Wednesday, September 14, 2011

Yakin capai sasaran 5A


MUHAMMAD Faiz Mashadi menduduki peperiksaan UPSR di Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu, Kelantan, semalam.


KOTA BHARU 13 Sept. - Meskipun terpaksa menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) kerana menerima rawatan sakit buah pinggang sejak 5 September lalu, Muhammad Faiz Mashadi yakin mampu mencapai sasaran 5A dalam peperiksaan itu.

Ketika ditemui hari ini, Muhammad yang bersekolah di Sekolah Kebangsaan Islah yakin persediaannya untuk menduduki peperiksaan cukup selepas mendapat 4A 1B dalam ujian percubaan di sekolahnya.

Katanya, meskipun diletakkan di dalam bilik berasingan, namun keadaan yang sunyi itu tidak mengganggu tumpuannya malah ia dapat membantunya lebih fokus dan memahami setiap soalan yang ada.

"Saya yakin boleh dan itulah sasaran saya (5A). Saya sentiasa menumpukan perhatian ketika di dalam kelas dan banyak mengulang kaji pelajaran di rumah.

"Cita-cita saya adalah untuk melanjutkan pelajaran ke universiti dan berjaya dalam hidup oleh itu saya mahu buat yang terbaik dalam setiap peperiksaan," katanya.

Menurut Muhammad, dia dikesan mengalami masalah buah pinggang sejak beberapa bulan lalu iaitu penyakit yang turut dihidapi bapanya menyebabkan dia terpaksa menjawab soalan tersebut di hospital seorang diri.

Sementara itu, Pengarah Pelajaran Kelantan, Hussin Awang ketika dihubungi berkata, seramai 35,356 murid sekolah di seluruh negeri menduduki peperiksaan itu bermula hari ini hingga Khamis depan.

Menurut beliau, jumlah tersebut terdiri daripada 33,715 murid Sekolah Kebangsaan, 980 dari Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan enam orang lagi dari Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil.

"Seramai 40 murid adalah dari Sekolah Agama Bantuan Kerajaan, 288 dari Yayasan Islam Kelantan manakala 327 murid mewakili beberapa sekolah swasta," ujarnya.

Tambahnya, semua peperiksaan berjalan lancar di 488 buah pusat peperiksaan yang dibuka di negeri ini.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: