adik Liyana untuk menyanyi dan beraksi dalam teater Dreamgirls direalisasikan oleh Yayasan Make A Wish Malaysia.


PADA asalnya Datin Syarifah Farah Gumash Syed Hussain, 32, bersama sekumpulan teman-temannya mengadakan lawatan rutin dalam komuniti yang diberi nama Sahabat HUKM di wad pediatrik di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM).

Dari situ mereka memberi hadiah, galakan dan berkongsi pengalaman dengan para ibu bapa yang mempunyai anak-anak yang sakit.

Keprihatinan tersebut menyebabkan salah seorang dari teman baik Syarifah Farah, Sandra Kirwan dari Dublin, Ireland melontarkan idea untuk membawa masuk sebuah pertubuhan antarabangsa, Yayasan Make A Wish ke negara ini.

Memandangkan yayasan tersebut telah berjaya memberi galakan, serta membawa senyuman ke wajah kanak-kanak yang menghidap penyakit mengancam nyawa di seluruh dunia, sudah tiba masanya kanak-kanak di Malaysia juga mendapat keistimewaan yang sama.

"Apa yang dapat kita lihat, setelah impian kanak-kanak tersebut direalisasikan mereka menjadi lebih bersemangat untuk meneruskan rawatan, bertambah ceria dan terpancar harapan untuk terus berjuang melawan penyakit mereka.

"Itulah juga matlamat utama penubuhan yayasan ini," jelas Syarifah Farah yang telah terlibat sejak dari proses permulaan penubuhan Yayasan Make-A-Wish Malaysia.

Setelah melalui satu proses yang panjang, akhirnya yayasan itu secara rasmi bertapak di negara ini pada September 2010. Malaysia merupakan negara yang ke-35 terlibat secara langsung di bawah payung Yayasan Make A Wish Antarabangsa.

Syarifah Farah berkata, yayasan itu dibangunkan dengan satu perancangan khusus bermula daripada pemilihan sukarelawan hinggalah kepada para penaja bagi memastikan objektif untuk menggembirakan kanak-kanak yang menghidap penyakit yang mengancam nyawa terlaksana.

"Pernah kami mengotakan impian seorang kanak-kanak yang mengalami sakit mengancam nyawa untuk ke Jepun. Selepas impiannya tercapai dia bersemangat untuk meneruskan rawatan.

"Itulah yang kami harapkan dengan adanya yayasan ini," katanya.

Menurut Syarifah Farah, seboleh-bolehnya yayasan tidak mahu memfokuskan kepada penyakit kanak-kanak ini sebaliknya memenuhi impian mereka.

Sebab itu katanya, apabila seorang kanak-kanak dirujuk kepada yayasan, panel doktor akan memeriksa sama ada kanak-kanak itu layak atau tidak ditunaikan impiannya.

"Proses pemilihan melibatkan temuduga di antara kanak-kanak tersebut, ibu bapanya bersama sukarelawan kami dan para doktor yang terlibat.

"Secara umumnya kanak-kanak yang layak ialah kanak-kanak yang menghidap penyakit-penyakit yang boleh mengancam nyawa, seperti barah dan sebagainya.

"Apabila kanak-kanak tersebut layak menjadi salah seorang kanak-kanak impian Make A Wish, para sukarelawan yang terlibat akan menjayakan impian tersebut sebaiknya agar dapat melupakan sementara waktu sakit yang dihidapi dan bergembira memenuhi impiannya," jelas Syarifah Farah yang memiliki firma guamannya sendiri.

Dalam tahun 2010 katanya, pihak yayasan telah dapat menunaikan sebanyak 14 impian. Setakat Ogos lalu sebanyak 17 impian kanak-kanak menghidap penyakit mengancam nyawa telah ditunaikan.

"Kumpulan sukarelawan kami adalah tulang belakang kepada yayasan ini dan saya sungguh terharu dengan pengorbanan masa, tenaga dan juga wang yang telah disumbangkan oleh mereka.

"Tidak keterlaluan jika saya katakan tanpa sukarelawan, Yayasan Make-A-Wish tidak akan mampu bertapak di Malaysia" jelasnya.

Cara untuk ibu bapa mendaftarkan anak mereka ialah menerusi laman web, isi borang dan seterusnya pasukan Make-A-Wish akan membuat temuduga dan lawatan.

"Permintaan yang ditunaikan tersebut terbahagi kepada empat kategori iaitu, mahu menjadi apa, mahu ke mana, mahu barang apa dan mahu berjumpa siapa.

"Pesakit boleh pilih salah satu daripada kategori tersebut. Dan sehingga hari ini kami mendapat banyak permintaan untuk menjadi seseorang," ujar beliau.

Dalam merealisasikan impian tersebut, Syarifah Farah tidak menafikan memerlukan dana yang banyak.

Namun, yayasan ini amat bertuah kerana mendapat sokongan dan tajaan dari beberapa syarikat korporat seperti Hilton, Sapura Acergy, Steri Pack, BRDB, Malaysian Airlines dan banyak lagi.

Yayasan juga mendapat sokongan kuat daripada duta rasmi Yayasan Make-A-Wish Malaysia, anakanda Sultan Selangor, Yang Amat Mulia Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Beberapa personaliti dan selebriti tanah air seperti Angkasawan Negara, Datuk Dr. Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha, pelakon Nur Lydia Ibtisam, Datuk Chef Wan dan Ning Baizura turut memberi sokongan kepada aktiviti yayasan .

"Kami menunaikan lebih kurang tiga permintaan dalam sebulan. Setakat ini mana-mana artis yang diminta membantu melaksanakan permintaan pesakit tidak pernah menghampakan permintaan kami.

"Sebagai contoh, pelakon Liyana Jasmay pernah meluangkan masa bersembang mesra dengan salah seorang pesakit yang meminatinya selama sejam.

"Bukan Liyana sahaja malah Aizat, Afdlin, Ramli Sarip, Lisa Surihani, Yusree, Aishah Sinclair, Mila antara nama yang pernah menjayakan projek ini.

"Untuk meraih dana yayasan kami menganjurkan beberapa program seperti pertandingan golf dan malam amal dan dari jualan tiket kami dapat mengumpul banyak dana.

"Saya amat berharap agar lebih ramai rakyat Malaysia menjadi sukarelawan dan dengan itu kami dapat mendekati jiwa kanak-kanak yang menghidap penyakit mengancam nyawa dan merealisasikan impian mereka.

"Bukan senang sebenarnya kerana ia melibatkan banyak pihak. Kami perlu memastikan keadaan kanak-kanak itu baik ketika impiannya dilaksanakan.

"Sebagai contoh jika mereka mahu ke Disneyland, kami akan membawa seluruh ahli keluarga dan doktor perlu mengesahkan dia boleh menaiki kapal terbang.

"Kami akan cuba merancang sebaiknya masa yang paling sesuai untuk membawa kanak-kanak ini agar mereka dapat menikmati impian ini dengan sepenuhnya," katanya.

Walau apa pun, Syarifah Farah secara peribadi amat mengagumi pengorbanan ibu bapa yang mempunyai anak yang menghidapi penyakit mengancam nyawa ini.

"Bayangkan ramai ibu yang terpaksa berhenti kerja menemani anak yang sakit di hospital berhari-hari dan mereka sentiasa positif, itulah satu semangat yang patut dikagumi dan dicontohi ibu-ibu lain.

"Kaum bapa juga selalunya bekerja lebih masa dan mengambil alih tanggungjawab di rumah apabila ibu bersama anak yang sakit di hospital.

"Impian dan harapan saya, agar persatuan ini terus berkembang, mempunyai semakin ramai ahli sukarelawan di Malaysia dan dapat melaksanakan lebih banyak impian kanak-kanak ini.

"Kami juga akan berusaha untuk meluaskan sayap ke Sabah dan Sarawak untuk menunaikan impian kanak-kanak di sana," ujar Syarifah Farah yang merupakan anak jati Tawau, Sabah.

Secara peribadi beliau menyifatkan penglibatannya dalam yayasan ini adalah sebagai satu ibadah dan satu contoh yang ingin diwarisi kepada anak-anaknya yang berusia empat dan dua tahun.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: