Sunday, September 4, 2011

Burung hantu hero Bennylita


BENNYLITA mula melakar lukisan seawal usia lima tahun.


BENNYLITA Nasuty Ramlee, 37, telah melakukan banyak kerja dalam hidupnya. Beliau pernah menjadi pelukis, pensyarah teknologi maklumat, pengusaha multimedia, pereka grafik, penulis skrip bahkan pembikin filem pendek.

Malah, sebaik sahaja menamatkan pengajian dalam bidang teknologi maklumat di Universiti Utara Malaysia (UUM), beliau bekerja di restoran makanan segera dan kedai kasut terlebih dahulu.

Wanita ini juga bagaikan tidak pernah jemu ‘berpindah-randah’ dari sebuah institusi ke sebuah institusi pengajian yang lain.

Dalam tempoh 10 tahun lalu, beliau berjaya memperoleh Sijil Kesenian dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Diploma Filem dan Video dari Akademi Seni Kebangsaan (Aswara) dan Sijil Kesenian dari Institut Seni Lukis Malaysia.

Namun, meskipun telah banyak perkara yang dipelajari dan cuba dilakukannya, Bennylita berkata, melukis kekal sebagai kecintaannya yang No. 1.

Seram

Menurut Bennylita, kebolehan melukis sudah dimilikinya seawal usia lima tahun lagi.

“Bapa saya seorang pelukis dan pereka grafik. Ibu pula sering mendedahkan saya kepada siri kartun dan animasi khususnya yang menampilkan watak burung hantu dengan latar bulan mengambang,” imbas beliau.

Walaupun sering dikaitkan dengan kisah misteri dan memiliki rupa yang menyeramkan, burung hantu adalah subjek lukisan yang paling disukai Bennylita.

“Walaupun burung hantu amat ditakuti orang ramai disebabkan bunyinya yang pelik selain nampak menyeramkan pada waktu malam, tetapi hakikatnya ia spesies yang tidak ganas dan lembut dengan manusia,” jelas bekas pensyarah di Cosmopoint ini.

Menurut Bennylita, beliau melukis berdasarkan apa yang terlintas di fikirannya kerana itulah yang diajar oleh mentornya, pelukis tersohor negara, Yusof Gajah.

“Saya berpeluang bertemu Yusof Gajah semasa menuntut di Aswara lagi iaitu ketika saya membuat filem pendek mengenai beliau.

“Beliau meminta saya melukis apa yang saya fikirkan kerana dengan cara itu, benda susah akan senang diterjemahkan ke dalam bentuk lukisan dan begitulah sebaliknya,” ujar Bennylita.

Tambahnya, seorang lagi guru beliau, Rahimie Harun, turut memberikan petua yang sama.


APA pun bentuk karyanya, burung hantu kekal sebagai subjek utama.


Mimpi

“Rahimie menyuruh saya melukis perkara yang pernah datang dalam mimpi saya.

“Pada saat itulah burung hantu yang sering terlintas dalam mimpi saya dijadikan pelengkap kepada karya-karya lukisan saya,” kata anak kelahiran Alor Setar, Kedah ini.

Bukan sekadar lukisan, filem pendek yang dibikin Bennylita, Bila Pungguk Rindukan Bulan turut menjadikan burung hantu sebagai watak utama.

Manakala burung hantu dan watak-watak fantasi lain memberi inspirasi pada penghasilan lukisan bertajuk Owlmagictreehouse.

Bennylita ternyata turut menggemari kisah dongeng dahulukala seperti kisah orang kenit, Bigfoot, ikan duyung dan cermin ajaib.

“Semasa melukis, saya akan memasang muzik berkaitan supaya mood yang diperoleh dapat menghasilkan lukisan yang sempurna,” katanya yang gemar melukis pada waktu malam, sama seperti burung hantu yang berjaga sepanjang malam.

Selain imej burung hantu, persamaan antara lukisan-lukisan Bennylita ialah pengguna warna yang sama.

Katanya, penggunaan tiga jenis warna iaitu hitam, merah dan putih pada lukisan melibatkan burung hantu dipercayai boleh menonjolkan sesuatu karya.

“Saya sebenarnya tidak suka mengulangi rekaan yang sama setiap kali melukis malah sentiasa inginkan kelainan dalam lukisan.

“Oleh kerana itulah, saya gabungkan elemen manusia, bunga dan pokok tetapi masih menjadikan burung hantu sebagai ‘hero’ potret saya.

“Lagipun, bukan senang untuk mengubah satu spesies yang menyeramkan dan ditakuti ramai kepada sesuatu yang menarik dan kelakar,” katanya yang setakat ini telah menghasilkan hampir 100 buah lukisan.

Menurut Bennylita, sejak tahun 2009 hingga sekarang, lukisannya hanya dipamerkan di laman Myspace.

“Saya mendapat maklum balas yang sangat menggalakkan di Myspace khususnya orang ramai yang berminat dengan lukisan Owlmagictreehouse.

“Ada juga pengunjung dari Amerika Syarikat, Perancis dan Britain yang bertanyakan hal yang sama.

“Mereka memujuk saya supaya membuat pameran di luar negara tetapi saya masih belum bersedia,” katanya yang menjual lukisan poster pada harga RM200 sebuah.

Kini, Bennylita sedang menghasilkan potret gabungan seni burung hantu dengan karakter Mona Lisa. Inilah kali pertama beliau menghasilkan potret bersaiz 5x6 kaki.

“Saya juga bercadang menerapkan lukisan saya pada baju T dan kasut pula. Apa yang pasti karakter utamanya ialah burung hantu,” tuturnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: