Thursday, September 15, 2011

Asist anjur 2 program Aidilfitri untuk bekas pelajar


AMRULLAH Kamal (tiga dari kiri) bersama ahli persatuan Asist mengadakan pertemuan dengan Tawfiq Abu Bakar Titingan di Wisma Kewangan, Kota Kinabalu, kelmarin.


KOTA KINABALU 14 Sept. - Persatuan Alumni Sekolah Islamiyah Tawau (Asist) akan mengadakan majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri untuk bekas pelajar-pelajarnya di Sekolah Islamiyah Tawau pada Sabtu ini.

Pengerusi ASIST, Ir. Amrullah Kamal berkata, selain mengadakan majlis tersebut di Tawau, majlis yang sama akan diadakan di dewan Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) di sini, seminggu selepas penganjuran di Tawau.

Katanya, ia bagi meraikan sambutan Aidilfitri bersama ahli keluarga rakan-rakan di zaman persekolahan, selain mengeratkan hubungan dengan bekas pelajar lain yang hadir.

"Majlis ini juga bertujuan mengumpul semua bekas-bekas pelajar Sekolah Islamiyah Tawau yang ditubuhkan sejak 1970, sama ada mereka yang pernah bersekolah di Tadika Ismaliyah, sekolah rendah ataupun menengah," katanya di sini, semalam.

Beliau berkata demikian selepas mengetuai ahli jawatankuasa penganjur majlis Hari Raya Asist yang membuat kunjungan hormat kepada Pembantu Menteri Kewangan Sabah, Datuk Tawfiq Abu Bakar Titingan di Wisma Kewangan.

Amrullah berkata, program itu juga adalah sebagai salah satu gerakan pendaftaran bekas-bekas pelajar Islamiyah yang pernah belajar di Sekolah Islamiyah Tawau sebagai ahli Asist.

Melalui program itu, beliau berharap bekas-bekas pelajar sekolah itu di Semenanjung dan Sarawak dapat mengambil peluang untuk mendaftar sebagai ahli Asist.

"Asist dengan motto Bersama Kembali Menabur Bakti akan berperanan sebagai wadah kepada bekas-bekas pelajar Islamiyah Tawau dalam menggembeling tenaga dan fikiran bagi melaksanakan program serta aktiviti," katanya.

Amrullah berkata, pihak persatuan juga akan mengadakan pelbagai program dalam tempoh terdekat, termasuk lawatan ke Semenanjung bagi menjejaki bekas guru terawal Sekolah Islamiyah Tawau yang pernah berkhidmat sejak awal penubuhan sekolah itu.

"Antara program lain adalah melawat bekas guru besar pertama sekolah itu iaitu Abdullah Hassan yang kini uzur di Kelantan," katanya.

Katanya, bekas pelajar sekolah itu yang ingin mendapatkan keterangan lanjut mengenai Asist boleh menghubunginya menerusi 016-8287711, Timbalan Pengerusi, Sabri Suntih (014-9553027) atau Setiausaha, Ismail Lamo (013-8862048).

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: