KERJAYA yang menuntut dirinya berdepan masalah orang lain menyebabkan Essa Saad, 30, memilih beraya sambil bercuti di Bali, Indonesia.
“Aidilfitri kali ini untuk diri saya. Saya ingin tenangkan jiwa dan mahu berehat puas-puas.
“Saya mahu belai diri di spa, bersantai di pantai sambil mendengar alunan muzik,” katanya yang akan berangkat ke pulau itu pada hari raya kedua bersama rakan-rakan.
Essa yang pertama kali meninggalkan keluarga pada Aidilfitri bagaimanapun tetap membuat persiapan menyambut raya.
“Kuih raya, baju raya untuk mak ayah dan duit raya semua disediakan awal-awal lagi.
“Cuma tahun ini baju raya saya hanya dua pasang, sepasang untuk pagi raya dan sepasang lagi untuk rumah terbuka,” jelasnya.
Essa yang akan berada di sana selama lapan hari berpendapat tidak salah sesekali beraya sambil bercuti asalkan keluarga dan tradisi tidak dilupakan.
“Apa yang penting adalah bermaaf-maafan di pagi raya dan solat hari raya,” katanya yang akan menyambut pagi Syawal di Alor Setar, Kedah.
Essa bertuah dikurniakan keluarga yang memahami kariernya sebagai perunding dan kesukaran mendapatkan cuti selain dari hari raya.
“Bapa sangat memahami. Cuma ibu sedikit sedih. Tapi bila saya terangkan tujuan saya ke sana, akhirnya ibu tak membantah,” katanya.
Bersalaman di hotel, atas kapal
TIDAK kira di negara mana pun Aidilfitri disambut, yang penting bagi Noor Farlina Rosli, 28, adalah berkumpul bersama ahli keluarga.
“Ayah bekerja di luar negara dan kami adik-beradik belajar di berlainan tempat. Kami pernah beraya di Maldives, Rome, Colombo, Chennai, Rome, New York, Moscow dan Shanghai sebab ibu bapa tinggal di sana,” katanya yang belajar dan menetap di Malaysia sejak berumur 15 tahun.
Kesempatan berkunjung ke luar negara setiap kali Aidilfitri tidak dibiarkan begitu sahaja, sebaliknya digunakan untuk bercuti ke tempat pelancongan.
Kebiasaannya, separuh hari raya pertama dihabiskan di kedutaan Malaysia tempat ayahnya berkhidmat dan kemudian mereka sekeluarga akan pergi melancong.
“Raya di sana berbeza dan tak semeriah di Malaysia. Pagi raya kami akan ke kedutaan Malaysia. Di situ kami akan berkaraoke, main ping pong dan dat.
“Menarik juga bila kami dapat cuba makanan tradisi, melihat pakaian tradisi dan cara umat Islam negara lain menyambut raya,” katanya.
Mengimbas aktiviti yang dilakukan, anak sulung daripada lima adik-beradik ini berkata aktiviti wajib bagi mereka sekeluarga ialah bermaaf-maafan di pagi raya.
“Biasanya di bilik hotel sahaja, pernah juga kami bersalaman di atas kapal.
“Masa di Moscow ada takbir raya dan kami sembahyang raya sama-sama. Biasanya kami cuma pasang cakera padat (CD) saja di rumah untuk dapatkan ‘mood’ raya,” katanya.
Berpengalaman melihat suasana Aidilfitri di negara sendiri dan di luar negara, dia berpendapat kedua-duanya mempunyai kelebihan.
“Beraya di luar negara seronok sebab tak penat masak atau kemas rumah. Belanja untuk raya pun kurang. Betul-betul dinamakan rehat.
“Beraya di Malaysia seronok sebab banyak makanan sedap, ada budaya kunjung-mengunjung dan dapat beraya dengan datuk dan nenek,” katanya.
Masak rendang, jahit baju raya di Vietnam
Cadangan suami tercinta, Joe I.N Sommer untuk pergi ke Vietnam ketika sambutan hari raya disambut baik isterinya, Selina Light.
Seminggu sebelum Aidilfitri, pasangan ini sudah berangkat dan akan menghabiskan Syawal mereka di sana.
“Kami rancang masak rendang, sembahyang raya dan berkunjung ke kedutaan Malaysia di Hanoi,” kata Selina.
Selina yang pertama kali beraya di tempat orang mengakui mempunyai perasaan bercampur-baur menjelang Aidilfitri.
“Rasa sedih, rindu, teruja dan gembira. Sedih sebab jauh dengan keluarga di Sabah, rindukan ketupat dan rendang, tapi gembira dapat pengalaman beraya di tempat orang,” katanya.
Sebagai persediaan menyambut raya, Selina membawa sepasang baju kurung dan sepasang baju Melayu untuk suaminya.
“Saya ada juga bawa kain dan minta tukang jahit di sini jahitkan baju kurung,” katanya.
Beraya ‘dalam air’
CUTI panjang sempena Aidilfitri dan kemerdekaan ke-54 tahun ini membuatkan Shazrul, 32, tidak melepaskan peluang melakukan aktiviti kegemarannya, selam skuba.
“Tahun ini cuti panjang, rugi kalau tak pergi menyelam. Kebetulan saya jenis susah dapat cuti, inilah masanya,” katanya yang akan berangkat ke Pulau Cebu, Filipina, tiga hari sebelum Aidilfitri.
Disebabkan dia akan menghabiskan masa selama tujuh hari di sana, dia tidak membuat sebarang persiapan raya.
“Saya tak ada baju dan kuih raya. Saya lebih banyak beli baju dan peralatan menyelam,” katanya.
Dalam pada itu, pengurus sekuriti ini tidak menafikan terselit rasa sedih kerana tidak dapat bersama keluarga pada pagi raya.
Namun, pengalaman beraya di Amerika Syarikat (AS) ketika bergelar pelajar dulu menjadikan dia tabah.
“Sedih juga tak dapat balik beraya di kampung. Tapi bila fikirkan keseronokan menyelam, terubat sedikit kesedihan itu,” katanya.
Shazrul bagaimanapun akan menghadiri rumah terbuka rakan-rakan apabila dia pulang ke tanah air nanti.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: