LEBARAN yang semakin hampir menghangatkan lagi gelora kemeriahan sambutan di seluruh dunia dengan jutaan umat Islam sedang sibuk melakukan persiapan akhir sehingga berkumandangnya takbir Hari Raya, kira-kira kurang 72 jam lagi.
Pun begitu, bukan semua tenggelam dalam keasyikan membancuh, menggentel dan membakar kuih raya atau menggosok persalinan busana Hari Raya serta memasang cadar, karpet dan langsir baru.
Bukan semua anak-anak mereka sudah bermain kejar-kejar ayam atau bermain badminton bersama adik-beradik dan sanak saudara di kampung halaman masing-masing.
Masih ramai lagi ibu atau bapa berada di pejabat, melaksanakan tanggung jawab dan amanah terhadap tugas sama ada sebagai kakitangan bawahan mahu pun pentadbir dan penggubal dasar sehingga terpaksa melupakan soal membakar lemang, merebus ketupat apatah lagi bersolat sunat Aidilfitri dengan keluarga tercinta.
Ini kerana bukan semua berpeluang bercuti panjang sempena Hari Raya, sebaliknya terdapat pelbagai kategori pekerjaan dan kerjaya seperti barisan pertahanan negara (polis, tentera, bomba, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), Ikatan Relawan Rakyat Malaysia atau RELA), sektor perkhidmatan, industri dan banyak lagi yang memerlukan individu tersebut bertugas di luar waktu kerja termasuk cuti umum.
Stesen TV paling meriah
Sektor penyiaran memerlukan sejumlah besar kakitangan bertugas terutama pada cuti umum penting seperti Aidilfitri untuk memastikan kelancaran perkhidmatan kepada jutaan pelanggannya di seluruh negara.
Seperti stesen televisyen TV9, contohnya, tidak kurang padat dengan rancangan khas dan program yang bersiaran secara langsung pada Hari Raya pertama.
Menurut Penerbit program Ketupat Rendang Kopi ‘O’, Khairol Bariah Kamaruddin, tahun ini merupakan pengalaman keduanya menyambut Lebaran di dalam bilik kawalan untuk mengendalikan siaran langsung program tersebut yang bertemakan ‘Raya Sakan’.
“Tidak semua terpaksa mengorbankan Lebaran bersama keluarga pada setiap tahun, sebaliknya kami mempunyai sistem giliran supaya semua orang berpeluang bercuti. Kebetulan, tahun ini giliran saya bertugas pada Hari Raya pertama,” ujarnya yang berasal dari Kota Baru, Kelantan.
Khairol Bariah, 40, juga gembira mengakui bahawa seperti kebanyakan krew lain, dia juga tidak sabar-sabar menantikan kemunculan pagi Syawal walaupun akan berada di studio seawal 6 pagi sebelum Ketupat Rendang Kopi ‘O’ disiarkan secara langsung bermula pukul 8 hingga 10 pagi.
“Setiap tahun, sambutan Hari Raya di Sri Pentas amat meriah sekali. Banyak program siaran langsung akan berjalan serentak dengan aktiviti-aktiviti menarik, kami turut mengadakan jamuan Hari Raya di lobi dan akan dipaparkan dalam slot rancangan kami nanti.
“Sempena Hari Raya pertama, saya memilih konsep santai dengan menjemput para pelawak terkenal tanah air sebagai tetamu jemputan utama untuk menonjolkan kemeriahan berhari raya walaupun kami semua termasuk krew penerbitan, teknikal, artis dan tetamu terpaksa berjauhan daripada keluarga dan kampung halaman,” kata ibu kepada sepasang cahaya mata berusia tujuh dan 12 tahun itu.
Kata beliau, meski pun proses koordinasi pra-produksi mengambil tempoh hampir sebulan sebelum rancangan bersiaran secara langsung, namun penerbitan seumpama itu lebih baik dan sesuai kerana tidak memerlukan langkah pasca-produksi seperti suntingan dan sebagainya.
“Cabaran datang sebelum bersiaran, mendapatkan komitmen para jemputan untuk membuat kemunculan pada pagi Aidilfitri. Sudah tentu mereka juga ingin bersolat sunat Aidilfitri dan meluangkan masa bersama keluarga,” kata beliau yang akan pulang ke kampung mertuanya di Pulau Pinang selepas bersiaran langsung pada hari yang sama.
Mengimbas kembali pengalaman pertamanya menyambut Hari Raya di tempat kerja kira-kira tiga tahun lalu, Khairol Bariah berkata, dia terlibat dengan rancangan yang bersiaran langsung selama sembilan jam tanpa henti.
“Memang kedengaran seperti kerja teruk dan memenatkan, lebih-lebih lagi pada Hari Raya! Tetapi sebenarnya ia adalah waktu paling menyeronokkan bagi kami yang bekerja. Semua kakitangan bertugas akan muncul dengan baju raya serba baru, termasuk krew teknikal,” katanya.
“Kami sukarela!”
Menyedari pentingnya sumber tenaga tambahan sempena sambutan Aidilfitri ini apabila kebanyakan kakitangan mengambil cuti panjang, generasi baru kakitangan khidmat pelanggan syarikat telekomunikasi Tune Talk pantas menawarkan diri untuk bertugas demi para pelanggan.
Seperti Nur Ashikin Razali, 23, yang dua kali berturut-turut menyambut Hari Raya dengan set kepala sambil melayani pelbagai ragam dan aduan pelanggan Tune Talk.
Katanya, sementara belum berkeluarga, dia ingin membantu meringkan bebanan rakan sekerja lain yang mempunyai komitmen terhadap keluarga suami atau isteri dan anak masing-masing.
“Sepatutnya saya rehat (Off) pada Hari Raya pertama, tetapi memandangkan kekurangan kakitangan mengendalikan pusat panggilan kami, saya menawarkan diri untuk sekali lagi bertugas pada tahun ini, walaupun terpilih untuk bekerja pada Aidilfitri lalu,” katanya yang berasal dan menetap bersama keluarga di Kajang.
Nur Ashikin juga mengakui bahawa keluarga, terutama ibunya tidak keberatan melepaskan dia bekerja pada hari pertama Syawal. Yang penting, katanya, dia menjamah hidangan ketupat dan rendang bersama-sama semua ahli keluarganya sebelum memulakan tugas pada hari tersebut.
“Ibu mementingkan makan. Tak tolong masak, tak mengapa. Tapi semua orang mesti berkumpul untuk makan ‘besar’ bersama-sama pada pagi Hari Raya, selepas bersolat sunat Aidilfitri di masjid,” ujarnya yang sedikit terkilan tidak dapat membantu ibunya dengan persiapan Hari Raya.
Sementara Rina Rafekah Jamhuri, 23, sebagai kakitangan baru, tidak mempunyai pilihan selain bekerja pada Hari Raya. Ini merupakan pengalaman pertamanya yang baru menamatkan pengajian dalam bidang Farmasi di Universiti Pengurusan dan Sains (MSU).
“Ramai berpendapat bahawa jika saya bekerja dalam bidang farmasi, mungkin saya dapat bercuti pada tahun ini. Tapi saya kurang setuju, ramai orang terpaksa bekerja terutama ahli farmasi di hospital. Seperti mereka, kami (kakitangan khidmat pelanggan) juga perlu bersedia 24 jam sehari untuk memastikan semuanya berjalan lancar,” tegasnya yang berasal dari Perak.
Dalam pada itu, Izzadin shah Rafeat, 24, sudah merancang bersama keluarganya untuk berkumpul di rumah neneknya di Klang pada malam sebelum raya memandangkan ramai di kalangan saudaranya juga terpaksa bertugas pada keesokan pagi.
“Sudah lama kami tidak pulang ke Terengganu, memandangkan ramai sudah berpindah ke Kuala Lumpur dan Selangor, kami mengambil keputusan untuk menyambut Aidilfitri di sini. Semua juga sudah sepakat untuk pulang ke Kota Baru, Kelantan untuk menziarahi sanak saudara di sana pada Hari Raya kelima,” tambahnya mengakhiri perbualan.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: