|
|
SETELAH mengembara selama hampir tiga bulan ke seluruh negara, akhirnya pertandingan World Star Road To Hollywood 2010 (WCOPA) sudah sampai ke kemuncak semalam.
Bertempat di Istana Budaya, 20 daripada 50 peserta yang berjaya layak ke peringkat akhir telah mengesahkan tempat untuk menyahut cabaran negara ke pertandingan World Championship Of Performing Arts (WCOPA) di Hollywood Julai nanti.
Sebanyak lima kategori yang dipertandingkan kali ini termasuklah kategori vokal, tarian, lakonan, modeling dan instrumental yang pastinya memberikan saingan yang cukup sengit.
Pada Rabu lalu, bertempat di Kompleks Kraf, Jalan Conlay, Kuala Lumpur mereka telah pun dinilai di peringkat separuh di mana mencatatkan kehadiran 150 peserta dari seluruh negara.
Kategori vokal paling dinantikan apabila ramai artis-artis tempatan yang turut sama mencuba nasib menyertai pertandingan yang diadakan setiap tahun ini.
Ternyata pada malam separuh akhir yang lalu, sembilan orang artis tanah air turut mencuba nasib untuk mengikut jejak langkah Bob dan Siti Sarah yang mengutip pingat emas pada pertandingan yang sama tahun lalu.
Namun, ada antara artis tempatan yang tersungkur lebih awal di peringkat separuh akhir, sebelum dapat melayakkan diri ke malam akhir semalam.
Antara artis yang berjaya mara ke pertandingan akhir semalam termasuklah Shila OIAM, Rizu OIAM, Nabil Zamanhuri, IZ Suliani dan Nadia beserta 12 peserta yang lain.
Menurut Pengarah Esekutif All Star Performing Arts (M) Sdn. Bhd., Romli Bidin, kemuncak kepada malam akhir ini sememangnya dinanti-nantikan oleh pihaknya untuk melihat siapakah yang benar-benar layak mewakili negara ke Los Angeles nanti.
"Kita bertuah kerana kebanyakan peserta yang hadir pada tahun ini benar-benar berbakat. Walaupun ada kategori yang menunjukkan persaingan yang begitu sengit ada juga sebaliknya.
"Kategori vokal dan tarian begitu sengit dan saya berbangga apabila kebanyakan golongan artis tanah air menyahut cabaran kami untuk sama-sama mengharumkan nama negara seperti mana yang dilakukan oleh mereka sebelum ini.
"Ada yang benar-benar berbakat dan tak kurang juga yang membuat ala kadar semasa separuh akhir tempoh hari. Cuma pada malam akhir semalam saya cukup berpuas hati dengan persembahan kesemua peserta," kata Romli lagi.
Bagi Shila yang membawakan lagu Memori Tercipta semalam, dia cukup gementar tak kala terpaksa menyanyi dalam tempoh masa seminit kerana ini adalah cabaran baru buatnya.
Biarpun sudah banyak pertandingan yang disertai oleh anak sulung kepada penyanyi ND Lala ini, dia masih lagi tidak dapat menyembunyikan rasa takut kerana tempoh masa yang diberikan terlalu pendek dan semestinya dia tidak boleh melakukan kesilapan.
"Memang saya gementar apabila hanya dibenarkan menyanyi dalam tempoh masa seminit. Tapi itu bukan alasan untuk saya membuat persembahan ala kadar memandangkan kesemua peserta juga hebat.
"Saya tidak melihat golongan artis sahaja yang memberikan saingan yang sengit tetapi peserta yang bukan artis juga tak kurang hebat. Masing-masing ada kehebatan tersendiri sebenarnya," jelas Shila.
Impian ke Los Angeles
Melebarkan sayap ke luar negara sememangnya diimpikan oleh ramai golongan artis. Impian yang diharapkan tidak akan menjadi kenyataan sekiranya golongan ini sendiri tidak cuba untuk mengubah nasib mereka.
Bagi artis yang sedang meningkat naik, Rizu, dia begitu teruja untuk menyertai pertandingan ini biarpun sudah tahu saingan sengit yang bakal dilalui, dia langsung tidak gentar dengan semuanya.
"Sama ada berjaya ke Los Angeles (LA) atau tidak itu bukan masalah. Saya hanya mencuba yang terbaik untuk sampai ke sana. Berada pada malam akhir ini pun sudah cukup hebat buat saya. Kalau berjaya ke LA nanti menjadi bonus buat saya.
"Saingan daripada peserta lain cukup hebat. Bergantung kepada rezeki masing-masing. Siapa pun yang terpilih pastikan berusaha dengan lebih kuat kerana kita menggalas nama negara dan tanggungjawab sebenarnya," jelas Rizu yang pernah mewakil Malaysia ke pertandingan nyanyian di Shanghai, China pada tahun 2006.
Nabil yang dicungkil bakat daripada pertandingan realiti Mentor juga tidak dapat menyembunyikan perasaan gementar apabila berada di pentas akhir pertandingan ini.
Jelasnya sudah tiba masa untuk dia mencabar diri dalam sebuah pertandingan antarabangsa seperti seperti mana yang telah dilalui oleh sebilangan kecil artis tanah air lewat kebelakangan ini.
"Apabila berada di pentas separuh akhir sahaja sudah cukup membuatkan saya rasa tercabar memandangkan masih ramai peserta yang hebat dan mempunyai kelebihan dari sudut vokal.
"Saya tidak mempunyai vokal setinggi peserta lain dan sudah pasti saya perlu mencari kelebihan supaya tidak tenggelam. Apa juga keputusannya saya terima dengan hati yang terbuka," katanya lagi.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: