|
|
SEJAK kehadiran Nur Nashrullah Nur Azlin, Nasreen Ngasri atau Darling, 28, asyik mengelek anak kesayangannya itu kerana buat masa ini dia belum ada pembantu rumah.
Darling bernasib baik kerana sejak hamil dan bersalin pada 21 Mei lalu, dia menetap bersama ibu bapanya di Taman Batu Permai, Jalan Ipoh.
Kata Darling, jika menetap di rumah sendiri, pasti dia kesunyian kerana suaminya, Nur Azlin Rahmat, 36, sering bertugas di luar daerah.
"Setakat ini kerja Darling asyik mengadap Nashrul saja. Nak buat kerja luar tidak boleh lagi sebab kesianlah tengok muka dia kalau nak tinggal lama-lama.
"Raya kali ini lebih meriah sebab ada Nashrul. Walaupun dia tidak tahu pasal baju raya tapi Darling tetap nak beli sebab teruja nak tengok dia pakai baju baru," katanya tersenyum.
Darling yang akan beraya di rumah ibu bapanya sebelum pulang ke rumah mertua di Bukit Katil, Melaka pada sebelah petang raya pertama berkata, dia tidak perlu risau tentang persiapan juadah raya.
Katanya, sejak dulu hingga kini dia tidak cerewet tentang menu. Apa sahaja yang dihidang oleh ibu, Habibah Jaafar di pagi raya itulah yang dimakan.
"Biasanya, rendang dan ketupat mesti ada, kalau tidak bukan raya. Darling jenis tidak kisah, janji sedap. Lagipun, bukan Darling yang sediakan jamuan, jadi tidaklah boleh cakap banyak," katanya terus terang.
Darling yang juga seorang produser itu berkata, dalam waktu terdekat dia banyak melakukan kerja-kerja di rumah dan memberi tumpuan pada syarikatnya, Nasreen Pictures Sdn. Bhd.
Katanya, kalau ada kelapangan dia akan meninjau lokasi untuk penggambaran drama, Haruskah Ada Rindu yang bakal memulakan penggambaran selepas raya.
"Alhamdulillah, setakat ini syarikat Darling mendapat kepercayaan stesen televisyen untuk menerbitkan drama dan sebab itulah sekarang ini Darling banyak kepada kerja-kerja belakang tabir," katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: