Sunday, September 4, 2011

Cerita mandi darah dan pulau yang tenggelam


PEMANDANGAN Pulau Tegipil yang tenggelam setiap kali hujan lebat atau air pasang besar.


SETIAP kali hujan turun, Kapten Hasbul Azlie Zainul Abidin dan 12 anggotanya akan bersiap sedia untuk meninggalkan penempatan mereka dan bergerak ke tempat yang lebih tinggi.

Memandangkan di pulau tersebut tiada permukaan tanah tinggi, mereka akan memanjat pokok hutan untuk berlindung.

“Cuaca di sini sukar dijangka. Setiap kali air pasang besar atau banjir disebabkan hujan lebat kami perlu bersedia untuk memanjat pokok kerana air laut akan melimpah ke daratan mencecah kedalaman sehingga 1.2 meter.

“Kami hanya akan turun apabila air surut, biasanya sehari dua jugalah kami duduk di atas pokok,” ujarnya yang perlu berdepan dengan situasi tersebut empat hingga lima kali sebulan.

Sukar untuk dipercayai, namun itulah antara cabaran yang perlu didepani barisan anggota keselamatan negara yang ditugaskan untuk mengawal Pulau Tegipil yang terletak kira-kira 97 kilometer ke utara bandar Sandakan di Sabah.

Pengalaman itu diceritakan sendiri kepada penulis yang turut serta dalam Lawatan Platun Media Rejimen 515 Askar Wataniah yang diketuai Leftenan Kolonel Richard Santhanasamy dan Mejar Khairuddin Ismail baru-baru ini.

Pulau yang tidak berpenghuni ini diletakkan di bawah pengawasan pasukan keselamatan serta berjiran dengan Pulau Mandi Darah dan Pulau Berhala.

Hanya dihuni semak-samun dan puluhan batang pokok hutan berdahan rendang, pulau yang memiliki keluasan 2.2 kilometer persegi ini hanya memerlukan lima hingga tujuh minit untuk dijelajah.


KUMPULAN Rejimen Askar Melayu Diraja Batalion Ke-12 ketika Ops Pasir di Pulau Mandi Darah.


“Kami di sini ditugaskan untuk menjaga pencerobohan nelayan asing dan kumpulan militan seperti Abu Sayyaf dan lanun,” kata Hasbul yang merupakan pegawai daripada Batalion Ke-12 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) Mekanize. Beliau dan pasukannya ditempatkan di situ selama tiga bulan sebelum digantikan dengan kumpulan lain.

Sungguhpun hanya tiga bulan, bertugas di pulau terpencil tanpa sebarang alat komunikasi pastinya cukup mencabar apatah lagi risiko berdepan serangan mengejut musuh yang boleh berlaku pada bila-bila masa sahaja.

Memandangkan tiada penempatan manusia di situ, bekalan makanan bercatu yang disalurkan dari tanah besar menerusi Pulau Berhala digunakan sebaik mungkin.

Itu cerita di Pulau Tegipil. Lain pula kisahnya di Pulau Berhala. Pulau yang menjadi hab saluran anggota tentera dan catuan makanan ini mempunyai lebih 1,000 penduduk kebanyakannya beragama Islam.


REMAJA kaum Bajau di Pulau Berhala gembira dapat belajar bahasa Inggeris daripada anggota tentera.


Jadi guru

Menurut seorang anggota tentera, Koperal Abdul Rahman Hamdan, 30, penduduk di situ terdiri daripada suku kaum Bajau dan Sulu yang berhijrah dari perairan Filipina sejak 100 tahun lalu. Tidak ramai penduduk di pulau ini yang boleh berbahasa Melayu dengan baik.

“Taraf pendidikan penduduk di sini rata-ratanya masih rendah malah sehingga kini tidak ramai yang berupaya bertutur dalam bahasa Melayu.

“Prihatin dengan keadaan tersebut, tugas 200 anggota tentera yang ditempatkan di sini bukan sekadar mengawal keselamatan pulau yang berkeluasan lima hektar ini, tetapi kami juga menjadi guru kepada 60 kanak-kanak dan remaja di pulau ini.

“Kami mendirikan tadika dan memperkenalkan sistem pelajaran 3M, iaitu membaca, mengira dan menulis dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Masyarakat,” kata Abdul Rahman.

Para pelajarnya pula terdiri daripada kanak-kanak berusia antara lima tahun hingga 17 tahun.


ZAKARIA Pangilan mencari rezeki dengan memotong kayu balak di Pulau Mandi Darah.


Lubuk gamat

Pembelajaran 3M terbahagi kepada tiga sesi iaitu sesi pertama melibatkan murid berumur antara empat hingga tujuh tahun, sesi kedua lapan hingga 11 tahun manakala sesi ketiga untuk pelajar berumur 13 hingga 17 tahun.

Menerusi kaedah ini, setiap pelajar diajar asas subjek Bahasa Inggeris, Bahasa Melayu, Matematik dan tulisan Jawi serta Sejarah.

“Kami memang buta huruf kerana tidak mengenal buku dan pensel. Tetapi apabila ada sekolah 3M ini, anak-anak kami gembira kerana dapat belajar,” ujar seorang penduduk tempatan, Bensun Ismail, 52.

Dia yang juga pemandu feri dari Pulau Berhala ke Sandakan berkata, sebelum ini semua penduduk pulau tersebut buta huruf dan bekerja sebagai nelayan tradisional.

“Sekarang dengan adanya program kemasyarakatan daripada RAMD, anak-anak kami semakin teruja untuk belajar dan berupaya berkomunikasi dalam bahasa Melayu dengan lebih baik,” katanya yang membayangkan kehidupan anak-anak pulau itu akan lebih terjamin pada masa akan datang.

Selain menjadi nelayan, ekonomi penduduk Pulau Berhala turut bergantung kepada aktiviti penternakan dan perniagaan runcit.

Sungguhpun serba sederhana, kehidupan mereka diakui jauh lebih baik pada hari ini.

“Sebelum ini, kami sering berdepan dengan ancaman pencerobohan nelayan asing, penculikan dan rompakan yang dilakukan oleh rakyat Filipina.

“Saya mewakili seluruh penduduk di sini berharap agar usaha murni angkatan tentera ini dapat mendidik anak-anak kami dan mengawal keselamatan kami.

“Kini, hidup kami semakin baik dan kami harap usaha murni pihak tentera ini menerusi Ops Pasir akan berterusan,” katanya.

Selepas berkunjung ke Pulau Tegipil dan Pulau Berhala, destinasi seterusnya ialah Pulau Mandi Darah.

Pulau ini mendapat nama daripada seorang puteri Mindanao yang sedang belayar dan berhenti di situ untuk mandi membersihkan dirinya yang didatangi haid.

Dikawal oleh 13 anggota tentera diketuai Ketua Penempatan, Kapten Mohamad Adam Haris, pulau yang terletak kira-kira 52 kilometer dari Sandakan itu hanya mempunyai 15 orang penduduk.

Semuanya bergantung hidup sebagai nelayan dan penangkap gamat selain pencari kayu balak di Pulau Limau-Limau yang terletak berdekatan.

Biarpun memiliki bilangan penduduk yang kecil, ATM tetap menyalurkan kemudahan elektrik dan air dari kem berhampiran untuk kemudahan mereka.

Bagaimanapun, kebanyakan rumah di tepi laut itu kini tidak lagi dihuni malah sekadar menjadi transit penduduk pulau berkenaan yang kini memiliki rumah di Kudat.

“Kami datang ke pulau ini untuk mencari kayu balak di Pulau Limau-Limau. Di sana ada sebuah kilang memproses kayu balak yang terbiar.

“Saya berulang alik ke Pulau Mandi Darah setiap hari untuk menangkap hasil laut serta memotong kayu balak menjadi kepingan papan sebelum dijual di Kudat. Setiap keping kayu, harganya boleh mencecah RM100,” kata penduduk asal pulau berkenaan, Zakaria Pangilan, 21.

Menurutnya lagi, ramai penduduk asal pulau berkenaan akan pulang pada bulan Julai dan Ogos disebabkan musim gamat.

“Ia merupakan musim menuai gamat dan pada waktu itu hasil jualan boleh mencecah lima angka,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: