Sunday, September 4, 2011

Setia Sheila di Kuala Lumpur


Sheila Majid


DEBAR hatinya cukup kuat setiap kali menjelang Syawal. Dalam kemeriahan orang menyambut ketibaan hari yang dinanti-nantikan, Sheila Majid pula sayu mengenangkan mereka yang serba kekurangan.

Saat orang lain silih berganti baju baru, ada pula yang gembira memakai pakaian lama kerana kesempitan hidup.

Tidak mahu terus larut dalam emosi sendiri, Ratu Jazz negara itu yakin ada hikmah di sebalik apa sahaja yang dilihat. Cuma, dia bersyukur kerana punyai segala-galanya yang mampu mengukir senyuman di bibir manisnya.

Bersyukur kerana masih diberi kudrat untuk memiliki apa yang diimpikan, Sheila yakin dengan usaha yang berterusan sesiapa sahaja mampu untuk mencapai impian mereka.

“Syukur kerana saya masih berkesempatan untuk merai Aidilfitri kali ini. Ini memang pengalaman yang menarik tiap kali menjelang hari raya sebab banyak perkara menarik yang dah berlaku sebenarnya,” kata Sheila tersenyum manis.

Sama seperti tahun terdahulu, Aidilfitri Ratu Jazz Negara ini masih di Kuala Lumpur. Sambutannya tetap meriah biarpun ramai yang menganggap berapa di ibu negara sedikit bosan memandangkan kebanyakan orang akan pulang ke kampung halaman.

Tidak pernah merasakan sambutan Aidilfitri hambar seperti mana yang sering diperkatakan orang, Sheila Majid cukup gembira kerana inilah masanya untuk dia menziarahi sanak-saudara dan keluarga di hari lebaran.

“Memang orang selalu cakap yang hari raya di Kuala Lumpur sedikit bosan. Sejujurnya saya tidak pernah merasakan kebosanan memandangkan inilah kampung saya sejak dahulu lagi.

“Saya tinggal di Kuala Lumpur, berkahwin dengan orang Kuala Lumpur. Jadi segala-galanya di Kuala Lumpur.

“Macam pagi raya yang lalu, saya sempat menyiapkan anak-anak dan terus ke rumah ibu mertua di Damansara. Selesai beraya di sana, saya terpaksa pulang sebab adik beradik yang lain dah datang berkumpul di rumah memandangkan ibu saya tinggal dengan saya,” ujar isteri kepada komposer Acis ini lagi.

Mengambil masa seminggu untuk berhari raya, bagi Sheila anak-anak harus diutamakan bila menjelangnya hari lebaran ini.

Biarpun sudah di puncak awan, tanggungjawab dan kerja keras sebagai isteri dan ahli keluarga tidak pernah dilupakan. Daripada soal suami dan anak-anak sampailah membersihkan rumah, akan dilakukan sendiri oleh Sheila.

Selepas tempoh itu Sheila akan kembali sibuk dengan pelbagai undangan pentas yang sudah diatur sejak awal lagi termasuklah beberapa konsert di Sabah dan persembahan korporat termasuk di Perth, Australia pada bulan Oktober depan.

Pada bulan Ramadan yang lalu Sheila sebenarnya sempat merakamkan sebuah album Memori Aidilfitri yang mengandungi sembilan buah lagu termasuk satu lagu baru cukup dibanggakan.

“Projek ini memang dah lama saya rancang. Saya hanya menyanyikan semula lagu-lagu raya yang lama tetapi diberi nafas baru. Segala-galanya baru termasuklah susunan muziknya sekali.

“Cuma ada sesuatu yang menarik apabila saya menyanyikan lagu lagu baru yang berjudul Tiada Lagi. Lagu yang dicipta oleh Acis dan lirik saya tulis sendiri itu juga mendapat sentuhan Jenny Chin.

“Kalau kita tengok kebanyakan lagu raya hanya ada dua jiwa sahaja. Sama ada lagu gembira atau lagu sedih. Ada orang dengar takbir raya terus mengalir air mata. Ada juga yang gembira bila dengan takbir yang sama,” kata Sheila lagi.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: