Wednesday, September 28, 2011

One Buck Short perluas pengaruh

Hanya tinggal beberapa hari lagi sebelum tarikh 8 Oktober menjelma. Tarikh keramat buat kumpulan pop punk terkenal, One Buck Short (OBS).

Pada hari tersebut, bukan mereka sahaja terlibat secara langsung dengan konsert Rockaway 2011, malah OBS bakal melancarkan album terbaru mereka berjudul Kampung Glam.

Lebih istimewa, album kedua OBS ini menampilkan enam lagu yang keseluruhannya dalam bahasa Melayu.

Dianggotai Rahul (gitaris), Imran (dram) dan Mooky (vokal), kehadiran album ini, atas permintaan peminat mereka yang mahu mendengar OBS menyanyi dalam bahasa Melayu.

Menurut Rahul, album yang didedikasi khas kepada peminat mereka ini sebagai hadiah atas sokongan sepanjang karier mereka dalam bidang seni sejak sepuluh tahun lalu.

“Selama ini kami lebih dikenali dengan lagu bahasa Inggeris. Ia juga sebagai medium untuk kami melebarkan sayap di luar negara.

“Tapi, kali ini kami ingin memberi fokus terhadap pasaran tempatan pula, kerana itu kami membuat keputusan untuk muncul dengan album penuh berbahasa Melayu yang pertama,” katanya kepada Zass.

Mengambil masa enam bulan pembikinan, album ini memuatkan lima lagu dan sebuah lagu cover, Pok Pok Pok Bujang Lapok nyanyian asal Seniman Agung, Allahyarham Tan Sri P Ramlee.

Album tersebut masih mengekalkan sentuhan penerbit terkenal, Greg Henderson yang sebelum ini terlibat dalam penghasilan album pertama mereka, Halal & Loving It (2008).

Melihatkan judul Kampung Glam yang sungguh menarik, Rahul berkata, ia berkaitan dengan keseluruhan album itu yang menceritakan kehidupan seorang pemuda dari kampung.

“Menerusi single pertama kami, Carilah Duit, ia mengisahkan pemuda tersebut berhijrah ke bandar untuk mencari pekerjaan.

“Lagu-lagu seterusnya merupakan kesinambungan perjalanan hidup pemuda itu seperti lagu Ditiup Kata Rindu yang menceritakan kerinduannya terhadap kampung halaman,” katanya.

Ketika ditanya rasional mengetengahkan kisah pemuda dari kampung, Imran pula berkata, ia berkaitan dengan strategi mereka untuk menambat hati peminat yang tinggal di luar bandar.

“Jangan tidak tahu, walaupun hanya sesekali mengadakan persembahan di luar bandar, tetapi sambutan yang diterima sungguh luar biasa.

“Ternyata masyarakat kampung sudah urbanized dan menyukai muzik yang dibawa kami. Jika tiada halangan, kami akan melakukan jelajah di kampung-kampung bagi mendekatkan diri dengan mereka,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: