Mendengar nama Ernie Chen, mungkin ada yang lebih mengenali empunya diri sebagai pakar motivasi dan usahawan terkenal.
Namun, selain memiliki lapan syarikat yang menawarkan pelbagai perkhidmatan, Chen juga sebenarnya adalah satu nama besar dalam dunia hiburan.
Outloud Studios Sdn Bhd yang ditubuhkan pada 2003 adalah bukti bahawa lelaki berketurunan Cina ini tidak main-main apabila turut menceburi perniagaan dalam bidang hiburan.
Semuanya kerana jiwa pemegang Ijazah Sarjana Muda Komunikasi dan Ijazah Sarjana Muda Teater di Universiti Western Kentucky, Amerika Syarikat ini, begitu mencintai dunia seni.
Menurut Chen, selepas pulang dari Amerika Syarikat pada 1998, dia terus terlibat sebagai pelakon untuk beberapa iklan komersial.
Kelebihannya berbahasa Melayu dan Inggeris dengan fasih juga membuatkan Chen sering dipilih menjayakan drama dan teater dalam kedua-dua bahasa itu.
Wajahnya pernah membintangi beberapa drama popular seperti Kopitiam, Show Me The Money, Each Other selain teater Hamlet versi Melayu.
“Selepas itu, saya mula menumpukan perhatian terhadap perniagaan dalam bidang lain, tetapi ternyata jiwa saya tidak dapat dipisahkan dengan dunia seni.
“Berbekalkan pengalaman yang ada, saya menubuhkan Outloud Studios yang lengkap dengan pelbagai kemudahan dalam usaha menjadikannya sebagai pusat sehenti dunia hiburan,” katanya yang bertindak sebagai Penerbit Eksekutif Outloud Studios.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: