
KUALA KRAU 13 Sept. - Universiti Teknologi Mara ( UiTM) Cawangan Pahang Bandar Tun Abdul Razak di sini mencipta sejarah apabila berjaya menghasilkan biogas berasaskan najis tahi ayam.
Projek kajian reban ayam dengan aplikasi sistem biogas dilakukan secara usaha sama antara Teltracon Resources, SABAD Capital Sdn. Bhd., dan pasukan penyelidik universiti itu.
Mereka berjaya membuktikan bahawa najis ayam boleh menjadi sumber bahan api dan gas yang boleh digunakan untuk memasak serta tenaga elektrik.
Satu majlis penyerahan tapak projek kepada UiTM Pahang disempurnakan oleh wakil SABAD Capital kepada Rektor UiTM Pahang, Prof. Madya Datuk Dr. Hilmi Abd. Rahman.
Hilmi berkata, beliau berbangga dengan kejayaan itu hasil daripada usaha sama oleh kedua-dua syarikat yang dimiliki sepenuhnya oleh bumiputera.
Menurutnya, hasil kajian itu memberi manfaat besar kepada pengguna khususnya dalam penggunaan bekalan elektrik berasaskan sumber alam semula jadi yang boleh diperbaharui.
''Kejayaan penemuan produk biogas berasaskan najis ayam bertepatan dengan tema UiTM Pahang sendiri iaitu Kampus Khazanah Alam yang mempromosikan kelestarian khazanah alam untuk manfaat kehidupan sejagat,'' katanya ketika berucap selepas majlis tersebut di sini baru-baru ini.
Projek yang dimulakan sejak setahun lalu bermula di peringkat awal dengan menjalankan kajian menggunakan botol mineral sehingga kepada skala besar.
Sementara itu, wakil SABAD Capital, Azhar Ahmad berkata, syarikatnya membiayai kos projek tersebut dan berbangga atas kejayaan itu.
Menurutnya, penemuan baru itu bakal membuka ruang perniagaan dalam industri penternakan ayam yang mana kos industri ternakan ayam dapat dikurangkan.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: