Saturday, September 17, 2011

Gandingan Fasha & Johan menjadi

Nama pengarah Along Kamaludin tidak perlu diperkenalkan lagi. Selepas kejayaan Stanza Cinta yang bersiaran setiap hujung minggu di TV3, pengarah berbakat besar ini tampil dengan buah tangan terbaru, Cinta Elysa yang mula ditayangkan sejak 13 September lalu, di stesen TV yang sama.

Menurut Along, Cinta Elysa tidak banyak memberi cabaran besar buatnya kerana kehadiran barisan pelakon berbakat besar seperti Fasha Sandha, Johan Asari, Datuk Jalaluddin Hassan, Zila Bakarin, Addy Ashraf, Naim Daniel, Zaefrul Nordin dan Ika Nabila.

“Buat masa ini penggambaran masih lagi dijalankan dan dijangka tamat dalam tempoh 10 hari lagi.

“Setakat ini, tiada masalah besar yang saya alami, cuma kami menghadapi masalah dari segi lokasi kerana Cinta Elysa banyak melibatkan babak pendek.

“Oleh sebab itu penggambaran mengambil sedikit masa untuk diselesaikan. Saya berharap semuanya akan berjalan lancar sehingga tamat tempoh penggambaran,” katanya kepada Zass.

Tambah Along, dia bersyukur kerana Johan dan Fasha mudah menimbulkan keserasian dan membuatkan mereka tidak terlalu nampak kekok.

“Fasha memang kita ketahui seorang pelakon yang berbakat, manakala Johan pula dia mempunyai bakat besar cuma dia perlu banyak diberi bimbingan untuk menimbulkan mood, lebih-lebih lagi bila melibatkan babak romantis,” katanya.

Along berkata, setakat ini dia berpuas hati dengan maklum balas yang diterima daripada penonton selepas siaran episod pertama pada Selasa lalu.

Kebanyakan maklum balas yang diterima menyatakan rasa tidak sabar untuk menonton episod seterusnya selepas ini.

“Saya rasa sedikit lega dengan maklum balas yang diterima kerana rata-rata suka dengan karakter Johan yang nampak betul-betul jahat.

“Mereka memang tidak sabar untuk menantikan episod seterusnya dan saya sendiri berpuas hati selepas melihat empat episod yang telah siap disunting. Saya harap Cinta Elysa akan ada pengikutnya sendiri,” katanya.

Cinta Elysa mengisahkan Aril (Johan As’ari) seorang anak yatim piatu yang membesar tanpa kasih sayang menjadi seorang pemuda bermasalah yang terlibat dengan kegiatan samseng.
Selepas disisihkan keluarga sebelah ibu berikutan pelbagai masalah yang ditimbulkannya, akhirnya bapa saudara sebelah bapanya, Jasman (Dato’ Jalaluddin Hassan) telah membawanya pulang dan masih menaruh harapan kepada Aril untuk berubah.

Isteri Jasman, Yasmin (Zila Bakarin) sangat bencikan Aril dan sering melemparkan kata-kata nista kepadanya. Anak-anak lelakinya, Khairul dan Imran juga memusuhinya. Hanya anak sulungnya, Elysa (Fasha Sandha) yang masih menegur Aril.

Apakah yang akan terjadi seterusnya? Berjayakan Elysa mengubah sikap Aril?

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: