LAMPU minyak tanah menerangi malam dan kanak-kanak riang bermain bunga api yang lazimnya suasana Hari Raya Aidilfitri itu hanya berlaku di kampung-kampung.
Golongan tua dan muda meneruskan tradisi menziarahi sanak-saudara beramah mesra sambil menikmati juadah beraneka jenis seperti lemang, ketupat dan rendang.
Mungkin sunyi apabila beraya di bandar-bandar besar seperti Kuala Lumpur berikutan ramai yang sudah pulang ke kampung halaman sejak awal lagi.
Semangat meraikannya juga barangkali semakin terhakis dalam sanubari mereka yang tidak mempunyai kampung dalam erti kata lain hanya beraya di bandar.
Tidak perlu fikir mahu balik ke kampung mana atau berapa hari untuk bercuti, hanya duduk bersenang-lenang di rumah dengan menghabiskan masa menonton program raya di televisyen, begitulah tanggapan segelintir masyarakat terhadap golongan ini.
Namun bagi pesara Datuk Dr Mohd Roslani Abdul Majid, 67, yang menetap di Petaling Jaya sejak sekian lama mendapati pengalaman beraya di bandar tidak pernah membosankan.
Beliau dan dan isteri, Datin Asmaini Abbas, 67, sekeluarga menyifatkan Hari Raya Aidilfitri merupakan waktu paling istimewa malah dinanti-nantikan saban tahun.
“Sukar untuk membuat perbandingan (berhari raya di kampung) kerana di sinilah ‘kampung’ kami. Kenikmatan bermakna ini bukan semata-mata kerana Hari Raya tetapi apabila semua ahli keluarga dapat berkumpul bersama,” katanya.
Tradisi ziarah
Asmaini pula berkata, sambutan Hari Raya adalah sama sahaja tidak kira di kampung, bandar mahu pun luar negara kerana apa yang lebih penting adalah hubungan kekeluargaan.
“Kami bermohon-maafan dan melihat perkembangan masing-masing. Rindu terubat kerana ada yang tidak menetap di sini dan jarang bertemu,” katanya.
Pasangan Dr Roslani dan Asmaini mempunyai empat anak perempuan iaitu Dr April Camilla Roslani, 41, Dr Anna Liza Roslani, 39, Dr Ardita Dewi Roslani, 33, dan Audra Kesumawati Roslani, 27 serta seorang anak lelaki, Jason Adam Roslani, 40.
Empat daripada lima anak mereka sudah berkahwin dan pasangan itu pada masa ini mempunyai seramai enam cucu.
Sementara itu, anak bongsu mereka, Audra pula berkata, walaupun tinggal di bandar namun rutin pada Hari Raya Pertama seperti kebanyakan yang lain.
“Saya dikejutkan oleh ibu seawal pukul 4.30 pagi bagi membuat persiapan makanan. Paling menarik selepas Solat Sunat Aidilfitri, masing-masing bersalaman dan memohon maaf antara satu sama lain.
“Mereka yang masih muda akan menunggu duit raya manakala lain-lain menanti hidangan istimewa ibu. Memandangkan kami pernah tinggal di Kelantan sebelum ini kerana ayah pernah ditugaskan ke sana sebagai penjawat awam maka ibu menyediakan hidangan Nasi Kerabu dan Nasi Dagang termasuk menu wajib seperti ketupat, rendang ayam dan daging serta pelbagai jenis kuih raya,” katanya.
Menurut Audra, perkara terbaik mengenai Hari Raya apabila masing-masing bercuti dan menghabiskan masa berkualiti bersama seluruh keluarga.
“Apabila usia semakin menginjak dewasa, kita seharusnya bersyukur kerana masih dapat meluangkan masa bersama keluarga tidak kira di mana kita berada atau berapa banyak pakaian raya setiap tahun maka ia seharusnya dihargai.
“Kami meneruskan tradisi menziarahi sanak-saudara di sekitar Lembah Klang. Ternyata suasana Hari Raya tetap meriah meskipun bukan di kampung,” katanya.
Empat generasi
Keramat - kedudukannya di tengah ibu kota dikelilingi bangunan pencakar langit dan Menara Kembar Petronas atau Kuala Lumpur City Centre (KLCC) merupakan antara yang paling hampir serta boleh dilihat dari rumah keluarga ini.
Mungkin tiada kelainan kerana mereka tidak perlu memikirkan berapa ratus kilometer lagi akan tiba di kampung bagi meraikan Hari Raya Aidilfitri bersama keluarga.
Namun wajah suri rumah, Sharifah Annie Zam Syed Ibrahim, 80, begitu ceria saat membayangkan hari lebaran yang bakal diraikan bersama keluarga empat generasi.
“Raya kali ini amat bermakna kerana akan disambut bersama cicit kami yang pertama juga merupakan generasi keempat iaitu Ayden Hood Ahmad Yaser kini berusia empat bulan,” katanya yang menetap rumah itu sejak tahun 1981 bersama suami, Hood Ahmad, 85.
Sharifah Annie yang sebelum itu pernah menetap di Petaling Jaya pada 1975 berkata, pengalaman beraya di bandar sejak dahulu berbanding sekarang tidak jauh beza.
“Tradisi merapatkan hubungan silaturrahim masih diteruskan sehingga kini kerana amalan itu menjadi kewajipan sepanjang masa terutama pada Hari Raya.
“Selain bersama cicit pertama, kami juga akan meraikan hari yang mulia ini bersama dua anak dan sembilan cucu serta anak dan cucu menantu,” katanya.
Bagi generasi kedua, Wan Jooria Hood, 54, pula tidak pernah mencemburui mana-mana keluarga yang mempunyai kampung halaman untuk berhari raya.
“Mungkin persekitarannya berbeza kerana kami berada di bandar tetapi pengalaman dan perasaan untuk meraikannya masih tetap sama.
“Raya di kampung atau bandar, kedua-duanya hanya akan memberi makna sekiranya diraikan bersama keluarga dan sanak-saudara,” katanya.
Dalam pada itu, ‘Aainaa Yahya, 28, yang merupakan generasi ketiga keluarga itu pula berkata, beraya di bandar mempunyai kelebihan kerana tidak perlu terkandas dalam kesesakan lalu lintas untuk pulang ke kampung.
“Walaupun ahli keluarga dan sanak-saudara tinggal berdekatan di sekitar Lembah Klang tetapi mereka sibuk dengan urusan dan komitmen masing-masing.
“Di rumah inilah ‘kampung’ kami berkumpul dalam satu keluarga yang besar meskipun di bandar. Apa yang penting adalah nilai meraikannya,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: