SYAWAL tahun ini menjadi tahun pertama Muhamad Hairuman Miskon, 22, beraya di Tanjung Malim, Perak. Sebelum ini, anak kesembilan daripada 10 beradik ini meraikan lebaran di rumah pusaka tinggal orang tuanya di Tanjong Karang, Selangor.
“Walaupun berhari raya di sini, dalam keadaan begini, saya tetap gembira.
“Jauh di sudut hati memang ada garisan hiba tetapi untuk apa saya bersedih sedangkan semua orang mahu saya gembira,” ujar Hairuman yang sebelum ini bekerja sebagai pendawai elektrik.
Kisah anak muda ini pernah menggemparkan negara apabila dia terlibat dalam kemalangan tragis di kebun sawit milik jirannya.
75 peratus tubuhnya melecur akibat direnjat aliran elektrik bervoltan tinggi. Akibat daripada itu, kedua-dua tangan dan kaki kirinya terpaksa dipotong.
Mengimbas semula bagaimana tragedi tersebut berlaku, Hairuman tenang bercerita.
“Kira-kira pukul 8 pagi, saya pergi ke kebun sawit untuk menolong rakan.
“Walaupun tidak pernah berkebun sawit, pelawaan itu saya terima.
“Bila saya sampai di kebun, kawan yang sepatutnya mengait buah sawit belum sampai. Keadaan di kebun juga masih lembap kerana hujan turun pada waktu Subuh.
“Memandangkan hari itu hari Jumaat, saya mahu selesaikan kerja cepat-cepat supaya tidak lambat untuk solat Jumaat di masjid.
“Saya terus capai galah. Saya ingat nak cuba belajar buang pelepah.
Hidup seminggu
“Namun, tak sampai tiga saat mencangkukkan mata galah pada pangkal pelepah, saya rasa tangan saya panas dan selepas itu saya terus tidak sedarkan diri,” cerita Hairuman.
Menurut kakaknya, Maryuni Miskon, 32, seorang lagi rakan adiknya yang turut berada di tempat kejadian terdengar benda meletup.
“Bila dia toleh ke arah Hairuman, dia tengok adik saya sudah terpelanting dan badannya berasap.
“Bajunya habis terbakar dan kulitnya tanggal ke tanah.
“Dia lihat Hairuman tidak bergerak dan cuba beri bantuan pernafasan mulut ke mulut. Selepas beberapa saat, baru Hairuman terbatuk-batuk,” kata Maryuni.
Tatkala pertama kali melihat keadaan adiknya di Hospital Tanjong Karang, Maryuni tergamam. Sungguhpun sayu melihatkan tubuh adiknya penuh dengan wayar, hati kecilnya reda.
“Memang sedih tengok keadaan Hairuman. Dia masih muda dan kehidupannya masih panjang. Sebagai kakak, saya perlu menyokongnya untuk terus kuat menghadapi dugaan ini,” ujarnya.
Sepanjang menemani Hairuman di hospital, antara detik yang menyentuh hati Maryuni ialah apabila doktor memberitahu kedua-dua tangan adiknya terpaksa dipotong bagi mengelakkan jangkitan kuman merebak ke bahagian lain.
“Seorang doktor datang kepada Hairuman dan berkata, awak cuma ada dua minggu lagi untuk hidup.
“Apabila Hairuman nyatakan dia tidak rela tangannya dipotong, doktor tersebut menjawab, kalau macam tu, awak boleh bertahan seminggu sahaja lagi.
“Keadaan itu benar-benar memberi tekanan kepada Hairuman kerana pada masa itu, tangannya masih boleh berfungsi seperti biasa.
“Katanya, dia sanggup mati daripada hidup tanpa tangan.
“Sebagai kakak, saya tidak mahu membuat keputusan yang salah kerana ia melibatkan masa depan adik saya,” cerita Maryuni.
Berulat
Namun, beberapa hari selepas itu, tangan Hairuman mula kehitam-hitaman.
Menurut kakaknya, urat tangan Hairuman terputus menyebabkan aliran darah tidak sempurna.
“26 November 2010 doktor kata tangan saya terpaksa dipotong tetapi saya enggan.
“Namun empat ke lima hari selepas itu keadaan tangan semakin kritikal. Ia mula berair dan menghitam.
“Kedua-dua tangan saya membusuk sampaikan keluar ulat dari celah-celah jari.
“Apabila keadaan semakin teruk, saya setuju tangan dipotong,” kata Hairuman yang terpaksa menjalani pembedahan memotong tangan selama lebih kurang tujuh jam.
Sebaik sahaja sedar, Hairuman tidak dapat membendung rasa sedihnya.
“Walaupun saya tahu saya bakal kehilangan tangan, namun pertama kali saya melihat tangan saya kudung, saya tidak mampu sembunyikan perasaan sebak.
“Saya menangis sepuas-puasnya. Masa itu terlepas juga dari mulut saya, kenapa saya yang kena. Apa salah saya.
“Mujurlah ada keluarga terutamanya kakak dan abang ipar yang tidak putus-putus memujuk dan memberi sokongan,” katanya yang terpaksa menjalani pembedahan memotong kakinya 10 hari selepas kehilangan kedua-dua belah tangannya.
Selepas berbulan-bulan duduk di hospital dan menjalani lebih 10 kali pembedahan, keadaan Hairuman beransur pulih.
Sebaik sahaja dibenarkan keluar dari hospital, dia terus dibawa pulang ke rumah abang iparnya di Tanjung Malim, Perak.
“Hairuman ada menyatakan hasrat untuk pulang ke Tanjong Karang, tetapi saya dan suami mengatakan kepadanya yang dia perlukan tempat dan suasana baru untuk kembali sihat.
“Kini, Alhamdulillah, selepas tiga bulan tinggal di sini, keadaannya bertambah baik,” kata Maryuni.
Selesa tinggal dalam persekitaran hijau, Hairuman tidak lagi bersedih meniti hari-hari yang bakal mendatang.
Tahun ini, walaupun keadaan fizikalnya tidak sempurna, Hairuman dapat melengkapkan ibadah puasa selama sebulan.
“Sayang nak tinggalkan puasa, apatah lagi bila memasuki malam tujuh likur. Doakan saya diberi kekuatan untuk terus berpuasa pada tahun-tahun mendatang,” ujarnya yang bakal menerima tangan dan kaki palsu tidak lama lagi.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: