Thursday, September 15, 2011

Adilah ' juruterbang' muda


Adilah memenuhi impiannya untuk menjadi juruterbang.


KETIBAAN Adilah, seorang kanak-kanak berusia 12 tahun yang lengkap berpakaian seorang juruterbang yang dijahit khas untuknya benar-benar menampakkan karismanya sebagai seorang juruterbang.

Ketibaannya di Simulator 747 telah dinanti oleh Kapten Datuk Mohamed Fauzi bersama krew MAS untuk menunjukkan demonstrasi penerbangan.

Ternyata Adilah memang seorang yang cepat memahami apa yang diterangkan oleh mereka dalam demonstrasi penerbangan tersebut dan dia telah diberi kepercayaan untuk menerbangkan simulator tersebut dari Pulau Pinang ke Australia.

Kanak-kanak itu berjaya 'mendarat' di lapangan terbang Australia walaupun dalam keadaan ribut salji.

Selepas menamatkan latihan penerbangannya, Adilah telah dianugerahkan sijil juruterbang oleh Pengarah di Jabatan Operasi Udara Malaysia, Kapten Mohd. Azeharuddin Osman.

Upacara meraikan kejayaan Adilah selepas tamat latihannya itu telah diadakan bersama-sama keluarga, rakan-rakan, pasukan MAS dan sukarelawan dari Make A Wish dalam bilik yang dihias khas untuknya oleh MAS, berlatarbelakangkan warna merah jambu, iaitu warna kegemaran Adilah.

Dengan tidak disangka-sangka, pihak MAS telah menawarkan kepada Adilah dan keluarga untuk merasai pengalaman sebenar penerbangan dengan menawarkan penerbangan ke Pulau Pinang.

Ia merupakan pengalaman pertama mereka sekeluarga menaiki pesawat penerbangan.

Keramahan krew MAS pada hari itu menjadikan pengalaman itu sebuah pengalaman yang tidak akan dilupakan sampai bila-bila.

Penginapan pada malam itu telah ditaja oleh Hard Rock Hotel Pulau Pinang dan layanan kelas pertama telah diberikan kepada mereka sekeluarga untuk memastikan keselesaan dinikmati sepanjang perjalanan tersebut.

Di dalam penerbangan pulang, keluarga Adilah telah mengucapkan jutaan penghargaan kepada mereka yang terlibat dalam menjayakan impian Adilah sebuah pengalaman dan kenangan yang terindah.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: