Saturday, September 17, 2011
Farah selesa bertudung
Hasrat pelakon Aku Masih Dara, Raja Farah Raja Aziz, untuk memakai tudung akhirnya terlaksana sejak tiga bulan lalu.
Akui Farah, dia kini lebih selesa dan tenang dengan penampilan barunya itu serta berazam untuk meneruskannya.
Bertanya mengenai penghijrahan itu, Farah memberitahu, ia bermula setelah dia mengunjungi sebuah butik untuk membeli tudung.
Ketika itu, dia baru sahaja selesai menjayakan penggambaran drama Cinta Abang Lori.
Menurut Farah, hasrat untuk memakai tudung sudah lama difikirkannya tetapi baru kini terlaksana.
“Suatu hari, setelah selesai penggambaran tersebut, saya menyuruh suami, Megat Bashirun Qhuyum Zakaria, agar singgah di butik tudung.
“Saya membeli beberapa helai tudung. Suami terus bertanya mengapa saya beli tudung dan saya menjawab yang saya akan bertudung selepas ini.
“Suami dan keluarga sangat menyokong keputusan saya dan sebelum ini saya pernah berjanji akan bertudung setelah berkahwin. Keputusan untuk berhijrah bukanlah atas paksaan suami dan keluarga malah dari hati saya sendiri,” katanya yang kini lebih menjaga adab dan pergaulan dengan lelaki bukan muhrim.
Menurutnya, selain menjaga adab dan pergaulan, dia juga harus menjaga tutur kata agar tidak mengguris hati mana-mana pihak.
Masih dapat tawaran berlakon
Tidak bimbang dengan penghijrahan yang dilakukan, Farah akui, dirinya masih diterima dalam industri seni tempatan.
Menurut Farah, artis wanita yang memilih untuk bertudung semakin ramai dan keputusan itu tidak dianggap akan menenggelamkan kariernya sebagai seorang artis.
Katanya, sehingga kini, dia masih menerima tawaran berlakon walaupun ianya agak terhad.
“Alhamdulillah, tawaran berlakon masih lagi diterima. Namun, pemilihan watak dan karakter harus saya utamakan.
“Saya hanya akan memilih watak yang bertudung sahaja untuk berlakon. Jika watak tersebut memerlukan saya menanggalkan tudung, saya akan tolak tawaran berkenaan.
“Ada juga produksi yang meminta saya membuka tudung untuk watak yang ditawarkan, tapi saya tidak akan mengubah keputusan saya,” katanya
Teruja nantikan cahaya mata
Ditanya soal cahaya mata, Farah mengakui masih lagi mengharapkan kehadiran si kecil untuk memeriahkan rumah tangganya.
Menurutnya, setelah 10 bulan mendirikan rumahtangga, mereka masih belum dikurniakan cahaya mata.
“Saya dan suami masih mengharapkan kehadiran cahaya mata, namun kami tidak terlalu terdesak untuk memilikinya.
“Mungkin rezeki kami masih belum ada lagi dalam soal anak. Namun, kami akan cuba berusaha untuk mendapatkannya.
“Walau bagaimanapun, saya masih lagi terkilan tentang kontroversi yang mengatakan bahawa saya hamil sebelum nikah. Ternyata ia hanyalah fitnah apabila sehingga kini saya masih belum hamil,” katanya yang menganggap kontroversi itu sengaja direka untuk mengaibkannya.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: