Apabila tiba sahaja bulan Merdeka, lagu Saya Anak Malaysia pasti menjadi siulan ramai. Lagu yang didendangkan kira-kira 25 tahun lalu, masih kekal dengan melodi asal dan akan terus segar dengan gaya tersendiri.
Jika sebelum ini, lagu ini hanya diperdengarkan pada Ogos namun bermula dua tahun lalu, lagu ini dipanjangkan sehingga September apabila Hari Malaysia diisytiharkan.
Didendangkan oleh seorang ‘doktor’, lagu itu menjadi pembakar semangat jiwa anak merdeka hari ini. Itulah penangan Dr Sam atau nama sebenarnya Salim Ibrahim.
Ketika waktu itu, Dr Sam digelar Bob Marley Malaysia apabila tampil dengan rasta pelbagai warna. Usah ditanya bagaimana nama ‘doktor’ itu diperoleh, tetapi persoalannya bagaimana lagu itu dicipta begitu indah dihiasi melodi lengkap berserta susun kata menarik hingga terlekat di hati pendengarnya.
“Pada asalnya lagu ini dicipta untuk filem Kembara Seniman Jalanan. Sewaktu berbual, Datuk M Nasir menyanyikan bait ‘Saya Anak Malaysia’. Dia minta saya buat lagu penuh.
“Saya ambil masa sebulan untuk menyiapkan lagu itu. Melodi sudah dapat. Tapi lirik pula yang tak ada.
“Kebetulan komposer S Amin Shahab memberikan idea dan memulakan dengan menyebut tahun 1953. Kemudian saya terus dapat idea untuk melengkapkan lagu itu dengan bercerita pengalaman diri sendiri,” katanya.
Bernaung di bawah label Polygram ketika itu, Dr Sam tidak menyangka lagu itu akan menjadi kegemaran ramai.
Menjalani proses rakaman di Singapura pada 1986, Dr Sam berbangga kerana lagu ciptaannya ini mendapat tempat hingga ke hari ini.
Perlu perbanyakan lagu patriotik
Menyingkap lagu-lagu patriotik di Malaysia pada masa ini, mungkin ada banyak bait-bait kata yang penuh semangat cinta negara, namun ia tidak seperti lagu era 80an dan awal 90an.
Antaranya lagu Ilham Pujangga, 31 Ogos, Bahtera Merdeka dan termasuklah lagu Saya Anak Malaysia. Seperti ada gam yang terus melekat apabila mendengar lagu-lagu lama ini.
Menurut Dr Sam, lagu-lagu lama ini dilihat penuh emosi dan penuh tata terbit ketika dinyanyikan.
“Siapa rasa seronok apabila lagu kita masih diingati sehingga ke hari ini. Tambahan ia dinyanyikan oleh generasi baru yang penuh semangat dan ramai peminat. Rasanya banyak lagu sekarang yang ada unsur-unsur patriotik, cuma ia tidak sampai.
“Saya rasa sudah tiba masanya industri seni hiburan tempatan membuat satu rombakan.
Masukkan lagu-lagu berunsur patriotik di dalam pertandingan anugerah lagu. Cari lagu patriotik yang terbaik.
“Ini juga sebagai permulaan untuk komposer atau penyanyi sekarang berlumba-lumba menghasilkan karya terbaik. Sampai bila mahu angkat lagu lama sahaja,” katanya yang pernah menghasilkan album Semarak Merdeka yang memuatkan lagu-lagu patriotik.
Mengakui perkara itu sukar direalisasikan, namun Dr Sam optimis dengan semangat anak muda kini yang mahu menghargai lagu-lagu sedemikian.
Katanya, sebelum ini tidak ramai yang mahu menyumbangkan suara untuk lagu-lagu sebegini, namun pendedahan yang diberikan pihak kerajaan menampakkan semangat baru dalam diri belia hari ini.
Biarpun sudah 11 tahun tidak aktif dalam bidang seni, tetapi jiwa seninya masih menebal. Sepanjang penglibatan Dr Sam, dia sudah muncul dengan lima album iaitu Abu Nawas (1983), Sayang OK (1985), Saya Anak Malaysia (1986) Semarak Merdeka (1988) dan Sinar Harapan (1990).
Aktif berniaga
Pada usia 57 tahun, bidang seni sudah menjadi sisi tepi dalam hidupnya. Selesa menguruskan perniagaan sendiri, Dr Sam dipilih menjadi duta produk As Sauda.
Selesa dengan perniagaan itu, Dr Sam sebelum ini sudah menjalankan pelbagai perniagaan lain.
“Saya sudah penat buat macam-macam perniagaan. Kini, saya tumpukan pada produk As Sauda. Ia dapat membantu merawat pelbagai jenis penyakit, termasuk diabetes.
“Saya selesa dengan perniagaan ini. Berniaga produk yang dapat membantu kesihatan masyarakat menjadi keutamaan saya dan berharap ia dapat membantu masyarakat di luar sana,” ujar bapa kepada dua anak ini.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: