Saturday, September 17, 2011

Ekuinas buat pelaburan RM98.2 juta



Ekuiti Nasional Bhd (Ekuinas) melabur RM98.2 juta untuk Burger King (BK) dan San Francisco Coffee (SFC).

Ekuinas berkata, pelaburan itu akan memperlihatkan peluasan besar-besaran operasi Burger King, peneraju global dalam restoran layan segera dan rangkaian kedai kopi, Francisco Coffee di Malaysia.

“Ekuinas merancang menambah pelaburan dalam jenama makanan dan minuman (F&B) tempatan dan global yang sudah terkenal dengan matlamat mewujudkan kumpulan F&B utama Malaysia, dengan pelbagai portfolio pelaburan dalam perkhidmatan penuh, makanan segera, kafe makanan pencuci mulut dan jenama restoran hidangan tempatan,” katanya, semalam.

Ekuinas berkata, urus niaga BK membabitkan kos RM68.2 juta, meliputi suntikan modal dalam Cosmo Restaurants Sdn Bhd, pemegang francais BK Malaysia bersama-sama pengambilalihan kepentingan minoriti pemegang saham sedia ada dalam Cosmo dengan kepentingan ekuiti bernilai 74.1 peratus.

Pengambilalihan SFC meliputi pemerolehan 90 peratus kepentingan dalam Lyndarahim Ventures Sdn Bhd, pemilik dan operator SFC bagi sejumlah RM17.5 juta.
“Pelaburan tambahan RM12.5 juta juga diperuntukkan untuk peluasan lanjut operasi kopi istimewa itu di peringkat serantau, selain melabur dalam jenama F&B lain,” katanya.

Pengerusi Ekuinas, Raja Tan Sri Arshad Raja Tun Uda berkata, syarikat itu gembira melakukan pelaburan itu berdasarkan sektor F&B adalah antara enam sektor teras.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: