Sunday, September 4, 2011

Effa suka lelaki pandai berjenaka


Effa


MENCARI pasangan hidup bukannya suatu perkara mudah kerana banyak kriteria perlu dipenuhi sebelum membolehkan seseorang itu mampu bertakhta di hati.

Kebanyakan gadis sering mendambakan pasangannya itu seorang yang kacak dan berketerampilan bergaya, malah tidak kurang juga yang mengimpikan seorang lelaki yang bertubuh tegap.

Namun apa jua kriteria yang ditetapkan, ada juga yang mendambakan seorang insan yang pandai membuat hatinya gembira dan ceria.

“Walaupun ramai antara gadis memilih untuk mencari teman lelaki yang kacak dan digilai ramai wanita, namun saya lebih mengidamkan untuk menjadikan lelaki yang pandai berjenaka sebagai teman hidup,” kata Effa Nasta‘in Sazali.

Gadis berusia 22 tahun ini mengakui lelaki yang kelakar mampu mengubat kedukaan hati terutama ketika menempuh hari yang menyedihkan.

Katanya, dia tidak mahu memilih lelaki terlalu kacak kerana sudah pasti dia akan menjadi perhatian dan rebutan gadis lain, sehingga membuatkannya berasa risau.

Menurutnya, keadaan tersebut menyebabkan dia terpaksa ‘menambah masa’ untuk mengawasi pergerakan lelaki tersebut.

Anak kedua daripada empat beradik yang cantik mengenakan tudung rekaan Faraheen ini mengakui tidak suka berpeleseran tanpa tujuan, sebaliknya lebih gemar menghabiskan masa di rumah bersama keluarga.

“Saya akui tidak gemar bersosial termasuk menonton wayang dan hanya akan melepak bersama rakan-rakan sahaja, itu pun hanya sekadar minum-minum selepas pulang bekerja.

“Bagaimanapun, ini tidak bermakna saya tidak tahu mengenai dunia hiburan di tanah air atau antarabangsa,” katanya yang mengakui meminati pelakon utama Pirates of Caribbean, Johnny Deep.

Katanya, mungkin watak lucu dan selamba yang dibawa aktor berkenaan ketika melakonkan watak Kapten Jack Sparrow berjaya menambat hatinya.

“Kalau boleh, saya mahukan teman lelaki seperti Jack Sparrow yang lucu tetapi bukanlah lanun yang tidak terurus,” katanya sambil ketawa.


1 comment:

Tinggalkan Komen Anda Sini: