
KOTA KINABALU 13 Sept. - Mahasiswa baru Universiti Malaysia Sabah (UMS) diminta mengambil kesempatan menguasai sebanyak mungkin ilmu pengetahuan dan kemahiran semasa menuntut di universiti berkenaan.
Pengerusi Lembaga Pengarah UMS, Tan Sri Abdul Hamid Egoh berkata, ia penting bagi membolehkan semua pelajar mampu berdaya saing dalam berhadapan pelbagai cabaran akan datang.
"Apabila selesai pengajian nanti semua pelajar akan kembali ke dalam masyarakat sebagai pemimpin dan generasi yang bijak. Jadi gunakan kesempatan ini untuk mempersiapkan diri dengan memperluaskan pengetahuan melalui pelbagai ruang termasuklah melalui interaksi sosial dengan pelajar lain," katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis lafaz ikrar dan akujanji mahasiswa baru UMS di sini baru-baru ini.
Hadir sama, Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman dan Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Kamaruzaman Ampon.
Menurut Abdul Hamid, UMS mempunyai tenaga pengajar berpengalaman dan infrastruktur lengkap yang dapat menyokong proses pembangunan modal insan.
"Di UMS anda mampu mencapai ketinggian ilmu dan standard profesionalisma yang setaraf dengan universiti terkemuka lain di rantau ini," katanya.
Beliau berkata, semua mahasiswa juga harus berusaha menguasai bahasa Inggeris yang amat penting dalam sektor pekerjaan.
Bagaimanapun katanya, dalam memahirkan diri dalam bahasa Inggeris para pelajar juga tidak harus mengenepikan bahasa Melayu yang merupakan bahasa kebangsaan.
Sementara itu, Abdul Hamid turut mengingatkan para mahasiswa supaya mematuhi dan menghayati kandungan dalam buku panduan etika UMS.
Ujarnya, panduan diberikan amat penting meliputi etika ketepatan masa, nilai moral kehidupan, kenegaraan dan tata susila berbahasa.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: