Nampaknya debaran untuk bergelar seorang isteri semakin dirasai pelakon dan pengacara, Nur Syahirah Aiyob atau Shera Ayob, 26, yang akan melangsungkan perkahwinannya, 20 November ini.
Seperti pasangan lain, Shera juga menginginkan hari bersejarahnya dengan pelakon utama drama siri Juvana, Zahiril Adzim itu diraikan dalam satu majlis yang sempurna.
Kelmarin, ketika ditemui dalam program Seniman Prihatin 1Malaysia anjuran Biro Tata Negara di bawah Jabatan Perdana Menteri, Shera berkata, dia kini sibuk melakukan persiapan perkahwinannya.
“Saya terpaksa kurangkan berlakon drama mahupun filem kerana sibuk melakukan persiapan perkahwinan yang bermula sejak bulan lalu.
“Memandangkan Zahiril sibuk dengan karier lakonannya, jadi saya rela hati mengalah dan mengambil alih tugas itu.
“Tetapi Zahiril tidak bersikap lepas tangan kerana dia akan turut sama-sama melakukannya jika ada kelapangan,” katanya yang kini menjalani penggambaran untuk sebuah program di TV3.
Shera berkata, dia akan meneruskan kariernya sebagai pelakon selepas selesai majlis perkahwinannya tahun depan dan harapannya itu tidak dihalang oleh bakal suaminya.
Walaupun sibuk dengan tugas dan persiapan perkahwinan, Shera masih tidak dapat lari daripada kontroversi yang mengatakan pelakon filem Karak ini seorang yang sombong apabila namanya sudah berada di tangga populariti.
Ketika ditanyakan hal itu, Shera sama sekali tidak menduga lalu menyangkal tohmahan itu.
“Mungkin cerita itu timbul apabila saya ada terlepas pandang sesuatu perkara. Jika ia mengenai bagaimana saya melayan orang yang tidak dikenali, pada awal pertemuan atau perbualan itu mungkin saya agak malu tetapi jika sudah biasa, pasti tidak timbul isu saya sombong.
“Tidak lama lagi saya sudah jadi isteri orang, sudah tentu saya berusaha jadi yang terbaik tidak mahu menyinggung hati siapa pun,” katanya yang dilihat mesra melayan penduduk kampung yang turut serta dalam program yang diadakan selama dua hari di Homestay Kampung Banguris, Sepang.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: