TIADA ruang dan peluang untuk mengutarakan pendapat. Itu antara keluhan golongan remaja yang jarang didengari sehingga membuatkan masyarakat terlepas pandang.
Keadaan ini menyebabkan wujudnya jurang pemisah antara orang dewasa dan golongan remaja yang menyukarkan untuk mereka berkomunikasi.
Sedangkan, remaja dari usia 10 hingga 19 tahun sedang menjalani fasa yang begitu mencabar iaitu untuk melangkah dari zaman kanak-kanak ke alam remaja yang memerlukan bimbingan dan panduan.
Dianggarkan di negara ini kini golongan remaja mencecah lebih lima juta orang.
Sehubungan itu, kehadiran mereka tidak boleh diabaikan termasuk perlu memberi ruang untuk mereka meluahkan pandangan supaya mereka bukan sahaja dilindungi malah dapat menikmati kehidupan yang lebih sempurna.
Jangan sesekali pinggirkan remaja. Sebaliknya orang dewasa perlu duduk bersama-sama untuk berbincang serta berkongsi pendapat demi memastikan proses peralihan seorang remaja itu berjalan dengan lancar dan penuh sokongan.
Berikutan itu sempena pelancaran Laporan Utama Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) 2011 tentang Keadaan Kanak-Kanak Sedunia (SOWC) di Pasar Seni, Kuala Lumpur, baru-baru ini satu sesi dialog telah diadakan.
Dialog yang bertemakan Remaja: Era Menggarap Peluang dianggotai oleh enam panel remaja dari semua lapisan masyarakat untuk membahaskan isu ini.
Panel remaja itu terdiri daripada Faezlan Angah, 16, dari Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA); Hazrul Syafiq, 18, dari The Asian Football Confederation; Jayasaminth Savinder Singh, 20, dari Special Olympics; Noor Diyana Sharifuddin, 16, dan Qistina Danisyah, 13 dari KL Krash Pad; dan Sofia Ong Yin Mei, 18, dari Majlis Kanak-Kanak Petaling Jaya.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Senator Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil melancarkan majlis itu sekali gus terlibat sebagai panel yang mewakili golongan dewasa pada sesi dialog tersebut.
Ahli panel lain pula wakil UNICEF di Malaysia, Hans Olsen; Ahli Jawatankuasa Eksekutif Rangkaian Pekerja Sosial Selangor, Hanim Hassan; Pengerusi Persatuan Ibu, Bapa dan Guru (PIBG), Sekolah Rendah Kebangsaan (SRK) Assunta, Petaling Jaya, Muhammad Zarif; dan Pembantu Kanan Perhubungan Murid-Murid, SRK Assunta, Anant Kaur Hardyal Singh.
Dialog itu dikendalikan oleh fasilitator, Chris Ng.
Dalam dialog tersebut, rata-rata panel remaja masih mengutarakan persoalan yang sama iaitu diketepikan oleh golongan dewasa dalam membincangkan sesuatu perkara yang berkaitan dengan sesuatu isu.
''Saya akan dikatakan sebagai seorang budak yang kurang ajar jika cuba menyatakan sesuatu pendapat memandangkan masih berlaku jurang antara orang dewasa dan remaja di negara ini,'' kata Hazrul.
Begitu juga pendapat yang diberi oleh Faezlan di mana katanya, dalam masyarakat Orang Asli masih mempunyai pandangan yang tersendiri berhubung perkembangan generasinya pada masa depan.
''Ini memandangkan masyarakat Orang Asli masih mengamalkan kebebasan hidup yang dibawa dari satu generasi ke satu generasi di mana perkara berkaitan pendidikan misalnya masih tidak menjadi keutamaan,'' katanya.
Bagi Sofia Ong, remaja perlu diberikan peluang untuk mengutarakan pendapat supaya jalinan perhubungan dengan orang dewasa akan bertambah baik.
Katanya, dengan pendapat ini akan dapat merelaikan sebarang masalah yang timbul sekali gus dapat memberikan semangat untuk remaja meneruskan apa yang difikirkan wajar dilakukan.
Sementara itu Shahrizat mengakui remaja di negara ini masih terbatas dari segi luahan untuk berkongsi pendapat dengan golongan dewasa.
''Adat resam yang masih menebal di mana yang muda perlu menghormati yang tua perlu dikendalikan oleh golongan dewasa dengan bijak supaya itu tidak dijadikan sebagai jurang untuk memisahkan mereka,'' katanya.
Sebaiknya remaja perlu diberikan peluang untuk berkongsi pendapat tetapi biarlah ia dilakukan dalam suasana yang harmoni supaya kedua belah pihak berpuas hati.
Bagaimanapun ada di antara panel dewasa mengakui ketika di zaman kanak-kanak sehingga remaja masih dididik untuk mematuhi arahan yang diberikan oleh orang dewasa.
Malah mereka tidak menafikan, dalam hal itu mereka tidak ada hak untuk menjelaskan apa yang terbuku di hati sehinggakan ada kalanya timbul perasaan tidak puas hati.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: