Sunday, September 4, 2011

Kajian 5 tahun belajar lancar ‘roket’


Salah satu kumpulan sedang memberi penerangan tentang rekaan roket air yang dicipta oleh mereka.


BERKAT kesabaran guru pembimbing Sekolah Menengah Merchang, Terengganu selama lima tahun akhirnya membuahkan hasil apabila anak didiknya berjaya menjuarai Pertandingan Teknologi Pelancaran Roket 2011, Peringkat Kebangsaan.

Menceritakan sejarah penyertaan dalam pertandingan tersebut, guru pembimbing SMK Merchang, Che’ Johan Mohd. Amin berkata, ia hasil dorongan serta sokongan padu yang diterimanya daripada pengetua.

“Selama lima tahun saya dan beberapa generasi pelajar telah menyertai pertandingan ini di peringkat negeri. Namun tidak pernah sekali pun berjaya keperingkat kebangsaan.

“Namun, pengetua saya, Ramli Musa tetap memberi sokongan padu dan meminta agar usaha (menyertai pertandingan) tetap diteruskan biarpun saya pernah menyatakan ingin berhenti menjadi guru pembimbing untuk pertandingan tersebut,” ujarnya.

Tambah Che’ Johan, di samping sokongan padu pihak sekolah kajian mendalam setiap kali latihan selama lima tahun juga akhirnya membuahkan hasil.

Biarpun pelajar yang terlibat saling berganti namun konsep yang diterapkan oleh beliau berjaya mencungkil bakat mereka bagi menghasilkan roket air yang terbaik.

Dua pelajarnya, Muhammad Nur Syahir Che’ Johan dan Ahmad Tarmizi Sohaime merupakan pelajar tingkatan empat sekolah tersebut telah dilatih sejak awal bulan sebelum menyertai pertandingan peringkat negeri.

Setelah berjaya di peringkat negeri, mereka mara ke peringkat kebangsaan dan akhirnya berjaya menewaskan sekolah-sekolah seluruh Malaysia untuk muncul sebagai pasukan terbaik keseluruhan.

Pertandingan Teknologi Pelancaran Roket (PTPR) merupakan satu program tahunan yang dianjurkan oleh Angkasa dengan kerjasama Bahagian Kokurikulum dan Kesenian, Kementerian Pelajaran bersama Universiti Malaya.

Aktiviti tersebut yang kini telah memasuki tahun kesembilan sejak ia mula dilaksanakan sebagai projek perintis pada 2003.

Merupakan sebuah projek sains merentas kokurikulum sekolah menengah dalam negara, PTPR merupakan terjemahan penggunaan aplikasi bidang sains angkasa kepada pelajar.

Dalam pertandingan tersebut para peserta yang terdiri daripada pelajar sekolah menengah dikehendaki mencipta model roket air yang sempurna menggunakan botol air minuman 1.5 liter.

Pengunaan botol air minuman tersebut bertujuan mengurangkan daya geseran mudah untuk didekorasi dan lebih inovatif.

Seterusnya, model roket air itu akan dilancarkan menggunakan alat pelancar roket bersama kombinasi tekanan air dan udara.

Pertandingan kali ini disertai 16 buah pasukan sekolah yang terdiri daripada 32 peserta dan 16 guru pembimbing dari 13 negeri dan tiga Wilayah Persekutuan.

Menurut Ketua Pengarah Angkasa, Dr. Mustafa Din Subari, pertandingan tersebut berjaya menarik minat pelajar terhadap bidang sains pelancaran roket.

“Setelah sembilan tahun program ini dilaksanakan kita dapat lihat pertandingan ini semakin matang.

“Ia dapat dilihat dengan peningkatan daya kreativiti para peserta serta format pertandingan PTPR2011 yang meliputi aspek teknikal seperti pembentangan projek, ketepatan sasaran, pengunaan payung terjun dan aspek-aspek yang lain,” katanya.

Juara bagi pertandingan tersebut menerima Piala Pusingan Menteri Sains Teknologi dan Inovasi, piala dan pingat emas, sijil kecemerlangan, Teleskop Astriview 100 milimeter (mm) EC Refractor dan DIY Galileoscope Kit.

Selain itu, juara pertandingan tersebut juga akan ditaja oleh pihak Angkasa menyertai Pertandingan Peringkat Asia Pasifik, APRSAF (Asian Pasific Regional Space Agency Forum) - '18 Water Rocket Event’ yang berlangsung di Singapura pada Disember ini.

Ketika ditanya mengenai persediaan pasukan SMK Merchang untuk ke pertandingan peringkat Asia Pasifik yang bakal dilangsungkan di Singapura, Che’ Johan berkata pasukannya sedang mengkaji strategi terbaik untuk tujuan tersebut.

Namun ujarnya, penguasaan bahasa Inggeris antara yang perlu dipertingkatkan di kalangan anak didik beliau kerana pada pertandingan peringkat Asia Pasifik segala pembentangan dan penerangan projek perlu disampaikan dalam bahasa tersebut.

“Kita akan teruskan latihan yang giat di samping meningkatkan penguasaan Bahasa Inggeris mereka (pelajar) bagi persediaan pertandingan tersebut,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: